Menu Utama

UiTM DAN “SLOW LEARNER”

Oleh Isham Jalil

BAHAGIAN 1: “SLOW LEARNER”

Sebagai seorang yang banyak berkait rapat dan mempunyai sejarah dengan UiTM, saya tidak ambil hati dengan apa yang dikatakan oleh Ku Nan baru-baru ini berkenaan isu “slow learner”. Beliau berkata pelajar “slow learner” boleh masuk UiTM.

Saya kenal Ku Nan, dan saya tahu beliau tidak bermaksud seperti yang diwar-warkan secara negatif oleh pihak-pihak tertentu.

Saya berpandangan apa yang cuba dikatakan oleh beliau adalah sebenarnya berkaitan dengan peluang. Iaitu peluang untuk mendapat pendidikan tinggi tidak kira kekurangan latar belakang sosio-ekonomi seseorang.

Hanya dua generasi yang lalu, kebanyakan rakyat di Malaysia tidak dapat peluang untuk mendapat pendidikan tinggi disebabkan oleh masalah kemiskinan atau kekurangan tempat di menara gading. Perkara ini masih berlaku di banyak negara-negara lain di seluruh dunia.

Pada awal tahun-tahun selepas Merdeka ketika universiti tempatan yang pertama dibuka di Tanah Melayu iaitu Universiti Malaya pada tahun 1959, hanya lebih kurang 300 orang belia sahaja yang berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Bilangan ini adalah 1 daripada 3,000 orang atau 0.03% daripada jumlah belia berumur 18 ke 24 tahun pada ketika itu.

Kini, dalam kurang daripada dua generasi sahaja, bilangan belia yang berpeluang mendapat pendidikan tinggi di universiti-universiti awam dan swasta tempatan adalah lebih daripada satu juta orang. Jumlah ini adalah 1 daripada 3 orang atau 33% daripada jumlah belia berumur 18 ke 24 tahun di Malaysia.

Peningkatan peratusan peluang untuk mendapat pendidikan tinggi di menara gading kepada rakyat Malaysia ini adalah sebanyak seribu kali ganda berbanding dahulu. Salah satu punca utama peningkatan peluang untuk mendapat pendidikan tinggi ini adalah disebabkan oleh penubuhan universiti-universiti dan kampus-kampus universiti tempatan terutamanya kampus-kampus UiTM di seluruh negara. Daripada keseluruhan 500 ribu mahasiswa di universiti awam tempatan kini, satu per tiga atau 170 ribu daripadanya adalah mahasiswa UiTM.

Walaupun UiTM mengambil pelajar dengan kuantiti yang besar, UiTM juga telah melahirkan mahasiswa dengan kualiti yang tinggi.

Beberapa tahun yang lalu pada tahun 2013, seorang mahasiswa UiTM iaitu Siti Aisah Kamarulzaman telah mendapat tempat ke-7 terbaik di dunia dalam peperiksaan antarabangsa ACCA.

Pada tahun lalu, seorang lagi pelajar, Nurul Nabilah Abdul Jalil, mahasiswa jurusan perakaunan di UiTM Shah Alam telah mendapat tempat ke-6 terbaik di dunia dalam peperiksaan antarabangsa ACCA yang sama.

Apabila beberapa orang mahasiswa sesuatu institusi pendidikan mencapai rekod sebegini, ini menunjukkan yang bukan sahaja mahasiswa tersebut adalah berkualiti dan bijak, ia juga menunjukkan yang institusi pendidikan tinggi itu mempunyai ekosistem pendidikan yang cemerlang.

Satu hari nanti kita pasti akan ada seorang pemenang hadiah Nobel dari kalangan rakyat Malaysia. Tidak mustahil pemenang ini datangnya daripada UiTM.

Tentunya tidak semua mahasiswa yang berpeluang ke universiti ini adalah pelajar-pelajar terbaik yang cepat belajar dari sekolah-sekolah yang terbaik sahaja. Hakikatnya mereka berasal daripada latar belakang dan titik permulaan yang berbeza-beza. Pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik yang mungkin kurang cepat belajar pada awalnya ini tidak semestinya tidak bijak. Mereka mungkin menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran.

Contohnya, ada pelajar yang kurang bernasib baik yang mendapat pendidikan pra universiti di sekolah-sekolah luar bandar yang kurang kemudahan melalui banyak cabaran untuk belajar di sekolah dan di rumah yang terpaksa dihadapi oleh mereka oleh kerana masalah lokasi dan kewangan. Ini menyebabkan titik permulaan mereka sebelum masuk ke universiti sedikit berbeza dengan pelajar-pelajar lain yang lebih bernasib baik seperti pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah di bandar-bandar yang mempunyai kemudahan-kemudahan awam mahupun swasta yang lebih baik seperti lokasi sekolah yang berdekatan dengan tempat tinggal, khidmat tuisyen, pendapatan keluarga yang lebih tinggi untuk khidmat dan alat bantuan pembelajaran dan lain-lain.

Siti Aisah, mahasiswa yang mendapat tempat ke-7 di dunia dalam peperiksaan antarabangsa ACCA di atas berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan adalah seorang anak peniaga pasar malam. Pastinya beliau menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke universiti selepas tamat persekolahan. Tanpa peluang ke UiTM beliau mungkin tidak mampu untuk meneruskan pengajian ke menara gading dan mencapai impian menjadi salah seorang pelajar terbaik dunia.

Kita tidak boleh melupakan atau meninggalkan mereka yang menghadapi cabaran ini dan hanya mengambil segelintir pelajar-pelajar yang bernasib baik sahaja untuk ke universiti. Pelajar yang kurang bernasib baik ini perlu diberi peluang atau masa untuk berusaha untuk mengejar pelajar-pelajar lain yang lebih ke hadapan.

BAHAGIAN 2: “SLOW THINKER”

Sebagai seorang yang pernah mengajar di universiti termasuk UiTM, saya percaya tugas dan tanggungjawab institusi pengajian tinggi adalah bukan sahaja untuk menjadikan pelajar-pelajar terbaik dari sekolah-sekolah yang terbaik untuk menjadi mahasiswa, graduan atau golongan professional yang cemerlang. Namun institusi pendidikan tinggi juga adalah tempat untuk men-transformasi pelajar-pelajar yang kurang cemerlang dari latar belakang yang kurang bernasib baik sebelum mereka masuk universiti, supaya menjadi lebih baik apabila mereka tamat pengajian dan keluar daripada universiti agar hidup mereka dan keluarga mereka akan meningkat tarafnya.

Dan kita tidak boleh melupakan belia-belia yang mungkin tidak mampu untuk mendapat PhD atau menang hadiah Nobel, tetapi memerlukan pendidikan tinggi untuk meningkatkan pengetahuan dan taraf hidup mereka jika diberi peluang untuk mendapat pendidikan tinggi.

Soal membuka peluang ke pendidikan tinggi adalah soal kuantiti dan juga kualiti. Kita perlu menambah kuantiti peluang yang ada supaya tiada yang ketinggalan di belakang.

Jika kualiti pelajar yang masuk universiti pada mulanya tidak cemerlang, namun apabila keluar dengan ilmu yang dipelajarinya pelajar tersebut menjadi insan yang lebih baik dan berpengetahuan lebih daripada sebelumnya (atau berbanding sekiranya dia tidak masuk universiti), maka kita akan dapat meningkatkan kuantiti insan di Malaysia dengan kualiti yang juga meningkat.

Jika anak petani tamat dan keluar universiti tetapi tidak menjadi jurutera sebaliknya pulang ke kampung untuk kembali menjadi petani, setidak-tidaknya dia menjadi petani yang berpengetahuan tinggi yang boleh menyumbang lebih kepada masyarakat.

Apabila pengetahuan meningkat, besar kemungkinan produktiviti pun akan meningkat. Ini mendorong kepada peningkatan pendapatan dan kuasa beli yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat dan negara.

Alhamdulillah kini di Malaysia, kita telah berjaya meningkatkan peluang pendidikan tinggi ke tahap yang sama dengan negara-negara maju di dunia.

Oleh sebab peluang pendidikan tinggi yang mendorong kepada transformasi kehidupan dan sosio-ekonomi inilah sebenarnya yang telah menyebabkan produktiviti, pendapatan, ekonomi dan taraf hidup rakyat Malaysia meningkat dengan pesat dalam tempoh beberapa dekad sahaja.

Semasa Merdeka purata rakyat Malaysia hidup dengan kurang satu dollar sehari dan tahap kemiskinan tegar adalah lebih 50%. Separuh daripada rakyat Malaysia pada ketika itu hidup di bawah paras kemiskinan iaitu kesukaran mendapat keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat berteduh.

Kini pendapatan purata kita telah meningkat 30 kali ganda kepada 30 dollar sehari atau lebih 10 ribu dollar setahun seorang seiring dengan peningkatan kuasa beli dan taraf hidup. Kini tahap miskin tegar di Malaysia telah hampir dihapus kesemuanya iaitu lebih kurang 1%.

Kini anak-anak petani, penoreh getah dan nelayan, dapat pulang ke kampung semasa hari-hari perayaan sebagai jurutera, doktor, peguam dan akauntan atau petani moden membawa pulang kenderaan dan pendapatan yang lebih besar.

Perkara ini tidak berlaku secara automatik. Ia adalah berkat dasar, keputusan dan usaha yang berterusan daripada kerajaan dan masyarakat. Banyak negara-negara lain di dunia yang masih tidak dapat menangani masalah ini.

Kita lebih bernasib baik dan berjaya. Kita mungkin adalah satu-satunya negara di dunia yang berjaya mengurangkan kemiskinan tegar sehingga satu peratus dan meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap negara maju dalam tempoh dua generasi.

Dalam tempoh dua generasi sahaja, usaha dan dasar membuka peluang-peluang pendidikan tinggi telah berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan dan meningkatkan produktiviti, pendapatan serta taraf hidup rakyat.

Kita akan teruskan perjuangan ini. Sebab itu Kerajaan terus bina banyak universiti dan kampus universiti awam dan menanggung sebahagian besar atau 80% ke 90% daripada yuran pengajian setiap mahasiswa di universiti awam. Untuk setiap mahasiswa di universiti awam kini, Kerajaan membelanjakan lebih RM20,000 setahun. Bajet pendidikan termasuk pendidikan tinggi adalah bajet terbesar kerajaan iaitu 20% daripada keseluruhan peruntukan setiap tahun. YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib mengumumkan baru-baru ini bahawa bajet pendidikan tinggi meningkat kepada RM13.89 billion untuk tahun 2018.

Profesor Daniel Kahneman, seorang pakar psikologi dan pemenang Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi dalam bukunya “Thinking, Fast and Slow” berkata, ada dua jenis sistem pemikiran manusia yang mana satu mungkin lebih dominan daripada yang satu lagi.

Yang pertama ialah sistem pemikiran laju atau “fast thinking”. Sistem ini ialah pemikiran laju yang melompat terus ke kesimpulan, tidak rasional, beremosi, stereotipikal, dan separa sedar. Sistem kedua pula ialah sistem pemikiran perlahan atau “slow thinking” iaitu pemikiran yang berhati-hati, membuat pengiraan rasional dan lojikal, sedar serta penuh usaha berfikir sebelum membuat kesimpulan.

Mungkin kalaupun kita adalah seorang yang “slow-learner” sebelum masuk universiti, namun jika kita diberi peluang ke menara gading, apabila tamat pengajian nanti kita akan keluar dari universiti sebagai “slow thinker”. InshaAllah.

Isham Jalil
Presiden SUKARELAWAN MALAYSIA

(Sebahagian daripada artikel ini disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 5 Dec 2017)






Satu Komen to UiTM DAN “SLOW LEARNER”

  1. fadildam says:

    Pak Isham,
    Soalnya takperlukah nak mengungkit kalau nak berjasa. Kalau niat berjasa utuk agama dan anak bangsa,ditambah lagi dengan rasa bertanggungjawaban, maka saya katakan itu adalah secantik-cantik ‘nawaitu’. Kalau tidak mahu rasa dipinggirkan atau rasa diketepikan setelah membuat jasa,pastikan rakyat jelata diutamakan sepertimana slogan yg semakin pudar disebut “rakyat di dahulukan,…..” .Terusterang saya nyatakan saya adalah salah seorang yg ‘memberi mandat’ pada pilihanraya yang lalu,adakah saya dianggap salah sekiranya saya berpaling kearah lain sebab kehidupan saya (yang saya rasa ramai yang berasa begitu) semakin ‘payau’ dan payah. (kita tolak isu2 lin..ok)

Leave a Reply

Threesome