Menu Utama

Pilih Kerajaan Bawa Kestabilan, Sedia Peluang Pekerjaan, Ekonomi – Salleh


KOTA BELUD, 23 Dis (Bernama) — Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak meminta rakyat agar memilih parti politik yang mampu membawa kestabilan politik, keamanan dan keharmonian untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga perlu memilih parti politik yang berupaya menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan ekonomi serta mampu membawa masa depan cerah untuk rakyat dan negara menjelang tahun 2050.

“Jadi rakyat Malaysia harus melihat dalam persaingan politik ini parti manakah yang mampu menentukan kestabilan politik negara. Yang menentukan keamanan dan keharmonian. Pada saya tidak ada pilihan terbaik kecuali Barisan Nasional (BN).

“Rakyat juga harus melihat parti mana yang boleh memberi peluang pekerjaan, peluang ekonomi. Tidak ada lain kecuali BN. Kerana jelas terbukti, dengan program transformsi (dilaksanakan kerajaan BN), pelbagai program diutarakan untuk memberi peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat.

“Parti mana yang boleh menjamin masa depan yang baharu? Hanya Barisan Nasional yang mempunyai Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kita tidak lagi (hanya) melihat tahun ini, pilihan raya akan datang tetapi masa hadapan, 30 tahun selepas tahun 2020 untuk menentukan supaya anak-anak Malaysia ini mendapat peluang-peluang pekerjaan dalam dunia baharu,” katanya kepada pemberita semasa hadir pada Program Kembali Ke Sekolah 2018 di sini, hari ini.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata, apa yang mampu disediakan BN untuk rakyat selama ini dan masa akan datang tidak berupaya dilakukan oleh parti pembangkang yang kucar-kacir, saling mencurigai sehingga urusan dalaman sesama mereka pun tidak dapat diselesaikan.

Sebagai contoh katanya, parti pembangkang tidak berani menyatakan siapa bakal perdana menteri, timbalan perdana menteri serta bayangan barisan Kabinet mereka sekiranya berjaya memenangi PRU14.

“Bagi BN jelas perdana menteri ialah Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekiranya parti memenangi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Salleh juga menegaskan parti pembangkang kini ketandusan isu untuk memancing undi dan mempengaruhi rakyat sehingga terpaksa mengitar semula isu lama seperti 1MDB sedangkan pelbagai badan dan agensi sudah menjelaskan tentang kedudukan 1MDB yang tidak mempunyai masalah termasuk unsur rasuah.

“Mereka (pembangkang) asyik berpolitik. Parti-parti itu (pakatan pembangkang) parti yang berideologi tetapi mereka adalah pakatan rapuh. Satu pakatan yang akhirnya akan merosakkan negara Malaysia yang sudah teguh,” katanya.

Justeru Salleh berharap rakyat akan terus menyokong BN kerana Najib yang menerajui kerajaan BN mempunyai banyak idea untuk dilaksanakan bagi menentukan Malaysia terus ke mercu kegemilangan.

— BERNAMA






Leave a Reply