Menu Utama

Jangan biar pembangkang ‘meracuni’ pengundi

PARA pengundi sudah tahu – siapa lawan siapa dalam kawasan peti undi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini. Tinggal tiga hari sahaja pengundi akan membuat penentuan kepada siapa dan gabungan parti mana yang akan diberi mandat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Pada Rabu ini sebanyak 222 kerusi Parlimen, 505 Kerusi Dewan Undangan Negeri akan direbut oleh ketiga-tiga gabungan parti politik terbesar – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan Pas. Parti mana yang berjaya ‘menambat’ hati 14,968,304 pengundi berdaftar?

Pemimpin dan jentera parti yang bertanding kini bertambah agresif berkempen sejak 28 April lalu. Melihat wajah-wajah calon, mereka seolah-olah nampak yakin tetapi di dalam dada, mereka pasti berdebar-debar.

Semakin dekat tarikh 9 Mei, degupan jantung rasa semacam – berdebar-debar. Untuk menang, calon kena menambat hati majoriti pengundi. Jentera parti pula kena kuat ‘bertahan dan menyerang’ semula. Bukan senyap sepi sahaja.

Bagaimanapun jangan kita terkejut jika ada calon parti yang nampak hebat namun boleh kecundang. Janji ditabur, gerak saraf begitu hebat, perang bendera meyakinkan tetapi belum tentu mempengaruhi hati dan fikiran pengundi. Apa makna semua itu?

Berdasarkan pengalaman PRU-12 dan PRU-13, kehadiran puluhan ribu orang se- masa acara kempen, belum tentu diterjemah- kan pada kertas undi.

Daripada tinjauan saya ke kawasan kempen di dua buah negeri minggu lalu, didapati isu calon pilihan hati rakyat de­ngan pilihan parti akan mempengaruhi kepu­tu- san undi. Sebab ada calon parti yang tidak disukai oleh pengundi. Namun parti merasakan itulah calon terbaik mereka untuk dipertaruhkan.

Oleh sebab itu, calon dan jentera parti tidak boleh terlalu yakin untuk capai kemenangan. Bu­kan mudah menambat hati pengundi yang pu­nya pelbagai perangai dan kemahuan.

Sebenarnya ada pihak tidak mahu belajar dari­pada kelemahan dan salah silap pada PRU lima dan 10 tahun lalu. Ia belum terlalu lama untuk dilupakan. Sehingga tarikh 9 Mei ini, tiada mana-mana pihak boleh mendakwa sudah menang.

BN jangan terlalu yakin dengan pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepadanya. Tidak boleh juga yakin segala perancangan dan strategi menepis dan menjawab tuduhan parti pembangkang sudah selesai.

Ya, perkara yang sama inilah yang berlaku pada masa lalu. Jangan pandang rendah keupayaan calon dan jentera parti pembangkang. Satu demi satu PRU menampakkan mereka ada kemajuan.

Paling saya bimbang jika ada kalangan jentera BN yang merasakan segala kepincangan dan kelemahan kepimpinan parti pembangkang berjaya disebar dan didedahkan untuk pengetahuan rakyat melalui surat khabar arus perdana, tv dan portal berita yang menyokong BN. Tidak cukup sebenarnya.

Sungguhpun kurang mendapat liputan media – namun calon dan pemimpin pembangkang bijak menggunakan saluran media sosial. Pembangkang mempunyai ramai pengikut dalam laman sosial.

Dalam konteks ini, tidak banyak isu kempen dikaitkan dengan calon dan masalah negeri di bawah BN dibangkitkan oleh pembangkang di laman sosial. Tetapi ada isu nasional yang boleh membuat calon BN jadi serba salah. Isu 1MDB, GST dan kos sara hidup terus ditiup ke telinga dan fikiran pengundi di bandar dan luar bandar.

Agresif menjawab

Saya percaya jentera pilihan raya BN sebenarnya bekerja keras dan agresif menjawab dan menjelaskan semua isu tersebut. Di samping itu, bukan sedikit laporan mendedahkan perihal wakil rakyat pembangkang yang tidak memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang diwakili.

Kritikan, pendedahan tentang pemimpin atau calon lawan terlibat penyelewengan dan pelbagai keburukan juga ditonjolkan untuk penilaian pengundi. Malah pelbagai dakyah palsu dan fitnah disebarkan.

Namun persoalan besar yang perlu difikirkan sekarang, adakah para pengundi akan percaya kepada BN atau terus memihak kepada parti lawan?

Sebenarnya, jangan biarkan pembangkang meracuni hati pengundi. Banyak orang percaya, sebenarnya pengundi sudah membuat pendirian – tidak boleh diubah lagi. Kalau dia sokong BN, sampai mati pun dia tetap beri undi kepada BN. Begitu juga jika pengundi itu penyokong tegar parti lawan, pendiriannya tidak akan berubah.

Satu perkara lagi ialah kepulangan pengundi ke kampung halaman untuk membuang undi. Golongan ini khabarnya pulang dalam jumlah yang besar hingga ribuan orang dalam sesebuah kawasan Parlimen dan DUN. Dalam kalangan ini banyak juga pengundi muda. Mereka pulang dengan membawa pengaruh yang boleh menentukan menang atau kalah calon yang bertanding.

Dalam konteks inilah peranan jentera parti BN perlu masuk ke dalam fikiran pengundi muda. Mendekati pengundi muda kena ikut cara mereka melalui laman sosial. Pujuk dan dedahkan kebenaran supaya dalam minda mereka tidak dirasuk tuduhan dan fitnah terhadap kerajaan BN yang dijaja oleh pembangkang.

Jangan hanya mengharap jentera Jalinan Rakyat dan Wanita UMNO, kekuatan perang saraf seperti poster, bendera, replika dan sebagainya untuk menunjukkan kawasan kampung dan perumahan berkenaan telah mereka kuasai. Bukan itu yang menentukan kemenangan.

Pengundi tidak perlu pun bertemu muka dan bersalaman dengan calon, tak berjumpa pun tidak menjadi masalah. Apa yang mereka mahukan ialah segala tuduhan dan fitnah yang ditimbulkan oleh pembangkang perlu diberi penjelasan. Ramai yang keliru tetapi belum mendapat jawapannya.

Sekarang zaman digital. Gunalah teks ringkas dan klip video untuk semua pemilik telefon bimbit membaca dan menontonnya.

Dalam isu pilihan raya, yang banyak berlegar ialah cerita dan kempen daripada parti pembangkang. Ramai yang bertukar maklumat dan isu politik melalui laman media sosial termasuk grup WhatsApp, Facebook dan Twitter.

Dalam tempoh yang pendek ini, saya harap ada kejutan daripada BN untuk menjawab semua tuduhan pembangkang. Berilah ‘pukulan maut’ untuk disebarkan melalui laman sosial.

Pesanan saya, jangan biar agama, bangsa dan bahasa Melayu dipinggirkan selepas PRU-14. Selamat buat pilihan.

Azman Anuar
Utusan






Leave a Reply