|
Assalamualaikum...
Saya mohon maaf kerana menulis lagi tentang topik PDRM ini, walaupun ada sahabat yang telah berbuat demikian lebih awal. Izinkan saya menukilkan sesuatu, kerana PDRM adalah 'darah daging' saya. Saya anak polis. Dibesarkan dalam persekitaran berek polis. Dua adik beradik saya masih berada dan bertugas dalam PDRM, hingga ke hari ini.
Secara asas, polis ditubuhkan mengikut Akta Polis 1967. Walaupun demikian, banyak lagi peruntukan undang-undang mengwujudkan keperluan sebuah pasukan polis ini. Dan Perlembagaan Persekutuan, mengwujudkan pula sebuah suruhanjaya khas untuk pasukan ini - Suruhanjaya Polis.
Dalam tempoh 3 tahun ini, Polis diserang teruk. Hari ini, sekali imbas, PDRM ini seumpama pasukan yang penuh 'perasuah, penjenajayah' sehinggakan perlu ditubuhkan 2 Suruhanjaya untuk mengawalselia pasukan ini. Hatta, dicadangkan pula penubuhan Suruhanjaya yang ketiga yang akan bertugas menjadi 'SUPER POLIS'.
Saya tidak pasti samada anggota PDRM patut berbangga dengan sekian banyak pihak yang memantau mereka. Dan saya yakin, di Malaysia ini, inilah badan yang satu-satunya memerlukan sekian banyak undang-undang, peraturan, badan dan suruhanjaya untuk memantau perjalanan tugas pasukan polis.
Selain dari Akta yang disebutkan diawal tadi, PDRM juga sebenarnya dikawal selia oleh banyak pihak - NGO-NGO, SUHAKAM, Badan Pencegah Rasuah bahkan Cawangan Tatatertib PDRM sendiri. Apakah ini tidak cukup dari kacamata Pak Lah selaku Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri?
Akhirnya, kita akan tertanya-tanya, siapakah yang berkuasa di negara ini?
Apakah matlamat cadangan penubuhan suruhanjaya baru ini? Tugasnya mudah, menghukum mana-mana anggota polis. Suruhanjaya ini berkuasa untuk menyiasat, bahkan terlibat dalam mana-mana siasatan yang melibatkan pasukan polis. Dan mereka boleh mendakwa, menghukum yang kemudiannya muktamad yang tidak boleh dirayu di mahkamah. Hal ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan sebarang kes dibawa untuk rayuan. Lantaran itu, banyak peringkat mahkamah diwujudkan untuk mengwujudkan keadilan. Kecualilah, Pak Lah ingin mentadbir PDRM seperti parti politik yang sebarang kes di dalam parti tidak boleh dibawa ke mahkamah.
Akhirnya, anggota Suruhanjaya ini akan menjadi SUPER COP. Mereka akan menjadi lebih berkuasa hatta dari Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Mereka akan menjadi lebih berpengaruh dari Ketua Polis Negara. Dan mereka akan mempunyai akses kepada siasatan Cawangan Khas yang melibatkan keselamatan dan perisikan negara. Mahukah kita menyerahkan hak ini kepada suruhanjaya ini?
Realitinya tidak ada negara didunia ini yang mempunyai badan dengan 'super power' seperti ini, kecuali sebuah negeri (Australia Barat) di Australia. Negara lain, seperti UK, India, HK, dan Kanada masih ragu-ragu untuk membenarkan mana-mana badan menjadi pemantau tentan urusan keselamatan apatah lagi berkaitan perisikan.
Jika ini berjaya, bermakna pembangkang sekali lagi berjaya menundukan kerajaan, polis dan Pak Lah sendiri. Di masa depan, pembangkang tidak perlu menang pilihanraya, tidak perlu bertanding dan berkempen, tetapi berkuasa untuk menentukan siapakah yang benar-benar berkuasa dan memerintah negara ini. Dendam kesumat parti pembangkang kepada polis berjaya dibalas dengan meletakkan polis dikaki ahli suruhanjaya ini.
Tidakkah terfikir oleh kita bahawa ahli suruhanjaya ini nanti akan terpengaruh juga dengan desakan pembangkang seperti yang hampir-hampir berlaku pada SUHAKAM?
Tidak terfikirkah kita bahawa dalam kes 'bangun cangkung' yang bersalah ialah Teresa Kok, media bahkan Dato' Nazri Tan Sri Aziz tetapi yang dihukum ialah polis? Tidak terfikirkah oleh kita, kesan dari itu beban tugas dan tanggungjawab polis menjadi lebih berat untuk mendapatkan waran sebelum boleh memeriksa tubuh badan orang yang disyaki?
Tidak terfikirkah oleh kita, badan pemantau keselamatan negara berkali-kali dibogel dan ditelanjangkan di hadapan khayalak umum dengan pendedahan demi pendedahan yang memalukan tetapi palsu?
Hari ini, polis seumpaman diikat kaki dan tangan, mulut ditutup tetapi terpaksa untuk melaksanakan kewajipan asas mereka yang tertera di dalam Akta Polis 1967?
Sekali lagi saya mohon kepada Pak Lah, jangan tunduk kepada desakan pembangkang. Jangan samasekali bertoleransi dengan jenayah. Jangan memikirkan undi dari pembangkang kerana selama ini, UMNO menang tanpa sokongan mereka. Biarlah UMNO yang menguruskan perjalanan kerajaan, kerana kita yang memerintah negara ini, bukan pembangkang, bukan suruhanjaya khas.
Akhir sekali, polis ialah benteng terakhir keselamatan dalam negara ini. Jika bukan anggota PDRM yang menyokong bahkan membantu mengekang apa yang dikatakan reformasi pada 1998 lalu, negara kita ini mungkin diperintah bukan oleh parti UMNO. Keperitan dan pengorbanan mereka terlalu tinggi untuk kita perlekehkan, persendakan.
Jangan meletakkan mereka dibawah kaki pembangkang dan suruhanjaya yang ingin menjadi 'SUPER COP'.
|