Ia bersalah. Kalau tidak, masakan ia memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat. “We apologise. Unreservedly” kata akhbar itu dalam laporan muka depan pada 24 Februari.
Kalau bersalah, mengapa tidak dihukum? Kerana ia sudah meminta maaf. Demikian penjelasan Abdullah. Jadi minta maaf saja sudah cukup untuk menghapuskan dosa dan menyelesaikan masalah.
Tetapi kalau “unreservedly” mengapa masih berhujah memberi alasan, mempertikai dan mengherdik pihak itu dan ini? Bukankah “unreserved” bererti total (sepenuhnya), absolute (mutlak), complete (selengkapnya), entire (keseluruhannya), full (penuh), unlimited (tak terhad) dan wholehearted (sepenuh hati)?
Apa halnya dengan Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily? Bukankah mereka juga memohon maaf? Ya, mereka memohon maaf. Kalau mereka memohon maaf, mengapa mereka dihukum?
Mungkin kerana mohon maaf mereka tidak meyakinkan – tidak sehebat atau eloquent seperti penghujahan NST. Atau mungkin juga kerana mereka akhbar kecil dan tiada kaitan politik yang kuat.
Saya tidak berani mengatakan ini double-standard kerana saya tidak tahu tentang keadaan sebenar. Hanyalah pegawai-pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang membuat penyiasatan boleh memberikan penjelasan.
Yang jelas ialah manakala NST tidak dikenakan apa-apa hukuman, Sarawak Tribune ditarik permit penerbitannya serta-merta manakala Guang Ming Daily digantung permitnya selama dua minggu.
Adakah ini kerana NST adalah akhbar Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad mempunyai hubungan rapat dengan kepemimpinan Umno dan Kerajaan?
Bagi pihak-pihak yang mengutuk penyiaran kartun Miller itu, soal ia bukan daripada siri yang diterbitkan oleh akhbar Denmark Jyllands-Posten, September lalu bukan satu alasan. Pokok pangkalnya kartun dalam NST itu mempersendakan Rasulullah SAW.
Maksudnya begini – awak tunggu dan saya akan lukiskan karikatur Nabi Muhammad SAW. Saya yang melukis ini tiba-tiba menjadi orang yang paling ditakuti. Maksudnya sesiapa yang melukis karikatur Nabi Muhammad SAW akan jadi hero.
Apa yang kartunis Miller buat yang kemudiannya disiarkan oleh NST ialah mempersendakan kemarahan umat Islam terhadap kartun di dalam akhbar Denmark itu.
Kepemimpinan baru NSTP yang dikepalai oleh Datuk Kalimullah Hassan mengambil alih sebaik saja Tan Sri Abdullah Ahmad @ Dollah Kok Lanas dipecat daripada jawatan Ketua Pengarang Kumpulan (KPK) pada hari-hari awal Pentadbiran Abdullah.
Kalau kita mempercayai cakap Kalimullah, Perdana Menteri menaruh harapan yang tinggi terhadap beliau. Kalimullah, seperti umum sudah tahu adalah bekas wartawan akhbar Straits Times Singapura di Malaysia.
Dalam sebuah rencana bertajuk “Untouchable we’re not but we stand firm” yang disiarkan oleh NST pada 27 April 2005, Kalimullah menulis: “He (Abdullah) had one piece of advice – make the NST a credible and professional newspaper.” (Dia (Abdullah) mempunyai satu nasihat – jadikan NST sebuah akhbar yang berwibawa dan profesional).
Dengan membuat kesilapan besar yang menimbulkan kemarahan umum dan akhirnya terpaksa meminta maaf secara terbuka, apakah Kalimullah dan konco-konconya telah gagal melaksanakan amanat Perdana Menteri?
Ada lagi contoh-contoh lain yang mempertikaikan “credibility” NST di bawah kepemimpinan Kalimullah. Misalnya apabila NST mendahului Perdana Menteri sendiri dengan mengumumkan Tan Sri Nasimuddin sebagai “The Winner” (pemenang) di dalam perlumbaan membeli saham DRB-Hicom tidak lama dulu.
Ini berpunca daripada keyakinan Kalimullah dan konco-konconya yang mereka mempunyai “inside information” (maklumat dalaman) hasil daripada hubungan intim mereka dengan kelompok-kelompok kuasa di dalam dan luar Kerajaan.
Kembali kepada isu penyiaran kartun yang mempersendakan nama Rasulullah SAW. Apakah NST akan dituduh tidak berwibawa dan kepemimpinannya tidak profesional kalau tidak menyiarkan kartun itu? Dan profesionalkah cara NST mempertahankan penggunaan kartun itu dengan menyalahkan orang lain?
Walaupun ia memohon maaf tanpa syarat, ia masih mempertikaikan bantahan umum terhadap penggunaan kartun itu dan menuduh pelbagai pihak berkomplot terhadapnya.
Justeru itu, kita perlu bertanya apakah mohon maaf NST semalam menepati pengertian “unreserved apology” – minta maaf yang tidak bersyarat, yang luhur dan yang tidak berbelah bagi?
Atau mohon maaf ini berupa strategi saat akhir bagi menyelamatkan NST dan para pengarangnya daripada bahana seperti yang menimpa Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily?
Jelas, mohon maaf pada saat-saat akhir sebelum Kementerian Keselamatan Dalam Negeri membuat laporan dan perakuan kepada Perdana Menteri, telah menyelesaikan dilema banyak pihak, tidak kurang dilema Perdana Menteri sendiri sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Kalau NST gagal atau enggan memohon maaf tentulah Perdana Menteri akan mengalami dilema yang hebat kerana dia terpaksa memikirkan tindakan yang sewajarnya terhadap akhbar itu.
Bagi pengarang profesional, jatuh bangun adalah perkara biasa. Ada yang dipecat. Ada yang ditekan agar berhenti. Ada yang berhenti secara sukarela kerana tidak lagi dapat menjalankan tugas dengan berkesan. Dan banyak juga yang ditahan dan dipenjarakan.Kita ingat nama-nama seperti Samad Ismail, Said Zahari, Samani Mohd Amin, Ahmad Sebi, Zainuddin Maidin dan Johan Jaaffar.
Tetapi sekarang. bukan semua pengarang adalah pengarang profesional. Mereka ada kepentingan lain seperti perniagaan dan/atau politik. Hendak tidak hendak, kita terpaksa menyebut Kalimullah sebagai simbol kepada pengarang era baru ini. Ketika dilantik KPK NSTP pada tahun 2004, beliau sudah pun memegang saham yang banyak di dalam bank pelaburan ECM Libra Berhad dan menjadi pengerusinya.
Ketika menjadi KPK NSTP, beliau dilantik pula menjadi pengerusi syarikat pembuatan barangan kayu, Ekowood Berhad.Justeru itu, apa yang menjadi percaturan dan pertaruhan adalah besar bagi personaliti seperti Kalimullah. Kalau beliau dipersalahkan dalam kes penggunaan kartun ini, imej beliau akan tercemar. Ini mungkin menjejaskan kedudukan beliau sebagai tokoh korporat yang rapat dengan tampuk pemerintahan.
Apatah lagi salah seorang rakan kongsi Kalimullah adalah Timbalan Ketua Pemuda Umno merangkap menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin. Kalimullah mungkin tidak terlibat secara langsung dengan penyiaran kartun yang menghina itu. Tetapi beliau adalah Timbalan Pengerusi NSTP merangkap Penasihat Jabatan Pengarang. Pengarang NST dan ketua-ketua unit utama akhbar itu adalah orang pilihan dan orang kepercayaan beliau.
Jadi langkah memohon maaf adalah pilihan terbaik bagi NST, Kalimullah, konco-konco beliau dan pihak-pihak luar yang berkuasa ke atas NSTP. Walaupun Perdana Menteri telah mengampunkan NST, namun dalam kenyataannya kepada akhbar di Kepala Batas beliau mengatakan bahawa langkah akhbar itu menyiarkan kartun berkenaan sebagai sesuatu yang “tidak elok.”
Berbalik kepada hujah yang terdahulu, kenyataan Perdana Menteri yang menganggap penyiaran kartun itu sebagai “tidak elok”, mengukuhkan kesimpulan bahawa Kalimullah dan anak buahnya telah gagal mempertingkatkan kewibawaan dan tahap profesionalisme NST seperti yang diamanatkan oleh Abdullah.
Walaupun tidak seorang daripada mereka dihukum, kenyataan Perdana Menteri jelas menunjukkan ada unsur-unsur kegagalan yang serius yang dilakukan oleh sidang pengarang NST. Hanya cara beliau berhujah lembut.
Oleh sebab akhbar itu adalah antara organ separuh rasmi yang paling lantang mempromosikan falsafah ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebebasan akhbar, maka adalah wajar kita mengharapkan peletakan jawatan pihak-pihak yang terbabit secara langsung dengan penyiaran kartun itu.
Atau setidak-tidaknya mereka dipindahkan ke jabatan lain di mana mereka tidak lagi menjadi ancaman kepada kewibawaan akhbar itu dan kepada ketenteraman awam.
NST, dalam hujah muka depannya pada 24 Februari banyak merujuk kepada keagungan sejarahnya dan kepada kepelbagaian kaum kakitangannya. Sebagai bekas pekerja NSTP yang berkhidmat dengannya selama 24 tahun (1976-2000), saya sangat bersetuju dengan kenyataan itu.
Tetapi apakah pihak-pihak yang kini lantang bercakap tentang keagungan sejarah NST serta kepelbagaian kaum dan agama kakitangannya benar-benar faham atau menghayati kepentingannya? Atau ia sekadar kenyataan yang dijulang tinggi semata-mata untuk mempertahankan diri?
Kita terpaksa mengemukakan pertanyaan ini kerana di saat-saat mereka bercakap tentang sejarah dan kepelbagaian kaum, semakin ramai pengarang dan wartawan kanan, khasnya Melayu, meninggalkan NSTP.
Berpuluh orang akan meninggalkan kumpulan itu dalam masa beberapa minggu ini setelah permohonan skim persaraan sukarela (VSS) mereka dipersetujui. Dengan pemergian mereka, adakah mampu akhbar NST dan Kumpulan NSTP terus mempertahankan kegemilangan sejarah, kepelbagaian kaum dan agama, kepelbagaian aliran pemikiran dan kreativiti?
Atau NST dan Kumpulan NSTP menjadi Frankenstein ciptaan orang tertentu yang berkuasa ke atasnya? Hanya masa akan menentukannya.