Menu Utama

9 TAHUN… MOGA NAJIB DIBERKATI

ALHAMDULILLAH. Hari ini Selasa 3 April 2018 genap sembilan tahun Datuk Seri Najib Tun Razak, 64, mengetuai kerajaan, menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Tumpang lalu memanjatkan syukur ke hadrat-Nya. Teruskanlah bertugas Perdana Menteri, seterusnya mengepalai BN sekali lagi mema­suki gelanggang perang ibu segala pilihan raya.

Di sebalik gelora politik tanah air yang semakin berbahang, sementelahan menunggu Parlimen bubar dan pelancaran manifesto BN yang ramai ‘kuat meramalkan’ minggu ini, berikut Tumpang lalu nukilkan sebahagian susah payah Perdana Menteri yang masih berlegar dalam fikiran rakyat negara ini.

1. Berani, tepat, diplomasi

Insiden pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di kawasan bergolak di timur Ukraine tentunya merupakan salah satu daripada siri episod yang paling diingati rakyat Malaysia.

Keberanian serta diplomasi cara Najib membolehkan semua mayat penumpang serta anak kapal yang terbunuh berjaya dikeluarkan. Kotak hitam yang menjadi rebutan pelbagai negara, dengan cepat turut diserahkan kepada wakil kerajaan Malaysia untuk dianalisis.

Sajian daripada berita antarabangsa sebelum Najib menggunakan diplomasinya jelas memaparkan mayat dalam ke­adaan bergelimpangan seolah-olah tidak dipedulikan. Ini apabila kumpulan pemisah enggan membenarkan pemantau antarabangsa untuk menyiasat dan mendapatkan bahan bukti.

Di pihak kuasa-kuasa besar dunia pula, insiden itu meledakkan polemik geopolitik apabila pe­mimpin Eropah, Rusia, Amerika Syarikat dan Ukraine mula me­nuding jari antara satu sama lain dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mengeluarkan resolusi menyalahkan pemisah Ukraine yang didukung Rusia.

Di tengah-tengah kemelut pe­mimpin kuasa besar yang tampak beremosi dan saling tuduh me­nuduh itulah Najib tiba-tiba tampil menjadi wira tidak didendang di mata masyarakat antarabangsa. Pendekatan diplomasi beliau terbukti lebih berjaya berbanding kuasa-kuasa besar.

Strategi diplomasi senyap yang direncanakan sendiri Perdana Menteri membuahkan hasil. Meskipun berisiko kerana belum pernah mana-mana kerajaan mengadakan rundingan dengan puak pemberontak apatah lagi yang sedang melancarkan perang terhadap kerajaan sah, Najib memilih untuk berunding dengan Alexander Borodai.

Hampir semua media utama antarabangsa termasuklah Newsweek, Reuters serta CNN memuji dan memberikan perspektif yang amat positif terhadap kejayaan diplomasi yang penuh risiko Najib ini di kala kuasa-kuasa besar dunia sendiri gagal untuk mendapatkan kepercayaan kumpulan pemisah.

2. Menongkah arus

Najib berani menongkah arus – termasuklah menjalin kerjasama pelaburan yang padu dengan China, India dan Arab Saudi. Ini semua dilakukan demi untuk melihat kemakmuran negara. Itulah yang berlaku apabila Perdana Menteri pulang ke tanah air dari China selepas pertemuan dengan Presiden Xi Jinping pada 16 Mei tahun lalu setelah meraih pelbagai peluang pelaburan dalam bidang infrastruktur untuk memajukan negara.

Itu kejayaan kali kedua Perdana Menteri selepas November 2016. Jika dijumlahkan pelaburan diraih Kuala Lumpur-Beijing diusahakan oleh Najib dalam beberapa bulan sahaja waktu itu sudah mencecah RM175 bilion. Ia belum termasuk siri pelaburan yang dijana daripada India, Arab Saudi, Perancis dan merata lagi yang berjumlah hampir RM300 bilion.

3. UMNO-Pas dicemburui

Pastinya hubungan baik Perdana Menteri dan Pas ketika ini dicemburui parti lawan.

Hakikatnya siapa pernah me­nyangka hubungan UMNO-Pas kembali bertaut di era Najib sebagai Perdana Menteri sejak kali terakhir pernah terungkap pada tahun 70-an. Hubungan baik dua parti itu pun bukan dilaksanakan secara bersendirian oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tetapi ini semua dalam pe­ngetahuan semua peringkat ke­pimpinan Pas – Jawatankuasa Pas Pusat, Lujnah Politik dan Majlis Syu­ra – yang bersetuju supaya hubu­ngan baik perlu dijalin de­ngan UMNO khusus dalam perkara membabitkan kepentingan Islam dan rakyat.

Keikhlasan Najib dalam me­ngusahakan jalinan ukhuwah UMNO-Pas ini bukan semata-mata kerana kepentingan peribadi atau undi, tetapi atas sikapnya yang menekankan aspek-aspek wasatiyyah atau kesederhanaan.

Orang Pas tentu akan mengi­ngati bagaimana Najib yang berbaju Melayu putih bersamping dan songkok hitam mengetepikan soal keselamatan diri ketika pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Melaka, Kelantan pada 13 Februari 2015.

Laungan takbir bersahut-sahut daripada puluhan ribu umat Islam di kubu kuat Pas di situ ketika beliau tiba pada kira-kira pukul 9.45 pagi di pekarangan Masjid Tok Guru untuk menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak sahaja Nik Abdul Aziz semasa sakitnya dikunjungi Perdana Menteri, begitu juga dengan Abdul Hadi yang diziarahinya ketika pemimpin Pas itu menerima rawatan di sebuah hospital di Istanbul, Turki termasuklah di Institut Jantung Negara (IJN).

Harapan banyak pihak untuk melihat kedua-dua parti yang tidak bertentang mata selama kira-kira 40 tahun itu untuk sekurang-kurangnya kembali bersatu atas platform tertentu bukan politik, semakin kukuh.

Jiwa besar Najib disambut Abdul Hadi yang katanya, Pas sentiasa terbuka dan berlapang dada terhadap hasrat perpaduan dalam bermasyarakat yang berteraskan syariat Allah SWT dengan mana-mana pihak sama ada Islam atau bukan Islam.

“Pastinya Pas mengambil pendirian itu apabila terdapat suara positif yang selari dengan kepen­tingan Islam, negara dan rakyat maj­muk keseluruhannya,” katanya.

4. Mana terima kasih Kit Siang?

Kalau diusik dengan seloroh atau gurauan nakal, Penasihat DAP, Lim Kit Siang khususnya wajar mengucapkan terima kasih kepada Najib.

Bukankah telah dua kali Kit Siang disumbatkan ke dalam tahanan tanpa bicara Akta Ke­selamatan Dalam Negeri (ISA) 1960?

Pertama kali pada 1969 apabila Kit Siang ditahan di bawah akta itu selama 18 bulan. Sepuluh tahun kemudian, beliau disabitkan kesalahan dengan lima pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan jual beli senjata yang dibuat secara tidak betul antara pihak kerajaan dengan sebuah syarikat Swiss. Dan Kit Siang sekali lagi menjadi mangsa ISA ketika Ops Lalang pada 1987 dan ditahan tanpa bicara selama 18 bulan. Justeru, kewajaran ung­kapan terima kasih itu perlu kerana Najib pada 15 September 2011 mengumumkan pemansuhan ISA berkenaan.

5. Boleh jadi Presiden UMNO sepanjang hayat, tapi…

Kalau difikirkan jika Datuk Seri Najib Tun Razak tamak atau bersikap diktator, buat apa sebaik sahaja ambil alih pucuk kepemimpinan UMNO, terus beliau merombak sistem pemilihan parti. Sedangkan beliau boleh sahaja bukan setakat mengekalkan sistem itu, malah mengubah suainya lagi dengan mengenakan syarat lebih ketat untuk sesiapa bertanding jawatan Presiden.

Tetapi ini tidak berlaku. Perlembagaan UMNO dipinda pada 2009, hanya enam bulan selepas Najib mengambil alih sebagai Presiden, dengan memansuhkan sistem kuota.

Sebelum itu, seseorang yang mahu bertanding presiden disyaratkan terlebih dahulu mendapat kuota sokongan 57 daripada 191 bahagian (30 peratus).

Dengan pemansuhan sistem kuota, ia sekali gus membuka ruang kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum pernah memegang jawatan ahli Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal. Mahu diakui atau tidak, di bawah tadbiran Najib selaku Presiden, lantai demokrasi UMNO terbuka meluas.

Berbanding hanya sekumpulan orang iaitu 2,500 perwakilan untuk menentukan pucuk kepimpinan parti sebelum ini, kali ini ia ditambah menjadi 146,500 yang mana pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu.

Seperti besi kersani yang tidak tersepuh dengan saja-saja malah telah dibakar, dilebur dan diasah menjadi keris waja yang kukuh lagi gagah berani, begitulah UMNO dan BN yang diterajui Najib terus memperjuangkan kepentingan rakyat.

Liku-liku politik yang dilalui Najib telah mematangkan beliau. Kekuatan Najib adalah kesabaran dan ketabahannya melalui segala liku termasuk difitnah berulang kali.

Tumpang lalu ucapkan selamat berjuang Datuk Seri!

Zulkifli Jalil
Utusan






2 Komen to 9 TAHUN… MOGA NAJIB DIBERKATI

  1. Pemerhati says:

    semoga DS Najib terus bersemangat memimpin & memajukan negara

Leave a Reply