Menu Utama

#Bajet2018 : Kesejahteraan rakyat jadi fokus

Kerajaan dijangka memberi fokus kepada usaha menangani kos sara hidup dan pelaksanaan projek-projek infrastruktur bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam pembentangan Bajet 2018.

Menurut Pengarah Urusan Glenreagh Sdn. Bhd., Nordin Abdullah, pelaksanaan projek-projek infrastruktur penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dan secara tidak langsung memberi kesan positif kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, kerajaan juga dijangka menyediakan peruntukan berterusan terhadap projek infrastruktur di Sabah dan Sarawak yang menjadi kunci utama dalam meningkatkan sumber ekonomi di Borneo sekali gus memberi pula­ngan ekonomi yang tinggi.

“Pendekatan ini adalah seiring dengan matlamat kerajaan untuk membantu rakyat menguruskan kos sara hidup dan akhirnya mampu bergerak menuju negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan ekonomi dikongsi semua kumpulan pendapatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bajet 2018 bakal dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 27 Oktober ini.

Nordin berkata, walaupun perkara tersebut kekal mencabar mengambil kira pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan daripada cukai, namun ia akan memastikan komitmen kerajaan terhadap rakyat dalam jangka masa terdekat dan sederhana mampu dipenuhi.

Beliau yang juga Pengerusi Pe­ngasas Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF) berkata, dalam membentuk masa hadapan, adalah penting bagi Malaysia untuk mengenal pasti bahawa daya saing adalah perkara yang lebih penting berbanding bersaing dalam pasaran dan perdagangan global serta pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Damansara Realty, Brian Iskandar Zulkarim berharap kerajaan dapat memberi tumpuan kepada sektor pengurusan kemudahan dengan memberikan pelepasan cukai, insentif atau skim yang fleksibel kepada pemaju yang menyediakan per­khidmatan pengurusan kemudahan dalam pembentangan Bajet 2018.

Beliau berkata, pertimba­ngan kerajaan dalam memberikan in­sentif bagi meningkatkan ke­se­daran dan menggalakkan penyediaan perkhidmatan pe­ngu­rusan kemudahan yang baik amat pen­ting untuk menyokong proses perbandaran pesat negara.

“Kami berharap kerajaan dapat memberikan insentif terutama dari segi pendidikan buat pemilik aset untuk melihat sendiri kepentingan nilai pengurusan kemudahan bersepadu sebagai objektif perniagaan penting yang dapat menyumbang kepada ke­tahanan jangka panjang harta­nah mereka.

“Tanpa pengurusan kemudahan bersepadu atau strategik dalam jangka masa panjang, pemilik aset akan berhadapan de­ngan pelbagai masalah yang boleh mengurangkan jangka hayat dan nilai aset mereka,” katanya.

Portal hartanah terkemuka, PropertyGuru Malaysia pula men­­­­­cadangkan beberapa langkah untuk menangani kebimbangan mengenai rumah mampu milik dan pemilikan rumah dalam Bajet 2018.

Antara cadangan itu ialah mengemas kini garis panduan atau definisi hartanah mampu milik, kerana ia perlu termasuk bukan sahaja harga, tetapi juga saiz unit, lokasi, maklum balas sektor swasta dan pertimbangan lain.

“Terdapat keperluan untuk mendapat persetujuan yang jelas antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat mengenai apa yang dilihat sebagai rumah mampu milik,” jelas portal ber­kenaan.

PropertyGuru juga mencadangkan diadakan insentif khas untuk pemilik rumah yang menyewakan rumah kepada rakyat Malaysia secara jangka panjang, dengan memberi contoh perjanjian penyewaan dua hingga lima tahun bagi mereka yang berada di kumpulan umur dan paras pendapatan tertentu, misalnya Ge­nerasi M40.

Utusan






Leave a Reply

Threesome