Perdana Menteri berkata, Ma­­laysia secara konsisten membantah tindakan Amerika Sya­rikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel yang menindas hak rakyat Pa­lestin.

Ujar beliau, meskipun Pre­siden AS, Donald Trump merupakan kenalan baiknya namun prinsip pertama maqasid syariah iaitu menjaga agama Islam adalah jauh lebih penting.

“Kita ada maruah kita, kita tidak meminta pinjaman daripada AS. Dalam hal ini, mereka yang minta tolong dengan kita untuk beli kapal terbang mereka dan melabur di negara mereka.

“Kita ada maruah kita, sedikit sebanyak kita ada kekuatan kita. Apatah lagi kalau umat Islam di negara ini bersatu padu,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra di sini hari ini.

Dalam himpunan yang turut disertai pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Najib turut melancarkan tabung untuk Palestin dan menurunkan tandatangan di atas kain rentang bantahan.

Najib memberitahu, Malaysia akan menggunakan setiap saluran diplomatik, politik, kewangan selain doa yang tidak henti agar hak rakyat Palestin terhadap Baitulmuqaddis dapat dipelihara.

Katanya, beliau juga telah me­nyatakan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bahawa Malaysia bersetuju menaja resolusi untuk dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Insya-Allah, Baitulmuqaddis menjadi milik rakyat Palestin, saya impikan untuk solat di Masjid Al Aqsa tetapi saya tidak mahu pergi sana jika minta izin dari Zionis,” katanya.

Kata beliau, pendirian tegas suara rakyat Malaysia yang dibawanya dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki baru-baru ini akan terus dibawanya agar Palestin kembali berdaulat sebagaimana persempadanan sebelum tahun 1947.

Tegasnya lagi, beliau juga akan berjuang untuk Palestin menjadi negara yang bebas dan berdau­lat serta Baitulmuqaddis Timur menjadi ibu negara Pa­lestin.

“Sebagaimana dinyatakan da­lam khutbah Jumaat hari ini, walaupun dikerat-kerat badan saya, walaupun hanya tinggal seketul sahaja, saya masih menyuarakan prinsip ini,” katanya.