Menu Utama

Kalau harap Mukhriz, lima tahun pun belum tentu selesai

Kemelut penubuhan cawangan dan bahagian PPBM

Andai tempoh lima tahun lagi diberikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kemelut penubuhan cawangan dan bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetap tidak akan selesai.

Bekas Ketua Serikandi PPBM, Anina Saadudin menegaskan, kepincangan itu bermula daripada keputusan yang salah dalam mengangkat anak kepada ‘orang besar dalam parti’, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai pengerusi pembentukan bahagian.

Katanya lagi, bekas Menteri Besar Kedah itu tidak pernah memikirkan kepentingan parti, sebaliknya lebih gemar mencari rakan-rakan lama untuk dilantik menjadi ketua bahagian.

Jelas beliau, tindakan itu merupakan persiapan rahsia Mukhriz dalam memastikan kelangsungan pengaruhnya dalam parti tidak akan dicabar oleh sesiapa.

“Bayangkan setelah hampir menjangkau usia dua tahun penubuhan, PPBM masih belum mempunyai struktur cawangan dan bahagian.

“Kelemahan itu yang membuatkan mereka tergesa-gesa menjalankan perhimpunan agung parti ‘asal boleh’ yang pertama walaupun tanpa perwakilan sah dari cawangan dan bahagian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anina yang juga bekas pengasas PPBM turut mempersoalkan ‘kesibukan’ pucuk pimpinan parti berkenaan.

“Pucuk pimpinan buat apa sebenarnya. Mereka bukannya ada kementerian atau negeri yang nak ditadbir, sebaliknya sibuk berceramah sahaja,” ujarnya – UTUSAN ONLINE






Leave a Reply