Menu Utama

Kerana Armada, PPBM Bakal Diharamkan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sejak awal penubuhannya dibelenggu satu demi satu kemelut dalaman kini berhadapan kemungkinan akan dibatalkan pendaftarannya kerana melanggar perlembagaan parti sendiri.

Dalam kenyataan media hari ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memaklumkan telah menerima aduan daripada ahli-ahli PPBM berkaitan isu urus tadbir parti yang tidak berlandaskan perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

“Menurut aduan tersebut, beberapa ahli “Armada” atau di dalam parti politik kebiasaannya disebut Pemuda, telah dipecat.

“Terdapat juga aduan lain daripada ahli yang bertanyakan mengenai status pengurusan PPBM kerana Mesyuarat Agung sehingga kini belum dilaksanakan,” kata kenyataan tersebut.

PPBM sejak beberapa bulan lalu telah bertindak memecat beberapa orang Exco Armada yang dipecat tanpa mengikut prosedur yang betul.

“Saddiq, janganlah kebudak-budakan. Saya hanya tahu (pemecatan exco) melalui Twitter, saya terkejut. Kata nak panggil lembaga disiplin tapi tiba-tiba dah pecat. Ini keputusan yang begitu buruk daripda Bersatu (PPBM),” kata Mohamad Taufik Abas, bekas Exco Armada pada Ogos lalu.

JPPM turut mengulas siasatan mengenai penggunaan perkataan Armada bagi merujuk pada Pemuda PPBM yang didakwa tiada dalam perlembagaan parti itu.

“JPPM mendapati daripada siasatan awal bahawa “Armada” tidak terkandung di dalam perlembagaan PPBM.

“Tindakan menggunakan istilah yang tiada dalam perlembagaan (parti) adalah melanggar perlembagaan parti sendiri dan Akta Pertubuhan 1966,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut JPPM lagi, ekoran perlanggaran tersebut, pendaftaran PPBM sebagai parti politik boleh dibatalkan.

“Kesalahan ini dilihat berat dan boleh menyebabkan sesebuah pertubuhan dibatalkan.

“Siasatan masih diteruskan bagi meneliti (lebih lanjut) isu ini,” kata JPPM.

Isu kesalahan menggunakan istilah “Armada” yang tidak diperuntukan dalam perlembagaan PPBM timbul bulan lalu apabila tiga bekas Exco Armada memanjangkan aduan mengenainya kepada JPPM.

“Saya membuat semakan kerana dipecat tanpa melalui lembaga disiplin mengikut perlembagaan parti, rupa-rupanya peraturan yang ditunjukkan selama ini tipu dan Armada itu sendiri tidak wujud,” kata Mohamad Taufik yang hadir ke pejabat JPPM di Putrajaya bersama dua lagi bekas Exco lain. – MyKMU.net






Leave a Reply