Menu Utama

DAP tetap ‘taiko’, bahaya jika Pakatan Harapan menang PRU-14 – PAS

Pas melihat perkembangan politik Islam dan orang Melayu di negara ini berada dalam situasi cukup bahaya jika Pakatan Harapan yang diketuai DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
DAP tetap ‘taiko’, bahaya jika Pakatan Harapan menang PRU-14

Kebimbangan tersebut disuarakan oleh Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin yang percaya DAP tetap akan menguasai Pakatan Harapan meskipun daripada soal pengagihan kerusi, parti itu hanya diberikan 35 kerusi Parlimen oleh gabungan tersebut.

Dalam masa sama, Hashim turut memberi contoh situasi di Perak selepas PRU-12, walaupun ketika itu wakil Pas menjadi Menteri Besar namun segala keputusan ditentukan oleh DAP yang dominan pada masa itu.

“Walaupun kita katakan PPBM dapat banyak kerusi (52 kerusi), PKR (51 kerusi) tetapi mereka akan bertanding di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) atau Pas. Kalau mereka tidak tewas dengan Pas mungkin kalah dengan BN.

“Berbanding DAP yang bertanding di kawasan selesa yang secara realitinya sudah menang. Akhirnya yang mengepalai Pakatan Harapan nanti adalah mereka (DAP) yang menang kerusi paling banyak.

“Kalau ditakdirkan Pakatan Harapan tubuh kerajaan, walaupun DAP tidak menjadi Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri yang dipilih itu akan ikut cakap dia.

Situasi ini cukup bahaya bagi politik Islam dan orang Melayu di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas pengagihan kerusi Pakatan Harapan dalam PRU-14 yang menyaksikan DAP hanya bertanding 35 kerusi berbanding PPBM (52 kerusi), PKR (51 kerusi) dan PAN (27 kerusi).

Meskipun pengagihan kerusi DAP tidak setinggi PPBM dan PKR, namun peluang DAP terus menjadi parti paling berkuasa dalam Pakatan Harapan tidak dinafikan kerana tidak menyerahkan kawasan selamat atau kubu kuat kepada parti-parti pembangkang lain.

Sementara itu menyentuh mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara jika Pakatan Harapan menang PRU-14, Hashim berkata, memilih Dr. Mahathir memegang kerusi No. 1 negara itu seumpama ‘bergantung pada dahan reput yang menanti masa untuk patah’.

Dalam masa sama katanya, janji Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sementara sebelum digantikan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat tidak meyakinkan selepas melihat rekod-rekod terdahulu bekas Perdana Menteri itu.

“Saya yakin rakyat tidak akan mudah lupa banyak perkara tidak menyenangkan berlaku semasa zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 22 tahun.

Bagi saya, dosa terbesar Dr. Mahathir apabila dia menyekat bantuan untuk sekolah-sekolah agama,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-tetap-taiko-bahaya-jika-pakatan-harapan-menang-pru-14-1.588485#ixzz53r3te9i3
© Utusan Melayu (M) Bhd






Satu Komen to DAP tetap ‘taiko’, bahaya jika Pakatan Harapan menang PRU-14 – PAS

Leave a Reply