Menu Utama

BUKAN PEMASTAUTIN TIDAK TERLEPAS DARI CUKAI

Majikan yang menjalankan perniagaan di Malaysia bertanggungjawab melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) jika mereka menggaji pekerja asing tanpa mengira taraf kerakyatan atau kewarganegeraan.

Golongan pekerja ini dikelaskan sebagai individu bukan pemastautin yang memperolehi pendapatan atau menerima pendapatan penggajian dari pekerjaan yang dilakukan dari Malaysia.

Oleh itu, syarat bukan pemastautin untuk tujuan percukaian ialah jika individu tersebut berada di Malaysia kurang dari 182 hari untuk satu tahun semasa (satu tahun kalendar) tanpa mengira kerakyatan atau kewarganegaraan.

Sudah tentunya pendapatan penggajian individu bukan pemastautin yang tertakluk kepada cukai pendapatan adalah seperti gaji, upah, bonus, yuran pengarah, komisen, elaun, perkuisit, ganjaran, bayaran lebih masa, tip, pampasan, cukai ditanggung majikan, skim opsyen saham pekerja dan lain-lain.

Ini termasuklah manfaat bukan tunai seperti manfaat berupa barangan yang disediakan daripada majikan seperti kereta, telefon bimbit, pemandu, orang gaji dan lain-lain.

Sesetengah pekerja yang disediakan kuarters atau penginapan pekerja, nilai tempat kediaman yang disediakan majikan dikira dan ditambah daripada pendapatan yang dikenakan cukai.

Malah jika pekerja tersebut menerima caruman yang diberikan oleh majikan untuk pekerja ke tabung pencen atau kewangan yang tidak diluluskan, jumlah caruman yang diterima sebagai pekerja ini dikira sebagai pendapatan tambahan dan boleh dikenakan cukai.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan keputusan syarikat yang terpaksa mengurangkan pekerjanya, jika berlaku pemberhentian ke atas pekerjanya dan majikan membayar pampasan, pampasan yang dibayar ini perlu juga dikenakan cukai terhadap individu bukan pemastautin ini.

Oleh yang demikian, untuk memastikan pematuhan cukai dilakukan, sebarang pertanyaan boleh dirujuk di laman sesawang http://www.hasil.gov.my/ atau menghubungi di talian 03 62091000 di Cawangan Tidak Bermastutin, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.






Leave a Reply