Menu Utama

Malaysian Malaysia: Apa masalah DAP dengan Perlembagaan?

Pemimpin DAP sepatutnya memahami semangat Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum demi kestabilan negara dan bukannya terus memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menekankan prinsip sama rata.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, peruntukan istimewa orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan dimasukkan bagi menjamin keadilan sosial tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

Namun katanya, jika konsep ‘Malaysian Malaysia’ terus menjadi impian pemimpin DAP terutama Lim Kit Siang, ia dibimbangi membuka ruang kebencian masyarakat kepada Perlembagaan dan menjurus kepada hasutan semata-mata.

“Jika hanya satu kaum sahaja kuat dalam ekonomi maka akan wujudnya jurang tidak seimbang daripada sudut berkenaan yang akhirnya lahirlah perasaan tidak puas hati kaum lain.

“Apa yang penting adalah keadilan bukan hak sama rata bagi menjamin keamanan negara pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas berkenaan pendirian tegas Kit Siang yang tetap berpegang teguh mahu mewujudkan sebuah negara berkonsepkan ‘Malaysian Malaysia’ ketika perbahasan di sesi Dewan Rakyat kelmarin.

Penegasan Kit Siang itu juga menimbulkan tanda-tanya terhadap pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad memandangkan bekas Perdana Menteri itu pernah menolak DAP kerana prinsip ‘Malaysian Malaysia’.-UTUSAN ONLINE






Leave a Reply