Menu Utama

Kerajaan DAP Pulau Pinang roboh bangunan warisan di Lebuh Raya Peel?

Meskipun Kementerian Kesihatan belum meluluskan pembinaan projek Medical City bernilai RM2 bilion di Lebuh Raya Peel di sini, Kerajaan DAP Pulau Pinang dikatakan sudah merobohkan sebuah bangunan warisan di kawasan itu untuk tujuan ber­kenaan.

Susulan itu, Parti Gerakan negeri menempelak tindakan berkenaan dan mendakwa dua lagi bangunan warisan di situ akan dirobohkan bagi memba­ngunkan hospital 12 tingkat de­ngan 400 bilik hotel dan 380 unit Medical Suite Island Hospital di tanah berkeluasan tiga hektar tersebut.

Pemangku Ketua Pemuda­nya, Jason Loo berkata, usaha mendesak kerajaan negeri menjelaskan pelbagai perkara termasuk pertukaran status tanah itu kepada komersial tidak diendahkan, sebaliknya pihaknya dituduh memfitnah.

Bagaimanapun tegas beliau, sikap membisu kerajaan ne­geri berhubung isu itu selama ini terbukti mempunyai agenda tersendiri apabila mereka bertindak merobohkan satu daripada tiga rumah warisan berusia lebih 100 tahun baru-baru ini.

“Kita hanya menyedari ba­ngunan yang dipercayai asrama pegawai kerajaan ini dirobohkan kelmarin dan mahu kerajaan negeri menjelaskan mengapa dirobohkan sedangkan permohonan projek belum diluluskan.

“Bagaimana sekiranya projek mega yang dirancang tidak mendapat kebenaran? Kerajaan negeri sepatutnya melaksanakan kajian impak warisan bagi memelihara bangunan lama di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengesahkan tanah di Lebuh Raya Peel dipajak dengan nilai RM156 juta dan perjanjian bersama Island Hospital untuk projek pemba­ngunan itu dibuat tanpa tender terbuka sebelum ramai pihak mempertikaikannya.

Jason berkata, pihaknya juga kesal kerana kerajaan negeri masih tidak menjelaskan berhubung penukaran milik tanah berkenaan serta tindakan tergesa-gesa merobohkan bangunan warisan dan penjualan komponen hotel kepada pihak ketiga dari Singapura.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga masih gagal menjelaskan keistimewaan yang diberikan kepada pihak luar dalam isu komponen hotel seperti pemberian nisbah plot tanah 7:1 berbanding kebiasaan 6:1 dan bayaran tuntutan caj pembangunan.

“Kenapa kerajaan negeri mem­beri kelebihan kepada sesetengah pihak pemaju apabila Perbadanan Ketua Menteri (CMI) menjual tanah rakyat ini tanpa tender terbuka? Ini seolah-olah menafikan hak rakyat,” tegasnya.

Utusan






Leave a Reply