30
May

Loji Langat 2: Khalid Ibrahim Sabotaj Berbilion Ringgit Duit Rakyat

1. Isu Air di Lembah Klang tidak akan selesai selagi kerajaan Negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Kenyataan demi kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 menunjukkan kesungguhan beliau dan Pakatan untuk mempolitikkan isu ini.
2. Saya tidak pasti mengapa Khalid begitu bersungguh-sungguh melengahkan dua isu besar air di Lembah Klang ini iaitu Penstrukturan Semula Air Selangor dan juga Pembinaan Loji Pembersih Air Langat 2 (Projek Penyaluran Air Mentah Pahang – Selangor). Pelbagai alasan, rundingan dan kenyataan dibuat oleh kerajaan negeri Selangor. Sehingga kini belum ada satu idea yang lebih baik datang daripada kerajaan negeri kecuali idea-idea lawak jenaka seperti ingin menggunakan air lombong sebagai sumber air minuman.
3. Kajian oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar Lembah Klang. Pelbagai kajian dilakukan termasuk mendapatkan air di Perak, namun akhirnya kos mendapatkan air dari Pahang yang paling murah.
4. Saya telah menulis sebahagian latar belakang industri air Selangor. Saya fikir tidak perlu kita ulangi lagi penjelasan panjang lebar ini. Yang saya fikir perlu rakyat lihat dan perhatikan ialah tindak tanduk Khalid ini akan menyebabkan kita akan menanggung beban kewangan yang lebih besar pada masa akan datang.
5. Dengan menangguhkan projek Loji Air Langat 2, Khalid akan menyebabkan kos pembinaannya akan meningkat dengan lebih tinggi. Ini kerana kos pembinaan sentiasa meningkat naik dari tahun ke tahun. Seterusnya, kerajaan Persekutuan juga akan menanggung beban kewangan yang besar apabila terpaksa membayar faedah dan hutang kepada Japan International Cooperation Agency (JICA) yang berjumlah berbilion ringgit.

6. Alasan Khalid untuk mencari kaedah lain yang lebih murah dan sebagainya adalah tidak masuk akal kerana Kerajaan telah pun membina laluan air dari sungai Pahang ke Selangor. Yang tinggal sekarang ialah untuk membina Loji Air Langat 2 bagi menyelesaikan isu air di lembah klang. Malahan pembinaan empangan ini langsung tidak mengambil wang kerajaan negeri.

7. Jadi mengapa Khalid yang tiada pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ini begitu beria-ia ingin menghalang pembinaan empangan ini. Politik! Khalid ingin mempolitikkan keadaan ini sepenuhnya seolah-olah beliau berjuang untuk memberi air yang murah kepada rakyat.

8. Beliau membuat pelbagai kenyataan bagi menghalang pembinaan Loji Air Langat 2 ini seolah-olah jika dibina loji air ini maka tarif air akan naik, rakyat akan dibebani kos yang tinggi. Ini semua tidak lebih daripada manipulasi politik ala sosialis yang menguar-uarkan mantera perjuangan untuk rakyat menentang kerakusan kapitalis.

9. Hakikatnya, pembinaan Loji Air Langat 2 tiada kena mengena dengan tarif air. Ia merupakan projek kerajaan Persekutuan untuk memastikan Lembah Klang tidak berhadapan dengan krisis air yang serius pada masa hadapan.

10. Hanya Khalid dan pimimpin utama Pakatan yang mengetahui mengapa mereka begitu menentang pembinaan Loji Langat 2. Namun realitinya, sikap Khalid ini mencerminkan sikap busuk hati dan khianat seorang pemimpin yang rela memperjudikan keadaan ekonomi dan keperluan asas rakyat untuk percaturan politiknya.
11. Khalid boleh terus berbahas sama ada akan berlaku krisis air atau tidak pada 2014 nanti jika  rancangan penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor tidak dilaksanakan. Khalid boleh sahaja mengutarakan pandangan pakar-pakar yang beliau dakwa berkata sebaliknya, biarpun sehingga kini tidak satu kajian dikemukakan kepada rakyat.
12. Namun apakah perlu Khalid memperjudikan keadaan ini sedangkan sebahagian rancangan ini telah dilaksanakan di sebelah Pahang? Jika Khalid berterusan menghalang pembinaan loji ini bermakna sebahagian besar pelaburan musnah tanpa hasil. Kerajaan Persekutuan juga akan menanggung hutang berbilion ringgit akibat disabotaj oleh kerajaan negeri Selangor.
13. Justeru tindakan Khalid menghalang pembinaan loji air Langat 2 ini merupakan tindakan sabotaj kepada ekonomi dan kewangan negara. Mungkin Kerajaan Persekutuan perlu menyerahkan projek pembinaan Loji Langat 2 ini kepada kroni-kroni kerajaan negeri untuk mendapat kebenaran pembinaan ini. Mungkin itulah yang mereka mahukan pun.
14. Dalam sistem demokrasi, kerajaan yang mengambil alih harus menghormati perjanjian dan persetujuan kerajaan sebelumnya kecuali terdapat isu-isu besar seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
15. Namun dalam konteks ini kerajaan negeri tidak bertindak secara profesional sehingga menjejaskan kepentingan rakyat, kewangan negara dan imej negeri di mata pelabur asing. Projek yang dipersetujui dibatalkan sesuka hati hanya kerana ego politik kepartian.
16. Apakah pelabur asing dan tempatan bersedia membuat komitmen jangka panjang dengan kerajaan jika mengetahui persetujuan dan perjanjian mereka akan sewenang-wenangnya dihalang atau dimungkiri oleh parti yang lain yang mungkin menang dalam pilihan raya?
17. Ada orang yang kerana yang benci kepada Barisan Nasional dan pemimpin tertentu sanggup menerima apa sahaja tohmahan kerajaan negeri tanpa berfikir dengan rasional dan melihat fakta yang ada.
18. Hakikatnya kos menguruskan air bersih di Lembah Klang sangat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit. Dan ia perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi sama ada melalui tarif air mahu pun melalui subsidi kerajaan yang akhirnya merupakan wang rakyat juga.
19. Kerajaan Selangor hari ini yang kononnya memberi air percuma hanya masuk dalam keadaan segala-galanya telah tersedia, seperti kata orang hanya “cuci kaki sahaja”. Selama empat tahun ini mereka tidak membina apa-apa pun kecuali meneruskan apa yang telah kerajaan sebelum ini bina.
20. Sekarang, mereka mahu menghalang usaha kerajaan Persekutuan mengatasi isu air di Lembah Klang. Adakah ini pemimpin yang baik? Adakah ini kerajaan negeri yang baik? Mereka mungkin menang dari segi promosi menaikkan imej sendiri dan memburukkan pemimpin BN.

Ada 0 Comment setakat ini.

Apa Pendapat Anda ?, Komen disini!


© MYKMU.NET. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS.

Powered by WordPress. MyKMU.NeT theme by Jebon.