Menu Utama

‘Alah sabung, menang sorak’…beringatlah!

BENARLAH kata orang, filem-filem Tan Sri P. Ramlee ini tengoklah. Tak akan jemu-jemu.

Filem-filem arahan dan lakonan Allahyarham mendahului zamannya. Kalaulah dipinjam sekejap skrip-skrip filem P. Ramlee untuk sekadar dicuit metaforanya dalam situasi politik negara ini, banyak teladan dan iktibar boleh dikutip.

Antaranya dalam filem Ahmad Albab yang mengisahkan kehidupan tiga beradik perem­puan, Mastura (lakonan Saloma), Zahara (Mariani) dan Suhara (Mimiloma) berbapakan saudagar Mas’hud Al Buaya yang memen­tingkan kebendaan.

Dalam filem itu, babak yang masih diingati apabila tiba majlis hari jadi Mas’hud, dengan Suhara dan suaminya, Safar manakala Muharam dan isteri, Zahara memberikan hadiah yang istimewa kepada bapa mereka.

Akan tetapi seorang lagi menantu Mas’hud iaitu Syawal sekadar memberikan hadiah semangkuk garam dan gula lalu diherdik oleh Mas’hud. Mastura, isteri Syawal pula memberikan hadiah berupa sekeping roti gandum tanpa garam dan secawan kopi tanpa gula.

Babak itu samalah seperti yang terjadi ketika zaman ini. Cuba tengok sekitar kehidupan kita sahaja. Bila air rasanya tawar, orang hanya ingat gula. Tapi tak cakap eh! sirapnya tawarlah? Macam kerajaan Barisan Nasional (BN) lah, ada ‘orang besar’ gemar lupakannya (BN). Tapi bila banjir melanda negerinya, barulah cari kerajaan (BN). Sampai pukul 3 pagi telefon orang tu.

Pada masa sama, adalah serba sedikit punca sakit disebabkan gula (diabetes). Kemudian orang ini (pembangkang) tambah satu dua (adu domba dan putar belit) yang akhirnya semua yang salah kononnya BN.

Ketika menjamah makanan yang enak, kita akan akui sedap dengan ‘penangan’ lemak karinya. Tapi bila tawar tak masin, garam jugalah yang diperlukan. Bila kurang masin, barulah ingat UMNO, ingat BN.

Yang sedihnya juga apabila kena ‘sakit darah tinggi’, mereka ini (pembangkang) akan kata ‘ha! inilah kau letak garam (salahkan 100 peratus BN) banyak sangat.

Demikianlah yang berlaku di negeri-negeri di bawah kuasa pembangkang seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Di Selangor, macam-macam diuar-uarkan oleh kerajaan ne­geri PKR mengenai bantuan yang mereka berikan. Kadang-kala tidak seberapa pun berbanding peruntukan berjuta-juta, bahkan berbilion ringgit yang sejak sekian lama disumbangkan Kerajaan Pusat.

Masih ingat tak lagi bonus tiga bulan yang diumumkan dalam Bajet negeri Selangor 2018 oleh menteri besarnya untuk me­nyaingi Kerajaan Pusat. Akhirnya pecah tembelang, rupa-rupanya satu bulan bonus sahaja (akan dibayar tahun depan) kerana dua bulan lagi itu telah pun dibayar pertengahan Jun tahun ini.

Di Pulau Pinang, bagaimana agaknya ketua menterinya, Lim Guan Eng mengucapkan terima kasih kepada Pusat kerana membantu mangsa-mangsa banjir di negerinya? Hai Guan Eng, ada tak ungkapan terima kasih itu?

Berbalik kepada babak filem Ahmad Albab tadi, walaupun dihina oleh Mas’hud serta anak menantunya, Syawal dan Mastura meneruskan kehidupannya dengan Syawal kerap membantu orang miskin dan yang dilanda musibah. Syawal juga telah mengikat jamin sebanyak 10,000 dinar kedua-dua birasnya (Safar dan Muharam) yang dipenjarakan atas kesalahan merompak.

Di penghujung cerita, tiba lagi majlis hari jadi Mas’hud dengan Muharam dan Safar menghadiahkan intan dan berlian manakala Syawal menghadiahkan sebuah replika masjid untuk bapa mentuanya agar dia bertaubat kepada Allah dan tidak bercakap takbur lagi.

Muharam dan Safar kemudian memujuk Mas’hud agar tidak mengherdik Syawal kerana Sya­wal lah yang banyak membantu mereka. Malah, hadiah yang diberikan oleh Muharam dan Safar adalah milik Syawal.

Mas’hud (analoginya seperti ma­na penyokong tegar pembangkang waktu ini) masih tidak mempercayai bahawa Syawal sudah menjadi hartawan dan dermawan. Sehingga Syawal membuktikan dengan pakaian mewahnya, barulah Mas’hud mempercayai dan menganggapnya sebagai menantu kesayangannya.

Tumpang lalu bukan apa, kerana terlalu ikut sangat emosi, kita rakyat Malaysia tersalah pilih pula pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. Tak mahulah kelak ada pihak menyesal di kemudian hari.

Mengenali tindak-tanduk pembangkang di negara ini, barangkali pepatah Melayu ini ‘cukup kena’ dengan mereka.

Alah sabung, menang sorak – Biarpun kalah (dalam segala hal dalam setahun dua ini), masih tetap tinggi cakapnya.

Zulkifli Jalil
Utusan






Leave a Reply

Threesome