Menu Utama

Siapa Sebenarnya Ahmad Bashah?

Rupanya masih ada yang penyokong Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang ‘berkhayal’ mendakwa kononnya bekas Menteri Besar Kedah itulah faktor utama yang menjamin kemenangan BN yang merampas Kedah dari PAS pada PRU ke-13 yang lalu.

‘Alasan’ itu jugalah yang menjadikan mereka begitu taksub menyokong dan mendakwa Menteri Besar sekarang, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kononnya berlaku ‘zalim’ dan ‘gila kuasa’ menggulingkan Mukhriz dan mengambil alih jawatan itu.

Maka atas ‘alasan’ itu jugalah bermula detik genting Mukhriz bakal kehilangan jawatan, maka digerakkan jentera propaganda mereka untuk menghasut rakyat supaya membenci dan memburuk-burukkan imej Ahmad Bashah sehingga kini…

Namun siapa sangka, sebenarnya mitos itu hanyalah rekaan fiksyen mereka semata-mata. Bukan saja ia tidak benar dan menyalahi fakta sebenar, bahkan ia mungkin hanya berdasarkan ‘halusinasi’ kotak pemikiran mereka yang langsung ‘buta’, tidak tahu apa-apa.

Semua orang tahu, BN Kedah kecundang pada PRU ke-12, dan semua orang tahu bahawa kekalahan itu adalah berpunca dari ‘tsunami politik 2008′ dan keadaan kepimpinan UMNO di Kedah yang berpecah belah.

Maka sejak di zaman kejatuhan UMNO di Kedah itulah Ahmad Bashah mengambil alih tanggungjawab mengetuai UMNO Negeri. Masuk ke sidang Dun sebagai pembangkang, beliau melalui pelbagai kepayahan dalam segenap aspek perjuangan.

Memang benar bahawa sejurus kekalahan BN di Kedah itu, UMNO Negeri diterajui bekas Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Shafie Apdal. Lebih 2 tahun dia di jawatan itu, namun Ahmad Bashahlah yang buat segalanya.

Apalah sangat pemimpin dari Sabah itu mampu buat? Mungkin isterinya berasal dari Kedah, namun bukan isterinya yang memimpin UMNO Kedah. Dia pun bukannya faham sangat masalah, budaya, sepak terajang politik di negeri itu. Kira-kira dua tahun kemudian, barulah Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Selaku Ketua Pembangkang di Dun Kedah, maka sudah tentu beliau agak sukar untuk mendapat peruntukan daripada Kerajaan PAS Kedah. Maka terpaksalah beliau mengadu kepada kepimpinan UMNO Pusat dan Kerajaan Persekutuan.

Mujurlah beliau mempunyai hubungan baik dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Jika beliau ‘jahil sombong’ macam Timbalannya ketika itu, tidak bergeraklah parti di Kedah. Beliaulah jadi ‘jambatan’, ‘sumber’ dan ‘bapa’ UMNO di Kedah ketika itu.

Dalam serba kepayahan, beliau mula bergerak ke serata negeri menangani masalah satu persatu di setiap UMNO Bahagian. Setiap pepecahan yang berlaku, beliau cuba perbaiki dan cantum semula cariknya. Apa saja yang terdaya, beliau kerah segala kudrat dan pengalaman, cuba menyatukan semula.

Siapa kata ia mudah dilakukan? Ingat senang untuk satukan semua kepimpinan UMNO Bahagian di negeri itu? Anak Mahathir pun ‘terpelanting’, inikan pula Ahmad Bashah yang bukan anak Perdana Menteri. Sukar atau tidak, beliau tetap redah, sabar dan hadapi dengan bijaksana…

Ingat mudah untuk mencari peruntukan? Ingat Najib itu kerjanya ‘cop duit’? Tidak semua yang diminta Ahmad Bashah akan dapat sepenuhnya. Mana mahu selesaikan masalah rakyat di kawasan lagi, mana hendak ‘dikorek’ dana untuk UMNO Negeri lagi. Susah!

Namun itulah dia Ahmad Bashah, seorang ‘wira yang tidak didendang’. Namun begitu, dengan semangat juangnya, dalam kepayahan dan kekangan yang dihadapinya, namun beliau berjaya menyatukan semua kepimpinan UMNO Bahagian menjadi SATU..!

Sebenarnya, bermula dari situlah lahirnya konsep ‘Muafakat Kedah’ yang kini di ‘branding’ di dalam kerajaan negeri pimpinannya. Beliau bersama kepimpinan UMNO Kedah bersatu hati menyusun atur strategi, gerak kerja dan perancangan menyeluruh untuk menawan negeri itu kembali.

Beliau tidak pernah mendabik dada. Dengan rendah diri, beliau mengepalai seluruh ‘bala tentera’ UMNO Kedah mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN. Prinsip kemuafakatan itulah yang beliau pegang hingga tiba detik PRU ke-13 pada 2013.

Hendak tahu apa yang Mukhriz buat? Kira-kira empat bulan sebelum PRU ke-13, barulah dia terhegeh-hegeh memulakan gerakan secara konsisten. Jika UMNO Kedah tidak menyusun atur gerakan membongkar pembalakan melampau di Hutan Simpan Pedu, jangan haraplah dia boleh jadi ‘hero’ ketika itu.

Siapa yang pernah ke pejabat UMNO Negeri, maka mungkin mereka akan tahu di mana letaknya pejabat Mukhriz selaku Timbalan Pengerusi UMNO Negeri ketika itu. Siapa sangka, biliknya ketika itu bagaikan ‘stor’, berhabuk di sana sini bagai tidak berpenghuni…

Penulis yakin, sekiranya dia tidak tahu bahawa dirinya akan diangkat Najib menjadi Menteri Besar, berkemungkinan besar sehari dua lagi sebelum PRU ke-13 barulah dia akan balik ke Kedah. Maklumlah, dia berjawatan Timbalan Menteri yang mungkin tugasnya lebih sibuk dari Presiden Amerika Syarikat!

Biarpun nama Mukhriz diumum Najib sebagai Menteri Besar, Ahmad Bashah sedikit pun tidak ‘mengamuk’. Jika orang lain, mungkin ada yang sampai ‘melompat atas meja’, namun tidak bagi Ahmad Bashah. Bukan saja tidak derhaka pada parti dan Presiden, beliau tenang dan redha saja pada ketentuan Allah…

Siapa yang berada di Tingkat 8, Bangunan Tunku pada malam PRU ke-13 yang menyaksikan kemenangan BN merampas kembali Kerajaan Negeri Kedah dari PAS, maka mereka akan tahu apa yang berlaku.

Dalam keriuhan dan sorakan gembira, Ahmad Bashah kelihatan puas. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Meskipun tubuhnya letih, namun semangat meraikan kemenangan BN bersama kepimpinan UMNO di Kedah pada malam itu mengatasi segalanya.

Beberapa ketika selepas itu barulah Mukhriz tiba bersama penyokongnya. Mungkin sebab dia telah diumum bakal menjadi Menteri Besar, maka sudah pasti ramai yang mengekorinya ketika itu. Ahmad Bashah tetap senyum gembira, berjiwa besar meraikan kehadiran Mukhriz, bakal Menteri Besar.

Tidak menunggu lama, keesokan harinya maka naiklah ‘anak manja’ Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang sah, disaksikan ayah bondanya. Terpancar gembira tidak terkata, melihat anak kesayangan menjadi Menteri Besar.

Ini bukan cerita rekaan. Ini juga bukan fiksyen, mitos atau laporan dari ‘Sarawak Reports’. Cubalah risik, selidik dan bertanya tentang cerita ini kepada penggerak utama UMNO Kedah ketika PRU ke-13 dulu. Mereka tahu apa yang berlaku di sebalik tabir…

Namun pada penulis, Mukhriz bukan hero. Dia bukan sesiapa, bukan dia faktor utama kemenangan UMNO dan BN di Kedah. Dia mungkin hanya faktor kecil yang turut dibantu bapanya yang turun berkempen di Ayer Hitam dan sedikit kawasan di Kedah. Kecil saja peranannya…

Pada penulis, Ahmad Bashah dan semua 15 kepimpinan UMNO Bahagian, Ketua-Ketua Cawangan dan jentera UMNO di negeri Kedah itulah menjadi faktor utama kembalinya Kerajaan Negeri ke pangkuan BN.

Ahmad Bashah adalah nama ‘arkitek’ yang bertanggungjawab sebelum Mukhriz datang mengambil segala ‘glory’ yang sepatutnya menjadi milik Ahmad Bashah. Biarpun begitu, Ahmad Bashah tetap bersahaja, merendah diri dan tidak pernah mengaku beliaulah ‘wira’ yang sebenar!






Leave a Reply

Threesome