Menu Utama

Otak senget sahaja kata lanun – Nik Abduh

Pihak yang menggelar keturunan Bugis sebagai lanun disifatkan sebagai otak senget.

Perkara itu dijelaskan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) yang menegaskan bahawa keturunan Bugis terkenal dengan kepahlawanannya.

Katanya, gelaran la­nun diberikan oleh penjajah kerana sakit hati dengan kepahlawanan keturunan Bugis yang kuat menentang mereka.

“Sampai sekarang orang baik-baik akan memanggil Bugis sebagai pahlawan Bugis. Ada pun orang yang otak senget atau senget otak, mereka akan memanggil Bugis sebagai lanun Bugis.

“Dalam politik Malaysia, dalam Pas, lanun tidak ada, otak senget pun tidak ada. Yang ada hanyalah orang baik-baik dan mempunyai sifat kepahlawanan Bugis walaupun bukan daripada orang berketurunan Bugis.

“Dalam parti lain, ada tak otak senget, saya seganlah nak sebut. Tapi yang gelar Bugis sebagai lanun memang ada,” kata­nya menerusi catatan dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa telah menghina keturunan Bugis ketika berucap pada perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP Sabtu lalu.

Di dalam ucapannya, Dr. Mahathir menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyifatkan beliau sebagai lanun Bugis.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri sebagai seorang Bugis boleh sesat sehingga ke Malaysia dan meminta supaya pulang semula ke Bugis.

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh secara sinis membe­ritahu, parti yag berasaskan kepada bangsa sememangnya akan tersembul lidah mereka dengan kata-kata berunsur perkauman.

Justeru itu, beliau mencadang­kan supaya ditinggalkan parti seperti itu dan memilih parti berasaskan Islam.

“Menjolok seseorang yang tidak disukai dengan gelaran atau nama keluarga, bangsa, agama atau seumpamanya adalah salah dan terlarang. Islam menolak­nya,” jelas beliau.

Utusan






Leave a Reply