Menu Utama

Puluhan ribu pekerjaan hilang jika ECRL dibatalkan: PM

Rakyat akan kehilangan berpuluh ribu peluang pekerjaan yang bakal dijana projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika pembangkang membatalkan pembinaan jaringan pengangkutan alternatif itu sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bahkan pembatalan projek mega itu bukan saja menghilangkan keyakinan pelabur terhadap negara ini tetapi memberikan impak serta mengakibatkan ‘malapetaka’ (catastrophe) khususnya kepada pembangunan negeri Pantai Timur yang ketinggalan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembangunan ECRL berkenaan menghubungkan Pelabuhan Klang dan daerah Tumpat, Kelantan adalah projek berimpak tinggi yang diunjurkan memberi pulangan tambahan 1.5 peratus secara tahunan bagi tempoh 50 tahun selepas selesai pembinaannya.

“Projek berimpak tinggi adalah bukti aspirasi rakyat berpusat dalam memacu ekonomi, membawa perubahan besar kepada wilayah Pantai Timur, membangunkan modal insan menerusi Program Latihan Kemahiran Perindustrian ECRL sekali gus menyediakan sumber pekerja mahir mencukupi.

“Justeru jika ECRL dibatalkan kerana pihak pembangkang tidak mahu syarikat asing memperoleh manfaatnya, tetapi keputusan itu hanya membuatkan rakyat terbabit rasa dikhianati, terus terpinggir seperti mana berlaku pada kepemimpinan lalu yang mengabaikan pembangunan tetapi pada masa sama mereka meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo yang juga pernah dibiarkan terbengkalai sebelum ini,” katanya.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) II, Datuk Seri Ong Ka Chuan pada majlis perasmian Persidangan Rantaian Bekalan Kebangsaan Mengenai Projek Rel (PRBK) dan Pameran Kerjaya anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

PRBK adalah persidangan kali pertama yang diadakan bagi industri rel negara dengan pembabitan kira-kira 2,000 penyertaan daripada syarikat tempatan.

Ia membabitkan kehadiran pemain utama industri rel negara seperti Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSRCorp).

Najib berkata, ECRL itu membabitkan kerjasama dengan 13 institusi pengajian tinggi tempatan iaitu kira-kira 3,600 pelajar akan mengikuti modul latihan yang dibangunkan Universiti Malaysia Pahang dan dua universiti di China yang menawarkan pengajian kejuruteraan rel kereta api berteknologi tinggi, Beijing Jiaotong University dan Southwest Jiaotong University.

“Mereka ini akan ditawarkan pekerjaan di Malaysia Rail Link Sdn Bhd, China Communications Construction Company atau syarikat sub kontraktor lain.

“Selain itu banyak peluang pekerjaan lain diwujudkan antaranya 130,000 pekerjaan melalui projek Transit Aliran Massa (MRT), 22,000 pekerja profesional dan mahir serta 4,500 lagi membabitkan bidang spesifik Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan 80,000 peluang kerja menerusi ECRL,” katanya.

Bagi tempoh 50 tahun akan datang, projek HSR itu menjana lebihan kira-kira RM650 bilion Pendapatan Kasar Negara dan mewujudkan 442,000 pekerjaan baharu.

“Misalnya bagi ECRL pula setakat ini kira-kira 215 syarikat sudah menyertainya meliputi bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan kontraktor pentauliahan dan serta akan ada banyak lagi syarikat terbabit secara langsung selepas ini.

“Jika ia dibatalkan apa akan berlaku, kerana ketika ini 70 peratus syarikat itu milik tempatan, jadi cadangan pembatalan itu sangat tidak munasabah, bakal memberi kesan buruk pada ekonomi, masyarakat setempat dan kemudahan infrastruktur secara keseluruhannya,” katanya.

Sebagai contoh, projek ECRL memberi jaminan dan sudah dipersetujui, sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerja awam akan diberikan kepada kontraktor tempatan,” katanya.

“Sebaliknya pembangkang hanya menabur janji, mahu memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi pada masa sama memuji pelaksanaannya yang berhasil mengukuhkan ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Berita Harian






Satu Komen to Puluhan ribu pekerjaan hilang jika ECRL dibatalkan: PM

Leave a Reply