Menu Utama

Gerakan ada bukti Dap buat bayaran.

Di sebalik penafian kerajaan DAP Pulau Pinang yang mereka telah membuat bayaran kajian bagi pembinaan projek terowong dasar laut, Gerakan tampil dengan ‘bukti’ baharu bahawa perkara sebaliknya berlaku.

Pengerusi Gerakan negeri, Teng Chang Yeow berkata, kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini yang mendakwa tidak ada satu sen dibayar untuk projek ber­kenaan menimbulkan keraguan.

Ujarnya, ini kerana berdasarkan jawapan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 November lalu, kerajaan negeri memaklumkan RM11.2 juta telah dibayar secara tunai kepada HSSI Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat perunding dilantik.

“Syarikat berkenaan dilantik oleh kerajaan negeri untuk tuntutan pembayaran dan reka bentuk projek terowong yang dikemukakan oleh Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd.

“Bukankah ini satu pembohongan apabila kerajaan negeri mendakwa tidak ada satu sen dibayar menerusi pertukaran tanah, sekali gus menyebabkan kepen­tingan rakyat negeri ini terkorban?” soalnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini menegaskan tidak pernah membuat sebarang pembayaran untuk projek terowong berkenaan, sebaliknya hanya mem­buat bayaran bagi penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk projek tiga lebuh raya.

Pada masa sama, Guan Eng menjelaskan, projek berkenaan akan diteruskan walaupun ber­depan siasatan penyelewengan oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, sudah sampai masanya kerajaan negeri berhenti daripada berdolak-dalik berhubung isu berkenaan sebaliknya perlu menjelaskan dengan jujur tentang yuran perundingan sebanyak RM11.2 juta.

Secara sinis, Chang Yeow berta­nya, yuran perundingan berkenaan menyamai kes-kes yang didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara beberapa tahun lalu mengenai kelemahan pentadbiran apabila satu set pemutar skru dibeli dengan harga RM2,254.90 sedang­kan harga pasaran sekitar RM32.

Utusan






Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.