Menu Utama

Rahman bidas Shafie guna imuniti Parlimen

Kawasan pedalaman di Sabah tidak akan berdepan dengan masalah bekalan air bersih dan elektrik jika Datuk Seri Shafie Apdal sebagai bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) antara tahun 2009 hingga 2015 cemerlang melaksanakan tugasnya.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata bekas Naib Presiden UMNO itu wajar dipersalahkan serta tidak sepatutnya menggunakan imuniti Dewan Rakyat pada Selasa untuk mengaitkan pihak lain dalam siasatan ke atas dirinya.

Shafie dilaporkan cuba mengheret Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyelewengan dana KKLW oleh beliau.

Ahli Parlimen Semporna itu membuat dakwaan bahawa tender Loji Rawatan Air Sungai Intan di Semporna yang disiasat SPRM adalah di bawah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Sabah.

“Kalaulah KKLW ini berjalan dengan baik seperti mana Shafie kata, kenapa masih lagi ada masalah air dan elektrik di Sabah, itu saja sangat mudah.

“Dalam tempoh Shafie dalam kerajaan,Tan Sri Musa Aman pernah berjumpa dengan Perdana Menteri dengan memberi komen bahawa KKLW tidak pernah memberitahu kerajaan negeri berkenaan perancangan mereka di Sabah.

“Bagi saya jangan guna Dewan Rakyat untuk menyalahkan orang lain kerana anda ada imuniti,” katanya di Kota Kinabalu selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Mapan 2017 (ICSTCSD 2017) hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Belud itu, Musa pernah meminta Shafie bekerjasama dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur di Sabah, namun tidak dilayan.

Pada 20 Oktober lalu, Shafie direman SPRM bagi membantu siasatan penyelewengan dana KKLW sebanyak RM1.5 bilion untuk pembangunan di Sabah.

Loji Rawatan Air Sungai Intan yang terletak di Semporna merupakan antara yang disiasat kerana gagal membekalkan sumber air bersih walaupun menelan belanja RM45 juta.

Kegagalan loji berkenaan menyebabkan lebih 3,000 penduduk di beberapa kampung terpaksa bergantung sepenuhnya dengan air perigi untuk kegunaan harian.

BNBBC






Leave a Reply