Menu Utama

SYARIKAT “LARI CUKAI” MELALUI PENUBUHAN SUBSIDIARI: BAHAGIAN 1

Syarikat menggandakan pendapatan melalui penubuhan beberapa anak syarikat (subsidiari). Terdapat juga syarikat yang menubuhkan anak syarikat yang dirancang untuk mendapat manfaat pengurangan cukai apabila pendapatan bersih sebelum cukai dikumpulkan di syarikat Induk dikurangkan melalui strategi pencukaian. Ini satu strategi kewangan dan strategi cukai yang dirancang secara sistematik.

Umum mengetahui perancangan dan strategi syarikat yang semakin membesar akan menubuhkan beberapa anak syarikat untuk diuruskan secara sistematik. Syarikat induk juga boleh bertindak sebagai pengumpulan kesemua kos operasi, kos pengurusan dan keuntungan yang diperolehi oleh pemegang saham.

Penubuhan syarikat subsidiari juga secara langsung akan memberikan tumpuan kepada sektor yang ingin diceburi. Ada syarikat yang mendaftarkan syarikat mengikut fungsi rantaian operasi perniagaannya seperti syarikat pengeluaran, syarikat pemasaran, syarikat pengangkutan, syarikat latihan pekerja, syarikat urusan hartanah bagi pembelian aset syarikat dan lain-lain syarikat yang dirasakan sesuai mengikut operasi mereka.

Modus operandinya apabila syarikat pengilangan A akan didaftarkan dan beroperasi di Kuala Lumpur sebagai contoh. Apabila produk telah dikeluarkan, syarikat pengilangan A akan menjual pada harga kos atau keuntungan minima antara 3% hingga 5% sahaja kepada syarikat pemasaran B. Syarikat pengilangan A akan dikenakan kadar cukai syarikat 20% ke 27% (mengikut modal berbayar syarikat).

Jika dilihat pada kadar cukai ke atas 27% ke atas syarikat pengilangan A adalah tinggi tetapi oleh kerana nilai RM keuntungan bersih sebelum cukai adalah rendah dengan mengambilkira setiap transaksi jualan hanya pada kadar keuntungan minima 3% ke 5% yang dilakukan, jumlah cukai syarikat yang dibayar adalah sedikit.

Begitu juga dengan strategi syarikat Induk mendaftarkan syarikat pemasaran B di Labuan, syarikat pemasaran B yang berpejabat di Kuala Lumpur ini dapat menikmati cukai yang rendah di bawah peruntukkan Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan 1990 (LOBATA).

Oleh itu apa-apa keuntungan yang diperolehi hasil jualan produk dari syarikat pemasaran B ke pihak ketiga atau pengimport luar negara akan hanya dikenakan kadar cukai 3% daripada keuntungan bersih syarikat pemasaran B.

Begitu juga manfaat lain yang diperolehi oleh syarikat pemasaran B seperti:-

a) Dividen yang dibayar atau yang diterima oleh syarikat luar pesisir di Labuan tidak tertakluk kepada cukai.

b) Tiada cukai pegangan ke atas royalti, bunga, fee teknikal atau fee pengurusan yang dibayar oleh syarikat luar pesisir kepada bukan pemastautin atau syarikat luar pesisir yang lain.

c) Tiada cukai jualan, duti import, duti eksais dan duti eksport kecuali bagi petroleum dan produk petroleum.

Pemantuan terhadap kaedah ini oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) perlu lebih mendalam tentang strategi ini bagi mengelakkan ketirisan cukai yang sepatutnya dibayar oleh syarikat terbabit atau adalah sudah tiba masanya peratusan kadar cukai LOBATA dinaikkan.






Leave a Reply