Menu Utama

Pusingan akhir kempen PRU-14

KEMPEN berbaki dua hari lagi. Semua parti – BN, PKR dan Pas menggandakan kempen bagi meraih undi sebanyak mungkin.

Memasuki pusingan dua sebelum hari penentuan Rabu ini, jentera parti mengeluarkan jurus-jurus mematikan. Seribu satu taktik dan strategi digunakan bergantung kepada kemampuan kewangan dan jentera.

Pas Terengganu memulakan langkah perang saraf dengan penuh keyakinan mengisytiharkan bakal menguasai negeri itu. BN melawan balik. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun ke Terengganu. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tetap dengan keyakinan untuk mengulangi kejayaan pada 2004 iaitu 28 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di utara, peramal PRU, Tun Daim Zainuddin yang akhirnya muncul berkempen bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad meramalkan Kedah dan Perak jatuh ke kubu gabungan pembangkang PKR.

Ramalan Daim memang dinanti-nantikan setiap kali pilihan raya. Tetapi kali ini serangan Daim tentang GST memakan diri. Rakaman video cadangan beliau untuk memperkenalkan GST pada 1994 hanya mengukuhkan tanggapan betapa hipokritnya kumpulan ini. Ini sekali gus merobek-robek ketepatan ramalan Daim. Hilang kredibiliti ramalan bekas Menteri Kewangan ini.

Sebaliknya kaji selidik Universiti Utara Malaysia (UUM) meramalkan akan berlaku kedudukan tergantung di Kedah. BN menang 16 kerusi, gabungan pembangkang PKR 12 kerusi manakala Pas lapan kerusi. Untuk membentuk kerajaan di Kedah memerlukan 19 kerusi. Kesannya tentu tidak disukai masyarakat Cina yang masih percaya dengan permainan bahaya DAP.

Kaji selidik ini barangkali yang menyebabkan dua pimpinan utama BN terus menggempur negeri ini terutamanya di Parlimen Langkawi. Di Kedah dan Perak angkanya memang sentiasa turun naik.

Dalam kedudukan terkini, di Perak masih memihak kepada BN manakala ada petanda positif di Kedah. Dalam banyak keadaan jentera BN dilihat lebih tersusun daripada aspek strategi dan menangkis serangan lawan.

Seperti dijangkakan, gabungan pembangkang PKR gigih menjaja himpunan-himpunan awam mereka terutama di media sosial. Gambar-gambar dan video yang sebahagiannya dipalsukan dijadikan bukti untuk menunjukkan telah berlaku tsunami rakyat. Penceramah turut membesar-besarkan ‘sambutan luar biasa’ di pentas ceramah masing- masing.

Padang keramat

Di padang ikonik DAP di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang umpamanya tidak seperti dalam dua pilihan raya umum lalu. Padang keramat ini hilang kuasa magisnya.

Pada malam 2 Mei lalu, padang kolej berhampiran Masjid Negeri ini tidak lagi menjadi tempat bertuah DAP. Malam itu hanya kira-kira 8,000 orang berjaya dikumpul berbanding 20,000 hingga 30,000 orang sebelum ini.

Di beberapa lokasi ceramah mega gabungan pembangkang PKR memang menjadi tumpuan orang ramai tetapi tidaklah satu fenomena luar biasa. Banyak ceramah mereka lengang. Tetapi nama pun pemilihan, yang dijaja tentunya yang elok-elok sahaja.

Pusingan kedua ini menyaksikan Daim dan Tan Sri Rafidah Aziz bergandingan semula sebagai orang Dr. Mahathir. Mereka menggempur Melaka di Parlimen Hang Tuah Jaya (Bukit Katil) yang diramal sendiri oleh Daim sebagai sukar ditawan.

PAN pula seperti tidak sabar-sabar cuba ‘memperdagangkan’ Nik Omar Nik Aziz. Anak sulung bekas Menteri Besar Kelantan itu disolek sebagai pewaris Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Omar yang terpaksa mengecewakan ibunya bahkan sempat dibawa berkempen di Lembah Klang.

Seperti dijangka, Nik Omar dilambung-lambung. Beliau dipergunakan secukupnya untuk membersihkan imej DAP terutamanya di mata orang Melayu. Dalam masa singkat, tersebar tangkap layar di media sosial tentang pujian melangit oleh bukan Melayu konon mereka telah menemukan pemimpin Islam sebenar. Hebat, dengan hanya satu penampilan Nik Omar, gabungan pembangkang DAP telah menggambarkan Islam akan selamat di tangan mereka.

Begitu sekali terdesaknya mereka demi memperbaiki imej gabungan pembangkang PKR ini. Penampilan mengejut Nik Omar yang tidak mendapat restu ibu bukanlah satu langkah yang baik.

Di Sabah dan Sarawak, gabungan pembangkang PKR ini tidak berdaya. Tidak mungkin dapat menakluk Putrajaya dengan hanya mengharapkan kekuatan Warisan di Sabah dan DAP di Sarawak.

Sehingga sekarang Dr. Mahathir tidak berani menjejak kaki di kedua-dua negeri ini. Calon Perdana Menteri sementara ini bahkan menjadi liabiliti. Nama besar beliau tidak laku di kedua-dua negeri ini.

Entah kerusi mana yang diperoleh, Dr. Mahathir seperti lazimnya begitu yakin gabungan pembangkang PKR akan menang mudah. Bagaimana mahu menang jika tidak berani pun menjejak kaki ke Sabah mahupun Sarawak.

Menghampiri garis akhir, tembelang DAP dan sekutunya terdedah sedikit demi sedikit. Orang DAP sendiri yang mendedahkan rancangan jahat parti berlambang roket itu. Di mata DAP, pimpinan tertinggi PKR boleh ‘dibodohkan’ begitu sahaja.

Barangkali sudah takdir, pilihan raya kali ini telah mendedahkan tembelang sebenar DAP dan sekutunya kepada umum. Pilihan raya kali ini juga menampilkan sisi Dr. Mahathir sebagai pelakon dan perayu.

Memang banyak cerita semasa kempen pilihan raya kali ini. Tidak sabar untuk melihat keputusannya pada malam Rabu ini.

Zulkefli Hamzah
Utusan






Leave a Reply