Menu Utama

Generasi Kini ‘Buta’ Tentang Kehidupan Di Zaman Mahathir

Agak menjengkelkan apabila terdapat pihak yang mendakwa kononnya rakyat di negara ini hidup dalam keadaan senang lenang dan tidak menghadapi sebarang masalah yang membebankan kehidupan di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kononnya di zaman itu semuanya ‘mudah’. Kononnya di zaman itu langsung tidak membebankan. Kononnya di zaman itu walaupun bergaji kecil, hidup rakyat gembira dan mampu membeli-belah tanpa wujud sebarang perasaan bimbang di hati.

Lebih menjengkelkan, mereka yang mendakwa kehidupan ‘selesa’ rakyat di zaman Mahathir itu majoritinya budak-budak mentah yang cuba berpolitik dan mungkin ‘baru belajar’ tentang erti kehidupan sebenar. Mereka rata-ratanya tidak hidup di zaman Mahathir!

Suka di sini penulis imbaukan kembali tentang apa yang berlaku di zaman Mahathir memerintah pada sekitar 1980’an hingga awal milenium dulu. Bukanlah mahu ungkit kisah lama, namun budak-budak hingusan itu rasanya perlu ‘disekolahkan’…

Tahukah mereka bahawa di zaman itu ramai rakyat hidup dalam keadaan susah? Mereka fikir ibu dan bapa mereka dulu hidup senang seperti mereka? Celik-celik mata, gajet mahal dan telefon pintar sudah ada di tangan? Celik mata, semuanya di hujung jari.

Penulis masih ingat bagaimana kami ke sekolah. Berkasut getah berwarna putih ‘Fung Keong’, berpakaian lusuh yang tidak berganti setiap tahun, beg sekolah kain berwarna hijau. Bermain bola sepak , yang berada mungkin mampu memakai kasut bola getah dan kain berwarna hitam, namun ramai yang hanya berkaki ayam.

Padahal, dulu juga sudah ada kasut sekolah berjenama berharga puluhan ringgit, pakaian sekolah yang baru dijual di supermarket, beg sekolah pun ada yang hebat berharga RM40 ke atas. Kasut bola ‘stud’ kulit juga sudah banyak di pasaran.

Berbanding di zaman ini, kasut sekolahnya berjenama dan mahalnya lebih RM20 sepasang. Baju sekolahnya berganti setiap tahun, dibeli sendiri dan ada yang menerima bantuan pakaian sekolah baru. Susah sangat nak tengok pelajar bawa beg sekolah berharga RM10. Baru wakil rumah sukan saja, tapi kasut bolanya berjenama Nike dan Adidas original!

Kenapa kami tidak memiliki keselesaan itu semua ketika di sekolah rendah? Mengapa ramai yang terpaksa berjalan kaki berulang alik sejauh 10 km ke sekolah? Kerana ibu bapa kami ramai yang susah, bergaji kecil dan tidak mampu menghamburkan kami dengan keselesaan itu. Di zaman siapakah itu jika ia bukan di zaman Mahathir memerintah?

Zaman dulu, kami ke sekolah menengah pun hampir sama seperti di sekolah rendah. Hanya orang kaya sahaja yang mampu naik motosikal ke sekolah. Di sekolah penulis dulu, tidak lebih dari 5 buah motosikal pelajar saja kelihatan di sekolah. Ramai yang jalan kaki dan naik bas sahaja.

Tapi sekarang, lihat saja di sekolah sama ada di bandar mahupun kampung, motosikal pelajar lebih banyak dari motosikal guru. Pelajar bawa kereta lebih mewah daripada guru. Malah telefon pintar pelajar yang dirampas lebih mahal dan canggih berbanding guru!

Mengapa kami tidak semewah itu di zaman remaja kami dulu? Kenapa kami tidak bertelefon bimbit walaupun sudah ada di pasaran? Kenapa kami terpaksa beratur di telefon awam dengan syiling? Kerana ibu bapa kami tidak mampu dan kami tidak mengada-ngada meminta yang mereka tidak mampu…

Walau hidup dalam serba kekurangan, ramai di kalangan kami yang berjaya ke universiti awam. Berjalan kaki ke dewan kuliah adalah biasa. Berpeluh setibanya di dewan. Tiada komputer riba atau PC di bilik, telefon bimbit apatah lagi. Setakat makan mi segera indome adalah biasa, mi maggi lebih sedap namun ramai yang tidak mampu membelinya…

Tidak seperti zaman sekarang, kenderaan kononnya satu ‘keperluan’. Paling tidak, kononnya perlu ada motosikal. Pensyarah kadang kala merungut tidak dapat ‘parking’ gara-gara kereta pelajar lebih banyak di fakulti. Setakat PC, pelajar sekarang tak pandang. Boleh kata setiap pelajar semuanya memiliki laptop berjenama.

Bertahun-tahun selepas bekerja, barulah kami mampu membeli kenderaan sendiri. Itupun kalau bekerja. Sekitar 1997 hingga 1999, jangan haraplah mudah dapat kerja. Ramai yang berijazah, tapi terpaksa bekerja jadi ‘salesman’ di supermarket, peniaga tepi jalan, petani, penoreh getah dan cukup bertuah jika dapat jadi kerani.

Tapi di zaman sekarang, baru kerja 3 bulan namun sudah minta slip gaji untuk beli kereta baru buatan luar negara. Walau tidak layak, kad kredit perlu ada paling kurang sekeping. Pakaian berjenama mahal satu kemestian, tidak dapat yang original, dapat yang tiruan pun sanggup!

Tentang gaya hidup, siapa kata di zaman Mahathir tidak ada KFC atau McDonalds? Malah dulu ada McDota, SateRia, Grandy’s dan sebagainya. Tapi untuk makan di situ dua bulan sekali pun payah. Bukan kerana tak sedap, tapi tidak mampu!

Tapi hari ini, setakat McDonalds atau KFC, itu biasa. Budak sekolah pun kini mampu lepak di Starbucks, Coffee Beans, Dome dan seumpamanya. Kerani sekolah pun mampu makan McDonalds setiap minggu. Begitu selesa sekali zaman sekarang…

Zaman dulu, kami habiskan musim cuti sekolah dengan bekerja sambilan di warung kopi atau restoran. Ada yang mengutip tin, kotak dan botol untuk dijual. Ada yang ‘part time’ ambil upah menoreh. Hasilnya, bolehlah kami bayar yuran atau beli peralatan sekolah nanti.

Berlainan pula di zaman ini, pantang cuti sekolah, daripada hotel tiada bintang hinggalah 6 bintang, semuanya penuh ditempah. Tak cukup hotel, homestay pun homestaylah, asalkan dapat melancong. Penuh gambar-gambar menarik di media sosial jadinya!

Realitinya itulah yang berlaku di zaman dulu dan sekarang. Namun orang di zaman sekarang ini tidak putus-putus terbit keluhan dari bibir mereka. Lebih pelik, Mahathir dipuji melangit, namun Dato’ Seri Najib Tun Razak pula dipersalahkan hasil dari sikap ‘mewah’ diri sendiri?

Pada hemat penulis, generasi sekarang yang berfikiran sedemikian mungkin menghadapi masalah ‘mental koyak’. Mereka tidak sedar bagaimana Mahathir ‘murahkan’ kos di zamannya, dan ‘mahalkan’ semua kos di zaman selepas pemerintahannya. Misalnya, kadar bayaran tol.

Mereka tidak tahu bagaimana kedekutnya Mahathir yang enggan menaikkan gaji penjawat awam di zamannya. Mereka begitu jahil dengan kesusahan ibu bapa dan datuk nenek mereka di zaman ‘diktator’ itu. ‘Miskin’ betul pemikiran generasi sekarang.. lemah!



« (Previous News)



Leave a Reply

Threesome