Menu Utama

Ancaman Kepada Industri Sawit Yang Perlu Kita Ketahui

Malaysia berpendirian teguh mengkritik cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk melarang penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit selepas 2021. Kita sedang berusaha melobi dan menggunakan jalinan hubungan baik dengan pihak pemegang taruh di Eropah untuk menangani isu ini.

Saya sudah menerangkan, pendirian kita bahawa tindakan EU tidak boleh diterima sama sekali kerana ia jelas mengancam periuk nasi pekebun kecil sawit kita.

Kempen digital terbaru Faces of Palm Oil diterajui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan disokong sepenuhnya oleh Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH), FELDA, Lembaga Penyatuan & Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Persatuan Penanam Sawit Dayak Sarawak (DOPPA); memberi suara dan kekuatan kepada 650,000 pekebun kecil di seluruh Malaysia dan mendapat liputan meluas daripada media utama di Eropah.

Pertubuhan pekebun kecil ini juga terbabit secara langsung dalam kempen ini. Pada 16 Januari 2018 lalu, mereka berarak ke Kedutaan Kesatuan Eropah di Kuala Lumpur dan menyerahkan petisyen membantah cadangan larangan ini yang ditandatangani oleh pemimpin mereka. Salinan petisyen ini juga diserahkan kepada wakil kedutaan anggota EU pada hari sama. Suara ketidakpuasan hati mereka terdengar di sepanjang jalan hingga Brussels.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad bersama pekebun kecil FELDA membantah cadangan larangan eksport minyak sawit ke EU.

Masa depan terancam

Secara keseluruhan, 3.2 juta rakyat Malaysia merangkumi pekebun kecil, keluarga dan anak mereka serta masyarakat luar bandar bergantung kepada minyak sawit untuk kelangsungan hidup. Masa depan mereka akan terancam secara mendadak jika cadangan larangan ke atas penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit ini dikuatkuasakan.

Sehari selepas penyerahan petisyen, Parlimen EU bersidang untuk menyatakan pendiriannya mengenai cadangan larangan ini. Walaupun pada sesi itu majoriti Ahli Parlimen EU mengundi untuk menyokong cadangan larangan ini, jumlah undian menyokong berkurangan dengan ketara daripada 640 yang diperoleh kepada 492. Setidak-tidaknya, ini indikator jelas, demonstrasi pekebun kecil dan usaha kita bukan ibarat mencurah air ke daun keladi.

Hujah dan tentangan lantang kita turut mendapat sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen EU daripada Parti Konservatif di United Kingdom yang mengundi membantah cadangan larangan ini. Buktinya, satu kenyataan rasmi dikeluarkan, mereka bersepakat “tidak menyokong pengharaman ke atas minyak sawit yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya; dan akan menyebabkan inflasi pada harga makanan serta keruntuhan ekonomi di negara membangun.”

Ahli Parlimen EU Eropah, Daniel Hannan, mengkritik Ahli Parlimen EU yang menyokong cadangan larangan bersifat diskriminasi ini dalam ucapannya ketika sesi Persidangan Parlimen EU. Beliau berkata: “Realitinya, undi ini adalah untuk menjaga kepentingan pengeluar tanaman biji sesawi di Eropah, khususnya industri bahan bakar bio di EU.”

Tambahan lagi, 57 Ahli Parlimen ini dari Parti Rakyat Eropah (EPP), parti politik terbesar di Eropah, mencadangkan agar larangan minyak sawit ini dimansuhkan. Ini menggambarkan ramai antara ahli Parlimen EU yang kini seiring dengan pendirian kukuh kita.

Bagaimanapun, keputusan undian pada peringkat Parlimen EU ini bukan noktah muktamad. Langkah seterusnya, Parlimen EU masih perlu berunding dengan kerajaan ahli majlis menteri negara EU sebagai langkah susulan untuk menjadikan cadangan larangan ini sebagai undang-undang yang sah dan diiktiraf. Walau apa pun keputusan mereka nanti, cadangan ini satu ancaman nyata kepada kita dan diskriminasi yang bertentangan dengan semangat perdagangan bebas.

Walaupun ada pihak mereka di Malaysia cuba meremehkan dan sengaja mengelirukan dengan penggunaan jargon teknikal seperti perkataan ‘larangan’, hakikatnya, keputusan rasmi pengundian daripada Parlimen EU membuktikan sebaliknya: “Ahli Parlimen EU mendesak penggunaan bahan bakar bio daripada minyak sawit diharamkan bermula dari 2021”.

Ini membuktikan, institusi Parlimen EU bersifat antisawit dengan mengharamkan penggunaan bahan bakar bio berasaskan sawit.

Sekiranya EU komited mengenai kemapanan, mereka sepatutnya berganding bahu dengan kita untuk mengukuhkan lagi skim Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mula diterima pakai oleh pekebun kecil sawit di Malaysia. Ketika ini, kita mencapai kemajuan yang baik dengan jumlah kawasan penanaman sawit diiktiraf, di bawah skim MSPO sudah meningkat 135 peratus kepada 518,794 hektar tahun lalu berbanding 221,322 hektar pada 2016.

Diskriminasi paling teruk

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami mendengar rintihan 650,000 pekebun kecil di seluruh pelusuk negara dan bersama terus berjuang. Usul larangan EU ini adalah satu bentuk ‘aparteid tanaman’. Cadangan larangan ini adalah usaha yang sengaja diada-adakan untuk mengharamkan hasil tanaman dikeluarkan di Malaysia, manakala tanaman dihasilkan di Perancis, Jerman dan negara EU boleh terus diterima serta diguna sebagai bahan bakar bio. Ini satu bentuk diskriminasi paling teruk pernah dilakukan.

Kerajaan Malaysia sedang melakukan segala-galanya untuk memansuhkan larangan ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengumumkan, Malaysia tidak teragak-agak mengambil tindakan balas terhadap usaha EU untuk memperkenalkan larangan ke atas penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit.

Saya sudah menulis kepada semua Menteri Tenaga di EU mengenai pendirian Malaysia mengenai tindakan diskriminasi ini. Ini akan disusuli dengan pertemuan dengan mereka di Eropah. Dalam pertemuan ini nanti, kita mesti terus mengingatkan mereka bahawa minyak sawit keluaran Malaysia sudah memenuhi piawaian ketat yang diperlukan dan ia diperakui sebagai lestari oleh skim kemampanan Eropah yang terkemuka, termasuk Skim Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) dari Jerman.

Malaysia mengeksport hampir 2 juta tan minyak sawit ke Kesatuan Eropah pada tahun lalu, iaitu kira-kira 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit. Daripada jumlah ini, 0.6 juta tan digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan biodiesel di sana, manakala 0.215 juta tan biodiesel berasaskan minyak sawit diimport terus dari Malaysia. EU adalah pembeli kedua terbesar selepas India.

Tiada apa lebih penting daripada kehidupan rakyat Malaysia, hak mereka untuk mengusahakan tanaman sawit, meningkatkan pendapatan dan menyara keluarga mereka.

Penulis adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi






2 Komen to Ancaman Kepada Industri Sawit Yang Perlu Kita Ketahui

  1. Maha says:

    Cadangan aku cuba perkenal sawit di negara2 arab mana tahu mereka boleh gantikan minyak zaitun minyak bio , qatar pun dah Kena sekatan makanan jadi kita hantar minyak sawit kita dekat qatar, kalau boleh Kita masuk pasaran turkis, mana tahu boleh jadi pasaran baru

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.