Menu Utama

Apa Kata Dunia, Selangor Tanpa Shah Alam

Tersenyum penulis membaca kenyataan dari Amirudin Shari, Exco Selangor berhubung dengan isu #KembalikanStadiumShahAlam, yang berpunca dari desakan dari peminat agar Stadium Shah Alam dijadikan gelanggang “tuan rumah” buat pasukan bolasepak Selangor.

Apa yang penulis dapat fahami dari kenyataan tersebut, tiada sebarang alasan atau sebab musabab, untuk tidak membenarkan pasukan Selangor menjadikan Stadium Shah Alam sebagai “venue”, seperti tradisinya. Yang ada hanyalah segumpal “pergeseran” di antara kerajaan negeri dan FAS. Mudahnya, tindakan dari kerajaan negeri tidak lebih dari sekadar membalas dendam kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), yang diterajui oleh Subahan Kamal. Mungkin akibat dari dendam politik, akhirnya pasukan bolasepak menjadi mangsa. Walhal, Subahan Kamal telah melepaskan segala jawatan politiknya, untuk memberi tumpuan dan fokus kepada persatuan sukan yang dipimpinnya, selain FAS.

Peminat tidak mahu tahu, soal dalaman yang berlaku. Apa yang peminat mahu, tradisi dan status pasukan Selangor diletakkan di tempat yang sepatutnya. Sebelum ini juga pelbagai peristiwa dan isu yang melanda persatuan, namun ia tidak pernah mengorbankan pasukan bolasepak Selangor.

Stadium Shah Alam mula dibina pada 1 Januari 1990, dan siap pada 16 Julai 1994 merupakan satu usaha dari kerajaan negeri bagi memberi peluang kepada peminat-peminat Selangor untuk hadir ke stadium bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi. Apatah lagi, pada ketika itu, jumlah teramai penyokong setia Merah Kuning berada di kawasan Klang, Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sabak Bernam. Stadium Merdeka dilihat tidak lagi praktikal, berikutan lokasinya yang jauh berbanding Shah Alam.

Apakah logik membenarkan pasukan seperti PKNS bermain di stadium yang mampu memuatkan lebih 80 ribu penonton?

Inilah masalah yang sedang membelenggu Selangor, apabila pentadbiran negeri dikuasai oleh bukan anak jati negeri, yang sambil lewa memandang kepentingan dan tradisi pasukan bolasepak Selangor. Pada mereka, politik dan kuasa lebih utama, lantas kuasa itu digunakan untuk menghukum sesiapa sahaja, tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.

Mahu Jadi Apa, Liverpool Tanpa Anfield,
Mahu Jadi Apa, Milan Tanpa San Siro,
Mahu Jadi Apa, Real Madrid Tanpa Bernabeu,
Apa Kata Dunia, Selangor Tanpa Shah Alam!






Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.