Menu Utama

BN tidak tabur janji kosong, hormati sekolah Cina

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap menunaikan segala janji yang dibuat termasuk dalam soal memenuhi keperluan pendidikan sekolah Cina di negara ini, dan bukan menabur janji-janji kosong seperti pembangkang yang semata-mata mahu memenangi pilihan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lawatannya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa, di bawah kawasan Parlimen Hulu Selangor adalah bertujuan untuk melihat sendiri bangunan baharu sekolah tersebut yang telah disiapkan sepenuhnya pada tahun lalu hasil sumbangan kerajaan Pusat sebanyak RM3 juta.

Semasa lawatan itu juga, Najib turut meluluskan dana sebanyak RM400,000 bagi membangunkan sistem lampu isyarat dan pelebaran jalan di Persimpangan Rasa yang terletak lebih dua kilometer dari SJKC Rasa, rentetan pelbagai aduan oleh penduduk setempat bahawa kerap berlakunya kemalangan di persimpangan tersebut.

“Tujuan saya ke sekolah ini adalah untuk melihat sendiri janji kerajaan BN, setelah saya pada 28 April 2010 mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membina sekolah ini.

“Pada masa sama hal ini menunjukkan kerajaan tetap menghormati sistem pendidikan Cina di negara ini,” katanya ketika melawat sekolah Cina itu di sini hari ini.

Najib juga berkata, dana sebanyak RM400,000 yang serta-merta diluluskan beliau itu menunjukkan betapa prihatinnya kerajaan BN terhadap rintihan rakyat, berbeza dengan DAP yang sebelum ini pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi tidak ditunaikan walaupun merupakan parti Kerajaan Negeri Selangor. – UTUSAN ONLINE






Leave a Reply