Menu Utama

Kekal ibu kota Palestin – Najib

Malaysia bersama negara-negara Islam iktiraf sepenuhnya Baitulmuqaddis

ISTANBUL 13 Dis. – Malaysia hari ini bersama suara negara-negara Islam mengiktiraf sepenuhnya Baitulmuqaddis kekal sebagai ibu negara Palestin.

Pendirian itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini susulan tindakan sepihak Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Beliau mengingatkan dunia Islam perlunya untuk bersatu dan bersuara dalam satu nada bagi memastikan sebarang cubaan untuk mengubah karakter dan status quo Baitulmuqaddis yang bertentangan dengan kemahuan rakyat Palestin dapat ditolak sepenuhnya.

Beliau sehubungan itu me­negaskan negara Islam harus melakukan apa sahaja yang termampu bagi memastikan keamanan Baitulmuqaddis dan boleh dimasuki oleh semua penganut kepercayaan.

Malaysia yang senada de­ngan rakan-rakan negara anggota OIC membantah keras tindakan sepihak Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baharu Israel, kata Perdana Menteri, kebun­tuan terhadap Proses Perda­maian Asia Barat perlu diselesaikan melalui norma dan undang-undang antarabangsa.

“Dan kita harap AS membantu ke arah itu. Kita perlu menolak trend negatif dan membuka laluan perbincangan damai bagi membolehkan jalan penyelesaian dua negara dicapai,” kata Najib.

Perdana Menteri adalah antara 57 pemimpin OIC yang diberi peluang berucap pada mesyuarat itu.

Sebanyak 18 negara diwakili oleh Presiden atau Perdana Menteri manakala selebihnya pegawai kanan. Mesyuarat dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku pengerusi sidang kemuncak ke-13, di Pusat Daga­ngan dan Pameran Antarabangsa Lütfi Kırdar di sini.

Ia disusuli dengan ucapan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Raja Jordan, Raja Abdullah 11 dan Setiausaha Agung OIC, Dr. Yousef Ahmad,

Dalam ucapannya itu, Najib turut menekankan betapa OIC tidak boleh terus berdiam diri dalam menghadapi situasi yang tidak adil berhubung isu Palestin tersebut.

“Kita mesti bersatu untuk menolak sebarang cubaan untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Kita mesti bekerjasama sebagai saudara seIslam dan bersama masyarakat antarabangsa untuk memastikan status Baitulmuqaddis dibincangkan berdasarkan kerangka penyelesaian dua negara.

“Pada masa sama kita mesti berusaha untuk memujuk negara lain agar tidak ikut sama mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel,” tambah Najib.

Beliau turut menekankan bahawa sikap AS itu merupakan tindakan provokatif yang memberi kesan serius kepada rantau ini.

“Ia telah membakar sentimen rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia. Kita telah me­nyaksikan keganasan dan huru-hara. Kita telah melihat bantahan dan tunjuk perasaan termasuk di Malaysia,” katanya.

Najib turut melahirkan kebimbangan situasi itu hanya me­nunggu waktu untuk meletup berikutan ketegangan semakin meningkat di rantau itu.

Dalam pada itu, Najib turut berkesempatan mengadakan pertemuan bilateral dengan Raja Jordan, Raja Abdullah 11.

Terdahulu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi bagi mesyuarat peringkat menteri luar OIC. – UTUSAN






Leave a Reply