Menu Utama

‘Bapa Kleptokasi’: ‘Jual’ Tanah Anak Langkawi Demi Kayakan Kroni?

‘Merayau’ sebentar di media sosial siang tadi, penulis tertancap kepada ucapan Timbalan Presiden ‘cap bunga’ di himpunan ‘klepetokrasi’ yang berlangsung baru-baru ini. Hambar dan mengecewakan, itulah yang penulis dapat simpulkan dari ucapannya.

Mengitar semula hujah yang begitu dangkal bertunjangkan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, seperti biasa, anak lelaki kepada ‘bapa kleptokrasi’ itu membangkitkan soal tanah di negara ini yang kononnya dijual kepada pihak asing.

Sekiranya dirujuk pada latar belakangnya yang belajar di MRSM (sepatutnya untuk orang Melayu dari keluarga berpendapatan rendah, tapi anak bekas Perdana Menteri diberi tempat?), berkelulusan universiti luar negara dan ‘hebat’ reputasinya, penulis menjangka dia mampu mengeluarkan hujah yang baru yang bernas.

Malang sekali, idea yang sangat rapuh dan telah pun dipatahkan pula yang menjadi pilihan bekas Menteri Besar itu? Berkali-kali ditegaskan tiada seinci pun tanah di negara bertuah ini tergadai kepada pihak asing, namun itulah yang dituduh berkali-kali. Jadi, biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya…

Menyebut soal tanah, suka penulis ungkapkan kembali mengenai Pulau Langkawi yang menjadi pusat pelancongan yang diiktiraf tersohor seantero dunia. Tidak dinafikan, pulau lagenda itu membangun di zaman bapanya menjadi Perdana Menteri.

Penulis pernah ke Langkawi beberapa kali. Boleh dikatakan pulau itu dikelilingi oleh hotel-hotel yang tarafnya berbintang-bintang banyaknya. Di lokasi strategik persisir pantai, paling kurang pun bertaraf 5 bintang. Prasarana pelancongan cukup lengkap dan bertaraf dunia di sana.

Kemudian, penulis lihat pula kampung-kampung di sekitar pulau terkenal itu. Boleh dikatakan hampir 99 peratus didiami orang Melayu. Ditanya gerangan mereka, diakui mereka adalah anak-anak jati Langkawi, pulau yang kaya dengan sejarah tersebut.

Menurut penduduk tempatan, dulunya mereka tinggal di persisiran pantai di pulau itu sebelum ‘dipaksa’ untuk pindah ke tengah pulau. Diberi sedikit pampasan yang digambar kononnya ‘lumayan’, maka ‘tercampak’lah mereka ke lokasi tidak strategik yang kurang menguntungkan.

Penulis terkilan sungguh dengan hakikat tersebut. Apatah lagi difahamkan pemilik-pemilik hotel mewah di pulau itu dimiliki oleh ‘taikun-taikun’ terkenal dan sangat berkait rapat dengan bekas Perdana Menteri itu, penulis jadi sayu…

Sampai hatinya buat begitu kepada anak-anak Melayu di Langkawi? Tergamak sungguh dia? Dia beri lokasi strategik yang mampu memberi keuntungan lumayan kepada kroni, tapi anak Langkawi terpaksa merempat di bumi sendiri menjadi kuli kepada kroni-kroninya?

Ditanya sama ada tanah di hotel tersebut masih menjadi milik anak Langkawi dan hanya dipajak kepada ‘taikun-taikun’ tersebut, anak-anak jati pulau itu menggeleng kepala. Tiada sebidang tanah pun menjadi milik mereka dan tanah-tanah tersebut menjadi hak milik kekal ‘taikun-taikun’ berkenaan.

Penulis masih enggan terima bulat-bulat pada dakwaan orang Langkawi itu. Bukanlah kerana mereka orang kampung atau menganggotai UMNO, namun agak ralat apabila dikatakan seorang ‘ultra Melayu’ sanggup berbuat demikian terhadap rakyat di negeri kelahirannya sendiri? Benarkah dakwaan orang Langkawi tersebut? Atau hanya mitos?

Jika benar, penulis menggesa supaya Timbalan Presiden parti ‘cap bunga’ itu bertanya pada bapanya, kenapa dia jual tanah anak-anak Langkawi kepada taikun-taikun yang dikenali sebagai ‘kroni’nya? Kenapa dipinggirkan pula nasib anak bangsa di pulau tersebut?

Apakah dia tidak percaya kepada kemampuan anak Langkawi untuk membangunkan tanah tumpah darah mereka sendiri? Kenapa diberi kekayaan kepada kroninya yang sudah kaya dan mengapa tidak dikayakan saja anak-anak Langkawi?

Kenapa bapanya sanggup ‘menjual’ tanah Langkawi kepada orang asing sedangkan anak-anak Langkawi hanya diberi peluang ‘menghirup’ sedikit sahaja limpahan ekonomi pulau lagenda yang melimpah ruah itu?

Apakah kerana bagi memastikan hidupnya tetap dilayan seperti ‘raja’ walaupun selepas pencen? Apakah kerana mahu ditaja naik jet peribadi ke sana ke mari? Apakah kerana mahu menjamin dana politik untuk kepentingan peribadi?

Jika benarlah bagai dikata, padanlah ramai yang mendakwa dialah ‘bapa kleptokrasi’, dialah ‘raja klepetokrasi’ di negara ini. Dikleptokrasikan harta negara kepada anak-anak dan kroninya, dia ‘klepetokrasi’kan minda rakyat kononnya orang lain yang kleptokrat?

Justeru itu, penulis menyarankan supaya Timbalan Presiden parti ‘cap bunga’ itu supaya ‘suluh’ bapanya terlebih dahulu sebelum orang lain. ‘Cermin’ dulu bapanya sebelum meroyan yang bukan-bukan. Bapanya yang ‘jual’ tanah, dituduh pula orang lain?

Seperkara lagi, carilah hujah yang lebih bombastik. Setakat hujah kitar semula, itu hanya taraf hujah ‘macai’ bawahan saja. Bagaimana hendak ‘cantas’ DAP dan PKR untuk jadi Perdana Menteri jika hanya berbekalkan hujah dangkal begitu? Boleh keras perut Mat Sabu menahan ketawa dibuatnya…






Leave a Reply