Menu Utama

Bajet Selngor Tiada Pembaharuan, Gula-gula Politik PRU-14

1) Menteri Besar Selangor, Azmin Ali selesai membentangkan Bajet 2018 bagi negeri Selangor. Selain dari meneruskan polisi sedia ada, boleh dikatakan tiada perkara baru yang diumumkan dalam pembentangan bajet ini.

2) Peruntukan keseluruhan Bajet 2018 negeri Selangor adalah berjumlah RM3.12 bilion dengan defisit berjumlah RM820 juta. Jumlah defisit ini jika diukur adalah 26% dari keseluruhan bajet negeri serta 38% tambahan dari jumlah anggaran hasil. Jumlah defisit Bajet 2018 kerajaan persekutuan hanyalah pada kadar 14% dari keseluruhan peruntukan.

3) Apa yang menghairankan, pada saat pemimpin pembangkang mengkritik pentadbiran persekutuan kerana membentangkan bajet defisit minggu lalu, kerajaan Selangor juga membuat perkara sama. Malah dari kadar peratusan, jumlah defisit yang perlu ditanggung adalah jauh lebih tinggi dari defisit tanggungan kerajaan persekutuan.

4) Adakah Wan Azizah, ADUN Kajang akan membangkitkan perkara ini dalam perbahasan minggu hadapan? Jelasnya tindakan mereka mengkritik bajet defisit kerajaan persekutuan terpalit ke muka mereka sendiri. Jelasnya tindakan adalah suatu yang hipokrit.

5) Selain daripada itu, kerajaan negeri juga berjanji untuk membina 136 unit rumah berkembar setingkat berhampiran Felda Sungai Tengi Selatan. Perkara ini hanyalah sekadar ulangan janji yang dibuat Menteri Besar pada Januari 2016 ketika lawatan beliau ke Felda tersebut. Hanya selepas hampir 2 tahun dan semakin hampir kepada Pilihan Raya Umum, barulah kerajaan negeri cuba memberi komitmen. 

6) Untuk rekod, kerajaan persekutuan menerusi Felda sememangnya sedang giat membina rumah generasi ke-2 Felda di seluruh negara. Tetapi apa yang mengecewakan di negeri Selangor ini, memandangkan isu tanah adalah di bawah kuasa negeri, kerajaan negeri Selangor telah sekian lama menafikan permohonan dari Felda ini.

7) Di dalam bajet alternatif 2018, pembangkang telah menjanjikan pendidikan percuma. Sangkaan bahawa kerajaan negeri akan menjadi negeri contoh dan yang pertama untuk melaksanakan pendidikan percuma tidak langsung terbayang dalam bajet yang diumumkan Menteri Besar ini. Secara tidak langsung, ia membuktikan perkara ini adalah suatu imaginasi melampau yang sukar untuk dilaksanakan.

8) Kesimpulannya, segala tohmahan kononnya bajet kerajaan persekutuan bersifat gula-gula PRU-14, akhirnya terpercik ke muka mereka sendiri.  Azmin Ali jelas terdesak mencipta imej populis, cuba lari dari bayangan Tan Sri Khalid Ibrahim serta cekap bermain dengan silat kata-kata.

*Budiman Mohd Zohdi*
ADUN Sg Panjang, 3 Nov 2017, 7 malam.






Leave a Reply