Menu Utama

PESTA BEER DAN MASYARAKAT MAJMUK

oleh Ab Jalil Backer

Penganjuran “Beer Festival” di negara ini bukanlah kali pertama. Jika tahun ini ia dibatalkan di beberapa tempat ia adalah keputusan Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Polis telah menyatakan pembatalan adalah atas sebab keselamatan bukan agama.

Justeru apabila badan-badan bukan kerajaan menggunakan nama Islam untuk menghalang aktiviti bukan Islam ini, ia akan menimbulkan konflik antara kaum.

Ini kerana sebagai sebuah negara yang membenarkan ajaran agama dan budaya lain diamalkan, kerajaan dan mana-mana parti politik tidak harus dilihat menghalang aktiviti bukan Islam; selagi ia tidak mencemar dan mengganggu gugat kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Jangan bakar sentimen antara agama dan kaum sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada negara pada masa hadapan.

Pihak PBT dan Polis yang membatalkannya harus menyelesaikan secara baik dengan pihak penganjur.

Jika tempat dan skala penganjuran yang menjadi pertimbangan, maka Polis dan PBT harus memberi panduan yang wajar bagaimana ia boleh diteruskan.

“Beer Festival” bukan berkenaan dan berkaitan Islam. Ia tidak sama seperti pertikaian penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu atau pelaksanaan Islamisasi dalam kerajaan.

Festival ini adalah agenda bukan Islam dan mereka seharusnya dibenarkan menjalankannya dalam ruang lingkup undang-undang.

Apa salah jika pihak Polis dan PBT mensyaratkan supaya penganjur “Beer Festival” dijalankan di dalam kawasan tertutup dan terkawal serta tidak boleh dihadiri oleh orang Islam atas apa kapasiti pun?

Polis juga boleh mengadakan kawalan tertentu di kawasan penganjuran bagi memastikan mereka yang mabuk tidak pulang memandu kenderaan.

Membangkitkkan kebencian antara kaum kerana “beer festival” tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Kadang-kadang segala kebaikan dan keterbukaan kerajaan akhirnya musnah sekelip mata apabila kita salah menguruskan isu-isu membabitkan antara kaum dan agama.

Umat Islam sendiri harus tahu di mana keutamaan kita. Dalam negara demokrasi kita tidak boleh menang semua kerana akhirnya kita mungkin kalah semua.






2 Komen to PESTA BEER DAN MASYARAKAT MAJMUK

  1. Dkds says:

    Ulasan yang bernas dari penulis.

    Yang penting perlulah diselesaikan dengan cara lebih berhemah

  2. Maha says:

    kalau nak buat sangat, buat kawasan tertutup, Kalau berpasta mimum lepas bergaduh sana sini baik tak payah buat, aku tengok lebih banyak keburukan dari kebaikan. Kalau buat pesta beer Orang islam tak dibenarkan masuk, aku penah juga dulu tengok kawan2 aku islam nampak pesta beer percuma dia nak Pergi mimum

Leave a Reply

Threesome