Menu Utama

Baucar Buku: Jangan Ada Ketirisan Lagi

1) Terima kasih YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang telah memperuntukkan Bajet 2018 yang memang selayaknya diangkat sebagai “Ibu Segala Bajet”. Bajet ini merupakan yang terbaik pernah dirangka oleh kerajaan kerana ia mencakupi semua aspek untuk dinikmati pelbagai lapisan dan status masyarakat. 

2) Salah satu pihak yang paling gembira dengan Bajet 2018 adalah penggerak industri buku tanah air selepas muktamad YAB Dato’ Sri Najib akan melaksanakan pemberian semula Bantuan Baucar Buku bernilai RM250 kepada 1.2 juta pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dan tingkatan enam.

3) Tambah menggembirakan apabila bahan bacaan meliputi majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala akan diberikan layan GST berkadar sifar bermula 1 Januari 2018. Kedua-dua perkara yang khusus berkaitan bahan bacaan sebagaimana diperuntukkan dalam Bajet 2018 ini merupakan rahmat terbesar dalam industri penerbitan di Malaysia. Namun moga pihak Kerajaan dapat turut mempertimbangkan penerbitan buku digital (e-buku) diklasifikasikan dalam GST sifar. 

4) Sudah tentu dalam hal ini, semua peneraju utama industri buku Malaysia amat berterima kasih kepada YB. Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II yang sudi mendengar malah melaksanakan segala yang diusulkan dalam pertemuan pada 23 Ogos yang lalu. 

5) Walaubagaimanapun, dua pihak perlu diperhatikan pemantauan khusus oleh pelaksana pemberian Baucar Buku pada 2018 nanti, iaitu “jerung baucar” dan juga pelajar penerima baucar itu. Realitinya, sejak pemberian baucar pada 2012, Baucar Buku tidak diimbal secara total kepada industri buku kerana berlaku ketirisan yang membolehkan pelajar membeli barangan lain (bukan buku) ataupun ditukar menjadi tunai RM250. 

6) Malah perkara ini lebih teruk apabila pelaksanaan Kad Debit-i Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M Debit-i) pada 2017 di mana pelajar boleh mengeluarkan tunai RM250 terus daripada mesin ATM, tanpa perlu membeli buku. Menurut statistik daripada penerbit buku, pembelian buku melalui KADS1M tidak sampai 10 peratus. Malah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 pada April lalu merupakan jualan terendah pernah dicatatkan oleh semua penerbit buku tempatan dalam 10 tahun mutakhir ini. 

7) Atas dasar itulah, saya amat mencadangkan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan menguruskan pemberian Baucar Buku nanti dapat berkolaborasi rapat dengan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) untuk mengenal pasti senarai penerbit yang layak menerima Baucar Buku daripada pelajar. Ia amat penting bagi mengelakkan ketirisan yang sememangnya telah berlaku sebelum ini. 

8) Menuju TN50, kita wajar membangunkan pelajar menerusi tapisan kendiri. Membina budaya etika wibawa dengan menolak perlakuan yang boleh mendorong kepada ketirisan baucer ini.

9) Saya meyakini dengan kerjasama erat antara KPT, MABOPA, IPT, sekolah dan pelajar dalam perkara khusus bagi pelaksanaan Baucar Buku ini nanti, ia akan mendatangkan manfaat yang besar dalam lingkaran hidup ini. Setiap buku yang dibeli, ia memanfaatkan penerbit dan penulis; setiap buku yang dibaca, ia mengintelektualkan pelajar; setiap buku yang difahami, ia memandaikan akal budi bangsa Malaysia. 

*YB BUDIMAN MOHD ZOHDI*
Ahli Parlimen Sungai Besar/ADUN Sungai Panjang
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Dasar Buku Negara
30 Oktober 2017 / Isnin / 12.30 tgh






Leave a Reply

Threesome