Menu Utama

Azmin takut kelemahan terdedah

Arahan semua jabatan, agensi serta anak syarikat kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dianggap tindakan politik bagi menyekat pihak akhbar daripada mendedahkan kelemahan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar.

Budiman Mohd. Zohdi (BN-Sungai Panjang) berkata, Moha­med Azmin harus berfikiran terbuka serta berani me­ne­rima kritikan daripada pelbagai pihak khususnya media termasuklah membabitkan hal-hal dalam pentadbirannya.

“Bagaimanapun, beliau (Mohamed Azmin) bertindak seper­ti takut kepada bayang-bayang sendiri. Jangan anggap media sebagai batu penghalang kepada cita-cita politiknya.

“Menteri Besar perlu ingat pentadbirannya bukanlah maksum. Justeru, isu atau masalah yang dilaporkan mengenai kelemahan pentadbiran Selangor harus dijadikan fokus kepada beliau untuk membuat penambahbaikan, bukannya menuduh akhbar itu sebagai penyebar fitnah,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam sesi pertanyaan mem­pertahankan arahannya yang tidak membenarkan mana-mana jabatan, agensi atau anak-anak syarikat kerajaan negeri melanggan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Sementara itu, Shahrum Mohd. Shariff (BN-Dengkil) menasihati Mohamed Azmin supaya mencontohi sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terbuka meskipun menjadi sasaran fitnah serta tohmahan.

Utusan






Leave a Reply