NAJIB TUN RAZAK
Perdana Menteri juga me­ngarahkan agar tindakan diambil sekiranya berlaku kecuaian dan salah laku dalam kes berkenaan.

Beliau menegaskan, tindakan itu amat mustahak bagi melin­dungi kepentingan agensi tersebut dan golongan peneroka.

“Saya telah minta Felda mengambil tindakan yang sepatutnya bagi melindungi kepen­tingannya setelah dimaklumkan mengenai isu tanah Jalan Semarak.

“Siasatan akan dijalankan bagi memastikan sekiranya ada ke­cuaian atau salah laku oleh mereka yang terbabit, tindakan akan diambil berasaskan laporan siasatan,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad semalam menjelaskan, pihaknya akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan semula hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila dikesan telah ditukar milik kepada Synergy Prominade Sdn. Bhd. (Synergy Prominade).

Felda telah membuat laporan polis pada 12 Disember lalu dan akan mengambil tindakan undang-undang sivil ke atas pihak yang terlibat dalam perkara itu.

Najib menambah, kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap usaha melindungi kepen­tingan Felda bagi memastikan agensi berkenaan serta pihak berkepentingan seperti peneroka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.