24
Apr

PM jamin selesaikan masalah air Selangor jika diberi mandat

 

Najib memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Zulkifli Noordin. — Gambar oleh Choo Choy May

SHAH ALAM, 22 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memberi jaminan akan menyelesaikan pelbagai masalah yang menyelubungi Selangor dan memastikan negeri itu terus menjadi nadi utama pembangunan negara.

Najib berkata kegagalan utama kerajaan pakatan pembangkang dalam lima tahun ini ialah mencari jalan penyelesaian terbaik untuk masalah air yang menyebabkan rakyat sengsara selain memberi kesan dalam pembangunan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Dalam soal air, kita tengok mereka patut memberi tumpuan kepada satu penyelesaian tetapi mereka nak ambil alih syarikat bekalan air (Syabas). Mereka utamakan ambil alih syarikat. Mereka tidak mementingkan cara mana menyelesaikan air untuk rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Ini tersasar fokusnya, ini tidak betul. Ini salah satu contoh kegagalan mereka, keutamaannya tak kena. Fokusnya tersasar dan mereka tidaklah layak (mentadbir), pihak yang layak patut diberi sokongan.

“Saya beri jaminan sebagai Pengerusi BN negeri Selangor bahawa keutamaan pertama kita ialah untuk menjamin bekalan air berterusan, untuk keperluan rakyat dan pembangunan Selangor,” kata beliau ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Najib berkata kegagalan menyelesaikan isu air di Selangor akan membantutkan pembangunan negara secara keseluruhana kerana negeri itu menyumbang 60 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Justeru, beliau meminta rakyat negeri itu memberi mandat semula kepada kerajaan BN bagi memastikan pembangunan dan kejayaan yang telah dilakukan sebelum ini diteruskan semula.

Menurutnya, kelemahan dan ketidaksefahaman pakatan pembangkang juga jelas kelihatan setelah parti-parti dalam pakatan itu bertanding sesama sendiri pada pilihan raya umum kali ini.

“Kerajaan pakatan pembangkang yang tak boleh berpakat kerana mereka telah meletakkan calon antara parti di tujuh kerusi di seluruh negara. Ia jelas menunjukkan bahawa pakatan mereka itu sudah pun rapuh dan mungkin retak menunggu belah, kerana mereka tak boleh bersatu dan bersama,” katanya.

Beliau juga berbangga dengan sokongan rakyat negeri itu terhadap BN meningkat.

“Saya berbangga dan melihat sentimen rakyat di Selangor ini jelas menjurus untuk menyokong BN. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat khususnya di Selangor telah dapat menilai bahawa masa depan mereka akan lebih baik lagi,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN sekali lagi mengingatkan semua pemimpin dan anggota BN agar melupakan soal pemilihan calon dan menumpukan pada kemenangan calon yang mewakili BN.

“Bukan mudah menentukan siapa jadi calon, lebih susah daripada memilih menantu. Memilih calon amat sukar. Tetapi kita telah cuba buat yang terbaik. Saya berharap ketepikanlah kalau ada apa-apa perasaan.

“Jangan fikir soal jadi calon, tak dapat jadi calon, dunia ini gelap, tidak begitu. Masih ada hari esok untuk semua pihak,” katanya.

Beliau juga memuji Aku Janji calon BN yang bertanding untuk kerusi Parlimen Kota Raja serta DUN Sri Muda dan Seri Andalas untuk membawa perubahan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan itu.

Najib turut menunaikan solat Asar berjemaah dengan penduduk tempatan di Masjid Al-Falah dan kemudiannya sertai oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta anak-anak mereka, Ashman Najib dan Nooryana Najwa Najib, minum petang bersama para penduduk kawasan itu di Plaza Sri Muda.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, calon BN bagi berusi Parlimen Kota Raja Datuk S. Murugesan, calon BN bagi kerusi DUN Sri Muda Mohd Abdul Raof Mokhtar dan calon BN bagi kerusi DUN Seri Andalas T. Mohan. — Bernama

Ada 6 Comments setakat ini.

  • DataCode
    April 24th, 2013 at 12:00 PM

    Masalah air boleh diselesai.masalah rakyat tak berapa percayai BN bagaimana nak selesai,

  • P164
    April 24th, 2013 at 2:55 PM

    Masalah rakyat x bole percaya PR mana mana pulak nk selesaikan?

  • lady j
    April 24th, 2013 at 3:16 PM

    masalah lagi besar adalah ramai lapisan masyarakat demo dan saman kerajaan pr selangor kerana janji2 manifesto pru lepas yg tak tertunai.

  • VOTE FOR BN
    April 24th, 2013 at 10:12 PM

    Rakyat Selangor dah seik ….meh PAKAT TUKAR…Hidup BN

  • Be eNd
    April 25th, 2013 at 2:00 AM

    kah kah kah kah kahhh, masalah air dekat pahang mcm mna plak? BN pegang x selesai2 pun.. ptuihh

  • mek esah
    April 25th, 2013 at 8:54 PM

    masalah air di negeri BN langsung tak wujud….kalau mana2 media yg berani lapor untuk tatapan umum siap le…standard negara dunia ketiga….kesian pakcik makcik kat kampung yang pangkah bn…..

Apa Pendapat Anda ?, Komen disini!


© MYKMU.NET. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS.

Powered by WordPress. MyKMU.NeT theme by Jebon.