Menu Utama

KASIHANNYA DAP…

SEHINGGA himpunan ha­ram tajaan Pakatan Harapan dikepalai parti pimpinan Lim Kit Siang di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu, DAP terus ‘mati akal’ hendak mencari pengganti Pas.

Masa kian suntuk menje­lang beberapa bulan lagi pilihan raya umum ke-14. Namun DAP terus termanggu-manggu untuk me­ngenal pasti rakan strategik daripada parti Melayu mana yang berwibawa untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Selepas himpunan haram Sabtu lalu gagal dengan hanya menca­tat angka khalayak yang ‘indah khabar dari rupa’ – kira-kira 4,000 berbanding 100,000 yang diuar-uarkan Presiden PAN, Moha­mad Sabu sebelum ini – DAP sepatutnya sudah mencongak peluang tipis pakatan itu untuk menerobos kawasan-kawasan majoriti Me­layu.

Kalau kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kawasan Feldalah dikatakan mahu diagihkan kepada PPBM, ada jaminankah parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan ‘bungkus’ awal sebelum masuk gelanggang?

DAP usahlah membandingkan himpunan Fastaqim anjuran Pas di Kuala Terengganu dua ming­gu lalu yang mencatat 250,000 hadirin. Memang ibarat langit dan bumi dengan himpunan haram di Padang Timur itu. Nanti DAP pe­ning kepala.

Sepatutnya DAP lebih realistik. Semasa Dr. Mahathir membacakan ‘ikrar’ pakatan itu untuk menghapuskan rasuah menje­lang 2030 serta menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang me­laporkan terus kepada Parlimen, siapa yang berada di sebelah pengerusi pakatan itu?

Bukankah Kit Siang yang anak­nya, Lim Guan Eng sedang menunggu pendakwaan ra­suah di mahkamah.

Walaupun didesak berulang kali supaya Guan Eng bercuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sementara kes pengurusan rasuahnya disebut di Mahkamah Tinggi di Georgetown pada 14 November depan, DAP dan Kit Siang buat tuli sahaja.

Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Georgetown di bawah nilai pasaran.

Dia didakwa mengikut Sek­syen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Sementara ahli perniagaan Phang Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Ke­seksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat de­ngan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Takkanlah rakyat Malaysia ‘buta’ dengan permainan Kit Siang dan DAP ini?

Isu perjuangan rasuah yang ditonjolkan oleh Dr. Mahathir pun seolah-olah ‘meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri’.

Bukankah dalam satu rakaman berdurasi selama 1 minit 15 saat, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu ceramah pernah menceritakan mengenai kekayaan anak-anak Dr. Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani yang turut tersenarai antara orang terkaya di Malaysia.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mendakwa, anak-anak bekas Perdana Menteri itu merupakan tauke arak apabila kekayaan dikaut selama ini membolehkan mereka membeli kilang arak di Filipina.

“Mirzan cukup kaya, kapal dia punya, lori dia punya, rumah agam besar di Kanada semua Mirzan punya. Sekarang ini Mokhzani tauke yang cukup kaya, semua kapal semua kontrak minyak semua dia punya dan yang terbaharu kayanya anak-beranak Mahathir ini sampai dia boleh beli kilang arak di Filipina. Dengan duit kilang arak itu juga, dia beli stesen-stesen minyak berjenama Esso yang ditukar kepada jenama Petron,” katanya yang dipetik daripada rakaman tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar rakaman video itu.

Bagaimana pula dengan hasil prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung nilai sebenar kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan forex era 1990-an semasa pentadbiran Dr. Mahathir?

Himpunan haram di Padang Timur menyerlahkan betapa DAP tidak boleh lagi mengharapkan PAN dan PPBM sebagai galang ganti Pas – untuk menarik soko­ngan pengundi Melayu.

Padahal DAP sudah cukup gah dengan sokongan penyokong Cina tegar mereka.

Mengapa? Kalau diteliti secara serius, macam manalah orang Melayu hendak bersandar kepada parti-parti kecil Melayu dalam Pakatan Harapan ini kalau usaha untuk mene­gakkan syiar Islam pun dibantah oleh ketua-ketua mereka.

Contoh paling dekat de­ngan orang Melayu ialah apabila PAN dan PPBM selain PKR cuba menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Undang (RUU 355) sebelum ini.

Ini disifatkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

Adakah DAP sebenarnya kepala harimau, ekornya ular dengan PAN dan PPBM sekadar kuda tunggangan mereka?

Zulkifli Jalil
Utusan






Leave a Reply

Threesome