Menu Utama

Dap hilang sokongan.

Kemerosotan kehadiran perwakilan ke pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini memberi gambaran penolakan ahli terhadap kepimpinan Dinasti Lim serta kepercayaan kepada parti ber­kenaan.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, mesej yang amat jelas apabila akar umbi cuba menunjukkan tanda protes kerana tidak lagi menaruh kepercayaan kepada Dinasti Lim dan juga kepada parti itu secara keseluruhannya.

“Bagaimanapun, keputusan pe­­milihan itu juga memberi gambaran jelas bahawa Dinasti Lim masih terus berkuasa dalam DAP dan tiada apa yang berubah. Hampir semuanya muka lama dan tiada perubahan besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang kemerosotan kehadiran perwakilan iaitu 1,356 atau 53.94 peratus berbanding 2,514 orang perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula CEC parti itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), dekat sini.

Jumlah tersebut diumumkan oleh wakil firma perunding Grant Thornton yang turut memaklumkan kemerosotan kehadiran yang tinggi berbanding 1,725 perwakilan yang mengundi dalam pemilihan CEC DAP pada 2013.

Perwakilan yang layak mengundi dalam CEC kali ini juga berkurangan daripada 2,576 kepada 2,514 berikutan seramai 62 perwakilan tidak layak mengundi kerana keluar parti, meninggal dunia atau diisytiharkan muflis.

Menurut pengumuman itu, calon yang bertanding dalam pemilihan semula CEC pada tahun ini turut menurun daripada 68 calon kepada 62 calon.

Sementara itu, bekas Naib Pengerusi DAP Ladang Paroi, Se­rem­ban, David Dass berkata, kemerosotan kehadiran jelas me­nunjukkan ahli DAP sudah bosan dengan kepemimpinan parti itu.

Jika lihat pemilihan CEC 2012 katanya, lebih 2,000 perwakilan hadir dan pada pemilihan semula 2013 jumlahnya merosot kepada lebih kurang 1,700 orang tetapi hari ini terus menurun kepada 1,356.

“Apakah maksudnya? Ini maksudnya akar umbi tidak puas hati dengan pentadbiran Lim Guan Eng serta barisan kepimpinan beliau. Itu sebabnya,” ujarnya.

Presiden Parti Alternatif Rakyat yang juga bekas ahli DAP, Zulkifli Mohd. Nor pula mem­be­ritahu, pemilihan CEC hanya sekadar wayang melengkapkan syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana calon yang dipilih sudah dirancang.

“Mereka menyediakan ‘menu pilihan’ kepada semua pengundi untuk memilih pemimpin dan ini berlaku sejak saya berada di dalam DAP,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, kegagalan perwakilan yang majoritinya kaum Cina menghadiri CEC menunjukkan liabiti sokongan terhadap DAP dan ini tidak pernah diramalkan parti sejak penubuhannya.

“Pemilihan Zairil Khir Johari hanya sebagai sandiwara untuk mengaburi masyarakat sedangkan individu itu bukan Melayu tulen,” ujarnya.

Utusan






Leave a Reply