Menu Utama

Airmata Wanita Itu Mungkin Terkandung Racun Dendam Berbisa…

Ketika suaminya dimalukan seantero dunia dan dilucutkan dari semua jawatan sama ada di dalam kerajaan mahupun parti, nasib hidupnya dan anak-anak berubah sekelip mata. Dari menjadi idola, hidup mereka tertekan malu tidak terkata.

Boleh dikatakan hampir setiap masa dia mengalirkan air mata. Tidak dapat menahan rasa, dihamburkan kesedihan di hadapan khalayak ramai di dalam mahupun di luar negara. Dengan air mata itulah mengajarnya untuk bangkit berjuang demi suaminya…

Mungkin benar bagai dikata, suaminya mempunyai tabiat songsang yang memalukan. Mungkin benar suaminya pernah melakukan jenayah luar tabi’i dan menyalahguna kuasa. Mungkin benar skandal-skandal yang terpalit pada suaminya. Namun sebagai isteri, dia tetap setia menanti ke hujung nyawa.

Sekiranya suaminya bersalah sekalipun, walau suaminya mungkin tersesat jalan sekalipun, apakah wajar dia, anak-anak yang masih kecil dan seluruh keluarga mereka diaibkan sebegitu rupa? Macamlah yang menjadi ‘diktator’ itu sesuci manusia?

Selain suaminya, mungkin ada pemimpin lain yang disingkir ‘diktator’ itu. Jika dilihat pada sejarah, suaminya bukan yang pertama menjadi mangsa. Namun mengapa begitu hina sekali diperlakukan? Apakah ini gambaran betapa busuknya jiwa seorang ‘Maha Firaun’ yang tiada belas?

Baru-baru ini Wan Azizah menangis lagi. Air matanya tumpah lagi. Entah mengapa, setiap kali mengenang penderitaan yang mengorbankan diri dan keluarganya, hatinya begitu mudah tersentuh, mengusik naluri wanita sepertinya. Getir sungguh perjalanannya.

Kini, ‘si tua’ itu cuba berbaik-baik? Sanggup mengadap suaminya dan berjabat tangan. Sanggup pula terima Wan Azizah sebagai Presiden Pakatan Harapan, seolah cuba membeli sebuah jiwa yang hampir hancur berkecai dikerjakan selama ini?

Setelah sekian lama mendera suami, dirinya dan anak-anak, ‘diktator’ itu hadir menagih simpati? Macamlah Wan Azizah tidak tahu muslihat yang tersembunyi di sebalik ‘jabat tangan’ yang dihulur itu tersimpan agenda kerakusan nafsu ‘gila kuasa’.

Penulis tidak tahu orang lain, namun jika penulis berada ditempat Wan Azizah, mungkin penulis masih mampu memaafkan pemimpin ‘kuku besi’ itu. Namun begitu, jangan haraplah penulis dapat menerima dia. Mukanya pun penulis tidak mahu tengok!

Mana mungkin dapat dilupakan segala apa yang ‘diktator’ itu lakukan. Apa yang dilakukan terhadapnya bukanlah sekadar ditahan ISA di penjara Kamunting, bukanlah hanya ‘disejuk bekukan’ dari dunia politik atau dipaksa bersara awal. Seisi keluarga hilang segalanya, maruah mereka dipijak-pijak ke lembah yang paling hina!

Biarpun ada yang membela suami, dirinya dan anak-anaknya ketika itu, namun semua itu tidak mampu menewaskan ‘diktator’ yang kini ‘mengemis’ simpati darinya. Hingga ke serata dunia dia menagih simpati, namun semua itu tidak mampu mengalahkan ‘Maha Zalim’.

Walau bagaimanapun, penulis yakin bahawa Wan Azizah bukanlah sebodoh yang disangka. Rasanya dia sudah banyak belajar dari pengalaman lalu yang menyeksa jiwa. Pastinya dia mempunyai agenda untuk ‘si tua’ yang terkenal dengan autokrasinya itu.

Lagipun dalam usia sesenja itu, berapa lama ‘diktator’ itu mampu bertahan? Sebelum menutup mata, dia mahu lihat anaknya ke puncak persada politik negara? Itu yang dia cita-citakan? Bagaimana pula dengan cita-cita suami Wan Azizah yang dulu sudah sebelah kaki ke jawatan Perdana Menteri, namun tersadung tersungkur angkara ‘Maha Zalim’?

Amat sukar untuk menyelami hati wanita. Dasarnya terlalu unik untuk dibaca. Senyumnya mungkin terukir, namun ia belum tentu menjanjikan apa-apa. Malah mungkin terkandung racun yang paling berbisa dan mampu membunuh pada bila-bila masa.

Jangan terkejut jika ‘warga emas’ itu akhirnya akan diinjak terbenam ke dasar yang paling hina. Jangan hairan jika ‘diktator’ itu menjadi ‘perkakas’ seorang isteri untuk mengangkat suaminya. Jangan pula terkejut jika yang diimpikan tidak tercapai, malah diganti dengan mimpi ngeri yang tidak terjangka.

Roda kehidupan di dunia ini berputar, kadang kala kita di bawah, kadang kala dia pula terbenam jauh lebih bawah dari kita. Apatah lagi jika dizalimi, mungkin doa yang dipanjatkan dulu bakal dimakbulkan Allah. Mampukah ‘warga emas’ itu menahannya?

Tidak lama lagi, suaminya akan bebas dari hukuman. Tidak lama lagi, ‘warga emas’ itu akan bertemu ‘buku dengan ruas’. Jangan fikir ‘air yang tenang disangka tiada buaya’, apatah lagi apabila ‘buaya’ itu membalas dendam, buruk padahnya! Tunggulah…






Leave a Reply