Menu Utama

Tunjuk teladan baik – Najib

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak akan terpengaruh dengan permainan politik bekas tokoh pemimpin terdahulu yang cuba mengajar rakyat berpolitik secara kasar, biadab dan tidak berhemah sehingga sanggup menyerang peribadi individu.


Burukkan peribadi individu bukan cara politik Malaysia

Tanpa menyebut nama mana-mana individu, Najib berkata, yang terbaharu, pemimpin tersebut melemparkan kata-kata hinaan terhadap masyarakat Bugis sehingga menimbulkan kemarahan etnik tersebut.

“Marah orang Bugis pula, sedangkan sejarah Bugis adalah pahlawan terbilang sehingga Belanda takut. Jangan suruh saya balik. Saya juga tidak suruh dia balik kerana tidak mahu sama taraf dengan dia.

“Sebagai Perdana Mente­ri untuk Malaysia, saya kena bawa politik bermoral yang ada tatasusila serta bersopan santun kepada rakyat.

“Kita tidak pukul cara kasar, cara brutal atau biadab kerana tidak boleh ajar rakyat berpolitik begitu. Kita sebagai pemimpin atau orang tua kena tunjuk te­ladan yang baik,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis penutup Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau terbuka untuk menerima sebarang kritikan atau perbezaan pendapat melibatkan fakta atau dasar kerajaan, namun tidak pada perkara yang memburukkan peribadi individu.

“Beza pendapat dari segi dasar tidak apa tetapi jangan burukkan peribadi orang kerana ini bukan cara politik Malaysia.

“Perkara ini juga tidak patut datang daripada bekas pemimpin negara dan saya tidak mahu anak muda belajar politik sebegini serta bercakaran sesama kita,” katanya.

Dalam pada itu, Najib menambah, buat masa ini terlalu banyak berita palsu tersebar di media sosial yang perlu ditangani.

“Contohnya, saya tidak bagi duit pada Pas, sebab itu Pas saman Sarawak Report dan pe­nga­sasnya, Clare Rewcastle-Brown sudah menggelabah tetapi saya tidak boleh komen lebih kerana ia dalam kes mahkamah.

“Berita palsu sebegini di media sosial yang mesti kita betulkan sebab pembangkang tahu kalau mereka lempar tuduhan yang macam mana liar sekalipun, mereka harap ada yang melekat sebab tahu dalam media sosial tidak perlu tunjukkan kebenaran,” katanya.

Sementara itu, Najib juga mem­beri bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dianggap sebagai ibu kepada segala pilihan raya juga semakin hampir dan beliau mahu lebih tiga juta ahli UMNO menguasai peperangan di alam maya.

Utusan Online






Leave a Reply