Menu Utama

E-MEL PEMBACA: SUSAHNYA BERURUSAN DENGAN PTPTN!

Oleh Naimah Shaari (Email: naimahshaari@gmail.com)

Selalu sangat dengar cerita bab PTPTN dan peminjam yang selalunya yang buruk adalah peminjam yang tidak membayar pinjaman selepas membuat pinjaman untuk sambung belajar. Cerita macam mana sekali pun, PTPTN tetap teguh sebagai organisasi yang dipandang mulia kerana memberikan bantuan kepada mereka yang bercita-cita tinggi untuk menuntut ilmu, tetapi kurang berkemampuan. Itu betul.

Saya juga tidak terkecuali, menggunakan khidmat PTPTN untuk sambung belajar di peringkat diploma dan ijazah. Selalunya saya mendengar kes-kes dari sahabat-sahabat yang bergelut dengan PTPTN sama ada jumlah pinjaman tertunggak, nama sudah disenarai hitamkan dan sebagainya. Jarang kita dengar peminjam menghadapi masalah dengan petugas PTPTN atau ‘orang’ PTPTN.

Rupanya, saya juga tidak terkecuali. Cuma, kes saya adalah bergelut untuk berkomunikasi dengan petugas PTPTN bagi mendapatkan jumlah bayaran baru untuk jumlah pinjaman dan tunggakan PTPTN yang saya ada. Kalau hendak diceritakan macam mana tunggakan saya terjadi, panjang ceritanya kerana bayaran bulanan yang saya buat untuk kedua-dua akaun (Diploma & Ijazah) ditolak hanya kepada akaun ijazah sahaja. Sebab itulah akaun pinjaman Diploma tertunggak hingga belasan ribu. Saya tidak menyalahkan PTPTN 100% kerana saya juga bersalah dalam hal ini kerana tidak membuat pembayaran penuh seperti yang diarahkan memandangkan baru sahaja habis belajar dan tidak mempunyai pendapatan. Asalkan dapat bayar pinjaman pada saya sudah memadai.

Bagi menyelesaikan tunggakan yang saya ada, kerap kali saya pergi ke PTPTN untuk menyelesaikan masalah ini. Rata-rata petugas PTPTN mahukan saya membayar tunggakan secara penuh supaya nama saya tidak disenarai hitamkan lagi. Saya buntu kerana jumlah bayaran penuh itu terlalu banyak. Maka, semakin meninggi jumlah tunggakan saya. Saya kecewa kerana masih lagi tidak dapat menyelesaikan masalah ini.

Hinggalah satu hari kebetulan saya ke Tesco Mutiara Damansara, di sana terdapat kiosk PTPTN dan bertemu dengan CIK FATIN ATIKA NABILA ZULKIFLI. Cik Fatin telah memberikan cadangan dan cara untuk saya melunaskan tunggakan dan mengeluarkan nama saya dari disenarai hitam dengan hanya perlu membayar RM2,000 kepada PTPTN beserta bukti pembayaran (slip bayaran). Saya terus membayar secara atas talian kepada PTPTN dan memberikan bukti pembayaran kepada Cik Fatin melalui whatsapp memandangkan Cik Fatin sendiri beria mengatakan boleh berurusan melalui whatsapp (bulan Julai). Tiada maklum balas daripada Cik Fatin dan hanyalah emel pengesahan dari PTPTN mengatakan terima kasih atas pembayaran yang telah saya buat. Bermulalah episod saya mencari Cik Fatin kerana saya percaya untuk berurusan dengan seorang petugas PTPTN lebih mudah dari berurusan dengan terlalu ramai petugas PTPTN berlainan tempat (memandangkan sebelum ini tidak mendapat kerjasama penuh juga dari petugas PTPTN).

Selepas beberapa whatsapp dan panggilan telefon dibuat (bulan Ogos), dan kerap kali memberikan maklumat peribadi saya termasuklah nombor kad pengenalan dan emel, barulah Cik Fatin memberikan maklum balas dan memberitahu jumlah bayaran penggabungan akaun yang baru dan saya hanya perlu memulakan bayaran baru pada bulan September, tidak perlu membayar untuk bulan Ogos. Selain itu, Cik Fatin memberitahu akan memberikan dokumen perjanjian bayaran hutang PTPTN yang baru pada 10 September. Bermakna, tarikh itu adalah tarikh menunjukkan nama saya sudah pun bebas dari disenarai hitamkan.

Rupanya tidak. Tarikh 24 September 2017 saya masih lagi menerima emel dari PTPTN mengatakan saya masih lagi tertunggak jumlah yang banyak. Isunya sekarang, adakah saya dipergunakan oleh Cik Fatin untuk membuat bayaran tanpa penyelesaian yang diberitahu kepada saya sedangkan saya benar-benar komited untuk menyelesaikan hutang pinjaman sejak dari awal? Apabila saya membuat panggilan dan whatsapp kepada Cik Fatin, langsung tidak mempunyai maklum balas daripadanya.

Saya sebagai seorang peminjam wang PTPTN, menyahut seruan PTPTN di mana pembayaran hutang pinjaman semula MEMBANTU KELANGSUNGAN PENDIDIKAN GENERASI AKAN DATANG. Tetapi, dengan cara-cara petugas PTPTN ini berkomunikasi dengan para peminjam, adakah ia juga membantu peminjam untuk kelangsungan kehidupan mereka sendiri?

Saya benar-benar kecewa dengan cara komunikasi yang ditonjolkan oleh petugas atau ‘orang’ PTPTN. Pandai mengejar penghutang, tapi apabila ada peminjam yang komited untuk membayar pinjaman, mereka menyulitkan keadaan pula. Bila berhadapan dengan penghutang, sebarang alasan tidak mahu mereka terima. Jadi, patutkah dan adilkan buat peminjam menerima alasan petugas PTPTN pula? Kerana, walau apa pun yang terjadi, peminjam juga yang akan dipersalahkan sama ada “kenapa tidak membuat bayaran mengikut jadual”, “kenapa tidak membaca terma syarat PTPTN” atau “kenapa pandai pinjam, tidak pandai bayar balik”.






Leave a Reply

Threesome