Menu Utama

ROS, ahli-ahli PPBM ditipu?

Alasan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa partinya tidak dapat mengemukakan laporan minit mesyuarat bahagian serta cawangannya kerana masih baharu ditubuhkan mengundang persoalan sama ada mereka ‘menipu’ pihak berkuasa atau ahli-ahlinya sendiri.

Bekas Setiausaha Kerja parti, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, alasan itu tidak munasabah dan malah percaya kenyata­an sedemikian bersangkut-paut dengan usaha beberapa kepimpinan tertinggi PPBM tidak mahu jawatan masing-masing digugat.

“Dalam borang keahlian PPBM sudah ada ruang cawangan dan bahagian untuk diisi, bukankah selepas menjadi ahli sejurus itu perlu membuat mesyuarat cawangan dan bahagian?

“Kita juga tahu terdapat jawatan-jawatan peringkat cawa­ng­an dan bahagian dalam PPBM, bermakna cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian ini telah pun wujud,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin meng­a­kui partinya tidak mam­pu untuk memberikan minit mesyuarat bahagian dan cawangan PPBM kepada ROS da­lam tempoh 30 hari atas alasan penubuhan beberapa bahagian itu hanya diluluskan Julai lalu sekali gus tidak dapat mengadakan mesyuarat dalam tempoh setahun.

Sementara itu, bekas ahli Exco sayap pemuda PPBM, Mohamad Taufik Abas mempertikaikan alasan Muhyiddin dan pelik me­ngapa kepimpinan PPBM bersungguh-sungguh mempertahankan mereka telah melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan de­ngan mematuhi segala peraturan.

“Adakah alasan ini membuktikan Muhyiddin atau PPBM selama ini menipu ahli-ahlinya, sedangkan secara terang-terangan mereka telah melanggar peraturan dan Perlembagaan parti?” soalnya.

Mohamad Taufik bagaimanapun tidak pelik terhadap apa yang berlaku dalam PPBM kerana sudah lama menghidu akan terjadinya masalah dalaman parti tersebut.

Malah, beliau mempercayai, alasan terbaharu yang diberikan oleh Presiden PPBM itu memperlihatkan keretakan dalam parti tersebut dengan kewujudan kem Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menjadi Perdana Menteri dan kem Muhyiddin yang dilihat telah disisih­kan oleh Pakatan Harapan.

Utusan






Leave a Reply