Menu Utama

SYARIKAT LARI CUKAI MELALUI PENUBUHAN SUBSIDIARI: BAHAGIAN 2

Sebelum ini kita telah mendedahkan bagaimana syarikat Induk menubuhkan beberapa anak syarikat (subsidiari) bagi bertujuan strategi percukaian. Manfaat percukaian yang diperolehi dari percaturan yang sistematik syarikat dapat mengurangkan pembayaran kadar cukai syarikat yang lebih rendah.

Terdahulu, kita telah mendedahkan bagaimana syarikat Induk mendaftarkan syarikat mengikut fungsi rantaian operasi perniagaannya seperti syarikat pengeluaran, syarikat pemasaran, syarikat pengangkutan, syarikat latihan pekerja, syarikat urusan hartanah bagi pembelian aset syarikat dan lain-lain syarikat yang dirasakan sesuai mengikut operasi mereka.

Kita telah merungkaikan bagaimana Syarikat Induk dapat mengurangkan kadar cukai sehingga 3% dengan menubuhkan syarikat pemasaran B di Labuan yang berpejabat di Kuala Lumpur ini dapat menikmati cukai yang rendah di bawah peruntukan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan 1990 (LOBATA).

Terdapat juga syarikat yang menubuhkan anak syarikat yang berisiko tinggi untuk mengalami kerugian berdasarkan operasinya yang bergantung kepada teknologi tinggi dari segi operasinya dan bermodal besar. Anak syarikat yang berisiko untuk gagal atau terdedah kepada kerugian yang besar akan menyebabkan keuntungan sebelum cukai syarikat Induk dikurangkan dan seterusnya jumlah cukai yang kena bayar oleh syarikat Induk dapat dikurangkan secara kolektif.

Manakala anak syarikat yang didaftarkan semata-mata untuk manfaat pekerja syarikat Induk juga merupakan satu strategi percukaian. Anak syarikat ini kebiasaannya memberi khidmat semula kepada kesemua pekerja syarikat Induk dan anak-anak syarikat lain di bawah organisasi yang sama. Anak syarikat ini sebagai contoh memberikan latihan kepada kesemua pekerja dalaman syarikat yang sama.

Sudah tentu kos operasi yang tinggi dan keuntungan amat sedikit dari anak syarikat yang menjalankan latihan ini kerana melibatkan kos-kos penyelidikan, bahan bahan rujukan, tempat belajar yang bertaraf lima bintang dan tenaga pengajar pakar dari luar negara. Anak syarikat seperti ini juga telah ditubuhkan berkemungkinan besar bertujuan untuk mengurangkan cukai kena bayar syarikat Induk.

Selain itu, terdapat anak syarikat yang ditubuhkan atas nama tanggungjawab sosial (Corporate Social Responsibility) dengan memberikan pendedahan secara langsung aktiviti pendidikan operasi syarikat Induk dan anak-anak syarikat kumpulannya kepada orang ramai. Anak syarikat yang ditubuhkan atas nama tanggungjawab sosial ini merupakan saluran perbelanjaan pemasaran secara tidak langsung kepada syarikat Induk.

Oleh itu apa juga kerugian yang sudah dijangka terhadap anak syarikat merupakan satu strategi percukaian yang teratur dan sistematik telah dilakukan.

Pemantauan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terhadap teknik percukaian yang dilakukan syarikat ini diharapkan dapat meneroka lebih mendalam kaedah mengurangkan impak pembayaran cukai kepada negara.






Leave a Reply