Menu Utama

Rusa dikatakan kuda… bangkitlah dari lena

SEMASA era Dinasti Qin (221-207 sebelum Masihi), Zhao Kao, seorang pembesar yang amat berkuasa ingin merampas takhta Maharaja Qin Kedua.

Sebelum bertindak, dia ingin menguji pengaruhnya dalam kalangan pembesar yang lain.

Pada suatu hari dihadiahkan seekor rusa kepada Maharaja Qin Kedua, lalu sengaja diberitahu baginda bahawa binatang itu adalah kuda. Baginda ingat beliau bergurau, maka ditanya kepada pembesar yang lain, sama ada binatang itu rusa atau kuda?

Tak sangka mereka yang takut kepada Zhao Kao membisu sahaja atau berdusta bahawa binatang itu memang kuda. Dan mereka yang berani mengaku binatang itu rusa disingkirkan oleh Zhao Kao selepas itu. Demikianlah punca pepatah Cina yang berbunyi ‘Rusa dikatakan kuda.’

Apakah parti-parti dalam Pakatan Harapan masih lagi ‘naif’ sekadar ‘tunggu dan lihat’ terhadap ‘kepalanya’, DAP?

Kalau isu terbaharu melibatkan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kebun Bunga daripada PKR, Cheah Kah Peng yang di­sekat peruntukan bantuan mangsa banjir oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun masih teraba-raba untuk mencari motifnya, tak pastilah apa yang bermain di fikiran orang PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selain PKR sendiri.

Boleh pula alasan Guan Eng bahawa pendaftaran mangsa banjir di kawasan Kebun Bunga akan diselia oleh beliau sendiri dan ADUN Pulau Tikus daripada DAP, Yap Soo Huey atas sebab prosedur dalaman?

Dengan menyerahkan tugas berkenaan kepada Soo Huey bukankah mengetepikan pe­ranan PKR dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu?

Parti-parti ‘Melayu’ dalam pakatan itu barangkali memang tak mahu sedar, tetapi orang Melayu bolehlah buka mata lebih besar lagi dengan tindak tanduk DAP.

Sebelum ini bukankah Pas menjadi mangsa pe­nangan DAP? Apa yang telah dibuat Guan Eng terhadap presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang? Ini sehinggakan suatu ketika cuba mengajar ahli-ahli Pas bahawa hanya Abdul Hadi sahaja yang tidak dilayan DAP tetapi tidak ahli Pas keseluruhan. Itu belum lagi masuk bab Abdul Hadi dicerca dan dinista.

DAP tetap parti do­minan dalam Pakatan Harapan biarpun pengerusinya dulu (Tun Dr. Mahathir Moha­mad) musuh ketat Lim Kit Siang.

Tak hairanlah Timbalan Presiden Parti Cina Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan bersuara: “Secara teorinya, PKR me­rupakan parti yang senang dibuli dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Itu pun tidak lagi terma­suk apa dilakukan terhadap YB Norlela (ADUN Penanti).”

Sejarah pilihan raya umum (PRU) sejak 1990 membuktikan DAP hanya mampu menang ba­nyak kerusi Parlimen hasil kerjasama dengan parti berteraskan Melayu, PKR dan Pas.

DAP bagaimanapun hanya mampu menang di kawasan majoriti Cina pada PRU 1990 dan 1999 walaupun berlaku perpecahan dalam UMNO dan berpakat dengan beberapa parti Me­layu lain.

Namun dalam PRU 2008 dan 2013 apabila DAP mendapat sokongan Melayu yang banyak hasil kerjasamanya dengan Pas dan PKR, kerusi DAP bertambah secara drastik dengan memenangi 28 kerusi (12.61 peratus) dan 38 kerusi (17.1 peratus) daripada 222 kerusi Parlimen.

Kini, setelah Pas tidak lagi bersama pakatan, DAP resah. DAP risau par­tinya tidak kuat lagi. Kerana itulah DAP mengeluarkan pelbagai propagandanya untuk memastikan pengundi Melayu dalam Pas kekal bersamanya dalam Pakatan Harapan.

DAP menang 20 daripada 57 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU 1990, sembilan daripada 50 (PRU 1995), 10 daripada 47 (PRU 1999), 12 daripada 44 (PRU 2004), 28 daripada 47 (PRU 2008) dan 38 daripada 51 (PRU 2013).

Dan andai kata orang Melayu tidak bersatu, DAP mampu me­nguasai negara biarpun hanya sekadar bertanding 60 kerusi Parlimen pada PRU-14. Ini de­ngan menggunakan PAN, PKR dan PPBM untuk mendapatkan undi Melayu.

Negeri seperti Perak, Johor, Selangor, Negeri Sembilan serta Melaka mempunyai banyak kawasan campuran. Barangkali DAP juga yakin peralihan 10 hingga 15 peratus undi Melayu sudah cukup untuk mereka mengambil alih pentadbiran negara.

Apakah pengundi Melayu pro­pembangkang tidak akan lagi berpolitik menggunakan emosi?

Mungkinkah orang Melayu yang ‘tergelincir dari landasan’ pada 2013 dan 2008 kali ini akan memikirkan secara serius tentang masa depan negara ini sebelum tertarik menyokong pihak lain.

Ini agar jangan seperti pantun bidalan berikut:

Udangnya banyak di hilir

Ikan diatur dengan galah

Undang-undang

memang mahir

Tapi bicara kita kalah.

Rusa dikatakan kuda. Bangkitkah parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan dari lena?

Zulkifli Jalil
Utusan






Leave a Reply

Threesome