Menu Utama

Barisan Nasional Dan Communist Party Of China: Bekas UMNO Terperangkap Dalam Isu Ciptaan Sendiri

Garang semacam melihat posting-posting bekas UMNO apabila tersebarnya gambar-gambar dialog meja bulat di antara Barisan Nasional dan Communist Party of China. Tuduhan mereka, Barisan Nasional telah diresapi ideologi komunis, kononnya! Lucu bila kita mengenangkan, bagaimana ceteknya cara mereka berfikir, selain dari emosi yang menguasai posting-posting mereka.

Pertama, tidakkah mereka faham erti dan maksud “dialog meja bulat”? Melainkan ianya satu program pengkaderan, maka hujah mereka kononnya ideologi komunis meresap masuk sama sekali tidak boleh digunakan.

Kedua, tidakkah mereka tahu, bahawa hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah lama terjalin, sejak pada tahun 1970-an lagi? Maka, apa yang menghairankan sangat jika kedua-dua parti pemerintah mengadakan dialog meja bulat, demi kepentingan dan kesejahteraan kedua-dua negara.

Ketiga, bekas-bekas UMNO yang dipimpin oleh mantan presiden UMNO itu mungkin terlupa, bahawa sewaktu pentadbiran 22 tahun dahulu, hubungan ini tidak pernah terputus, dengan kedua-dua negara saling bertukar menghantar delegasi? Untuk rekod, pada September 1994 di bawah pimpinan pemimpin yang tidak pernah buat sebarang kesilapan, Barisan Nasional telah menghantar delegasi ke China yang diketuai oleh Mohamad Rahmat yang pada ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional. Pada Jun 1997 pula, delegasi Barisan Nasional diketuai oleh Siti Zaharah, yang pada ketika itu menjawat jawatan Ketua Wanita. Begitulah seterusnya, dengan CPC juga tidak ketinggalan menghantar delegasi ke Malaysia.

Lebih menarik, delegasi CPC, pada Mac 1996 telah bersemuka dengan Perdana Menteri dan Timbalannya ketika itu dalam lawatan kerja 5 hari, hasil dari jemputan oleh Barisan Nasional. Siapa Pengerusi Barisan Nasional ketika itu? Harap-harap tidak ada jawapan “saya tidak tahu” atau “saya terlupa”. Apakah ketika itu, mereka juga telah diracuni oleh ideologi Komunis?

Ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, begitulah situasi yang sedang dialami oleh bekas-bekas ahli UMNO yang ternyata tersilap membuat perhitungan dalam cubaan untuk mempolitikkan isu dialog meja bulat di antara Barisan Nasional dan Communist Party of China.

Seperkara yang kita perlu tahu, Malaysia tidak pernah berhasrat untuk campurtangan dalam soal ideologi dan urusan pentadbiran negara lain, kecuali ia melibatkan perkara-perkara bersifat tragedi kemanusiaan. Perkara sedemikian sekalipun, diutarakan mengikut saluran-saluran yang betul. Kita tidak pernah bersetuju dengan Syiah, tetapi kita tidak pernah campurtangan urusan dalam negara yang mengamalkan fahaman tersebut. Malah, hubungan diplomatik tetap terjalin.

Apa yang kerajaan lakukan ialah, menyekat ideologi dan fahaman yang tidak selari dan bertentangan dengan perlembagaan dan amalan lazim di negara ini, terutamanya yang melibatkan soal agama Islam dan keselamatan negara. Jika ada negara lain yang membenarkannya, itu bukan urusan kita.

Sekadar bermain di fikiran, bagaimana negara China yang terkenal dengan ideologi komunisnya tiba-tiba menjadi kuasa dunia samada dari segi ketenteraan, teknologi dan modal kewangan sedang negara-negara di blok komunis yang lain terperosok ke lembah kemiskinan dan perang?






Leave a Reply