Filipina Tangkap MNLF, ESSCOM Perketat Langkah Keselamatan Di Sabah

LAHAD DATU, 9 Sept (Bernama) — Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) memperketat langkah keselamatan dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan tentera dan polis di 10 kawasan di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

Ini berikutan pertempuran Ahad malam antara pengikut Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan tentera Filipina di Zamboanga City.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata walaupun pertempuran itu berlaku jauh daripada ESSZONE, ESSCOM tidak memandang ringan mengenainya.

“Kami sudah meletakkan aset dan anggota keselamatan dalam keadaan berjaga-jaga…kami tidak memandang ringan kemungkinan berlaku pencerobohan berikutan pertempuran itu.

“Sebab itulah kami meletakkan pasukan keselamatan kami pada tahap lebih bersiap sedia,” katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Mohammad berkata demikian apabila diminta mengulas pertempuran antara pengikut MNLF dan tentera Filipina pada Ahad malam.

Sebuah portal berita di Mindanao memetik Datuk Bandar Isabelle Climaco-Salazar hari ini sebagai berkata pengikut bersenjata MNLF menjadikan kira-kira 20 orang awam sebagai tebusan di Zamboanga City selepas bertempur dengan tentera kerajaan.

Climaco-Salazar berkata anggota MNLF merancang memasuki bandar raya itu untuk mengisytiharkan kemerdekaan di Dewan Bandar Raya.

Sebuah jawatankuasa dibentuk untuk menangani perkara itu, katanya.

Sementara itu, Mohammad menolak dakwaan media Filipina Ahad kononnya MNLF menggerakkan kira-kira 4,000 pejuang Tausug yang mendapat latihan di luar negara dan kini berada di Sarawak serta Sabah untuk membantu rancangannya.

“Laporan itu tidak betul dan ianya dihebahkan bagi mengganggu ketenteraman dan keharmonian di negara ini. Risikan pasukan keselamatan mendapati laporan itu tidak benar,” katanya.

Penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan pulau sekitar kawasan terbabit diminta melaporkan segera kepada pasukan keselamatan jika melihat aktiviti mencurigakan khususnya kehadiran individu tidak dikenali di kawasan mereka, kata Mohammad.

– BERNAMA


Posted by KuntaKinte Malaysia on September 9th, 2013 :: Filed under Semasa
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Filipina Tangkap MNLF, ESSCOM Perketat Langkah Keselamatan Di Sabah”

  1. […] See original article: Filipina Tangkap MNLF, ESSCOM Perketat Langkah Keselamatan Di Sabah […]

Leave a Reply

Type your comment in the box below: