Menu Utama

Minta campur tangan asing perbuatan salah dan pengecut – Abdul Hadi

Tindakan Pakatan Harapan diketuai DAP meminta campur tangan asing bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah langkah politik yang salah dan pengecut.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Harapan mendakwa mereka berbuat demikian kononnya mahu membawa perubahan tetapi ironinya menampilkan pula tokoh yang terkenal dengan banyak salah laku ketika pemerintahannya.

“Ada parti tak berani lawan BN, dia dakwa berani tapi sebenarnya pengecut kerana minta tolong orang luar, jemput orang asing dan media asing. Kita tidak jemput orang asing, kita tidak ajak orang asing untuk campur tangan urusan politik negara.

“Kami ada gagasan kami sendiri, kami tidak minta tolong orang asing kerana minta tolong orang asing, jemput campur tangan asing ini adalah satu pendekatam politik yang salah,” katanya ketika berucap

di Munajat Perdana Pas Selangor di sini malam ini.

Pembangkang sebelum ini melakukan pelbagai cara bagi membuka ruang kepada campur tangan asing untuk menggulingkan kerajaan BN yang dipilih secara sah melalui pilihan raya termasuk mendapatkan dana bagi menggerakkan demonstrasi jalanan.

Selain itu, pakatan tersebut juga sanggup bersekongkol dengan pihak luar untuk memburuk-burukkan negara termasuk meminta campur tangan asing dalam sistem pilihan raya Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan pula, Abdul Hadi memberitahu Pas akan bertanding di sekurang-kurangnya di 130 kerusi Parlimen dan yakin parti itu mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pas akan lawan semua penjuru, kita akan tanding 130 kerusi atau lebih. Kita berusaha sekurang-kurangnya capai majoriti mudah dan kalau tidak (tak capai) dengan majoriti kerusi yang banyak kita boleh jadi king maker (pemutus).

“Tapi kita tidak pelahap, jika menang kita akan buat perubahan dan kalau tidak menang, kita akan jadi penasihat kerajaan supaya dibuat perubahan demi kepentingan rakyat, negara dan agama Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE



« (Previous News)



Leave a Reply