Menu Utama

TERKEJUT DENGAN PENGETAHUAN AZMIN YANG TERHAD TENTANG ALIRAN PELABURAN NEGARA

oleh Syahir

Izinkan saya mendedahkan kepalsuan dan kelompangan kenyataan akhbar yang dibuat Azmin Ali di mana beliau melahirkan rasa terkejut terhadap pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak berkenaan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines (MAS) yang berpotensi bernilai sekitar US$10 – 20 billion dan pelaburan KWSP berjumlah US$3 – 4 billion di dalam projek infrastruktur semasa lawatan beliau ke White House baru-baru ini.

Saya akan jawab Azmin mengikut perenggan:

“Saya sangat terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bahawa Malaysia akan melabur sehingga AS$24 billion (RM100 billion) di Amerika Syarikat.”

Secara jujur saya sendiri terkesima dengan perenggan pembuka di atas kerana Azmin nampaknya tidak boleh membezakan urusniaga perdagangan iaitu pembelian pesawat Boeing oleh MAS dengan urusniaga pelaburan iaitu pelaburan KWSP dan Khazanah di Amerika Syarikat (US).

Apabila kita membeli sesuatu barangan dari negara luar ia dikira sebagai import. MAS membeli pesawat daripada Boeing bermaksud syarikat Malaysia mengimport barangan daripada syarikat US.

Tahun lepas Malaysia mengimport barangan dari US bernilai RM55.65 billion (US$12 – 13 billion) dan tahun ini (Januari – Julai) nilai import barangan dari US bernilai RM43.23 billion. US merupakan negara sumber import ke-4 terbesar Malaysia di belakang China, Singapura dan Jepun.


Sementara itu, US juga merupakan destinasi eksport ke-3 terbesar negara kita dengan nilai eksport berjumlah RM80.2 billion pada 2016 dan RM45.5 billion tahun ini (Januari – Julai 2017). Jumlah dagangan di antara kedua-dua buah negara bernilai melebihi RM130 billion pada 2016 dan dengan pengumuman pembelian pesawat Boeing baru-baru ini, dijangka aktiviti perdagangan di antara Malaysia dengan US akan kekal meningkat.

“Pelaburan ini kononnya untuk “mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat” tatkala ekonomi kita sedang memerlukan pelaburan lebih besar selain daripada misteri mengapa Malaysia perlu membantu ekonomi terbesar di dunia.”

US sememangnya tidak memerlukan pertolongan Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi mereka yang bersaiz US$18.5 trillion tersebut. Ini adalah apa yang kita panggil seni membuat kenyataan. Bagi saya kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri adalah respons terbaik kepada kenyataan Presiden Trump yang berterima kasih kepada Malaysia di atas pelaburan yang dibuat di dalam US selama ini.

Kalau ada satu benda yang saya kagum tentang Azmin Ali, ia adalah kebolehan beliau memperbesarkan semua perkara. Tatkala ekonomi kita sedang memerlukan pelaburan lebih besar? Untuk pengetahuan anda, pelaburan sentiasa menjadi komponen penting ekonomi negara kita.

Tahun lepas (2016), pembentukan modal tetap kasar atau secara ringkasnya pelaburan aset tetap menyumbang kepada 25.7% daripada RM1.23 trillion KDNK negara. RM211 billion pelaburan dibuat oleh sektor swasta manakala sektor awam atau kerajaan membuat pelaburan berjumlah RM105 billion yang menjadikan jumlah pelaburan kepada RM317 billion. Ia hanya akan mengambil masa 5 minit untuk anda mencari data berkenaan jumlah pelaburan di dalam laman web Jabatan Perangkaan Negara atau Bank Negara.

“Malaysia adalah negara yang ekonominya sedang berkembang dan kita sedang melakukan yang terbaik untuk menarik pelaburan dari negara-negara maju, bukannya menghantar wang kita keluar dari negara ini. Baru-baru ini, kita memperoleh pelaburan RM1 bilion daripada IKEA untuk membina pusat pembekalan dan pengedaran serantau untuk Asia Pasifik di Pulau Indah. Ia mewujudkan nilai tambah, menjana pekerjaan dan menggandakan kesan ekonomi negara ini.”

Malaysia tidak hanya menerima pelaburan dari luar negara, kita juga melabur di luar negara. Malaysia telah melabur di luar negara melalui pelaburan langsung dan portfolio setiap tahun, ya, setiap tahun. Tahun lepas (2016) pelaburan langsung di luar negara bersih (DIA) adalah RM33 billion, setahun sebelum itu (2015) RM41 billion.

Malaysia mempunyai kedudukan aset antarabangsa yang besar bernilai RM1.73 trillion tahun lepas (2016) atau dalam erti kata yang lain, pelaburan asing terkumpul di luar negara yang dibuat oleh syarikat di Malaysia adalah RM1.73 trillion tahun lepas. Ia bukanlah suatu perkara baru bagi syarikat pelaburan dan syarikat-syarikat lain di Malaysia untuk melabur di luar negara. Di mana Azmin ketika negara kita melabur lebih daripada RM50 billion di luar negara? Kemungkinan besar sibuk merancang bagaimana untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Terima kasih kepada MIDA, sebuah agensi kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab memantau dan memacu pelaburan di dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia, IKEA bersetuju untuk membuka Pusat Pembekalan dan Pengedaran Serantau di Pulau Indah. Tanpa insentif yang disediakan MIDA dan juga lokasi strategik Pulau Indah yang kedudukannya hampir dengan pintu masuk keluar utama negara iaitu KLIA dan Pelabuhan Klang yang dibangunkan kerajaan persekutuan bertahun-tahun dahulu, belum tentu IKEA mahu melabur di Pulau Indah.

“Adalah sukar dipercayai bahawa KWSP, mengikut Najib, akan membelanjakan antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion ke atas pembangunan semula infrastruktur di Amerika Syarikat. Adakah Perdana Menteri cuba memberitahu kita bahawa membantu Amerika Syarikat membina infrastruktur adalah lebih penting daripada membantu Sabah dan Sarawak membina jalan raya dan paip air?”

KWSP merancang untuk melabur US$3 ke 4 billion di dalam projek pembangunan semula infrastruktur US, bukannya membelanjakan. Ianya adalah pelaburan bukan perbelanjaan. Nampaknya Azmin gagal membezakan pelaburan yang dibuat oleh dana persaraan dengan perbelanjaan kerajaan. Kerajaan tidak boleh membelanjakan wang KWSP secara langsung untuk menjalankan projek infrastruktur.

Secara tidak langsung wang KWSP boleh digunakan untuk pembangunan dimana KWSP perlu melanggan bon kerajaan iaitu Malaysian Government Securities (MGS) dan bon yang setara dengannya. Kerajaan menerbitkan bon secara berkala untuk menampung perbelanjaannya dan KWSP merupakan salah satu pelabur terbesar bon kerajaan,

Tahun lepas (2016) KWSP memegang RM181 billion bon kerajaan atau 26% daripada jumlah keseluruhan bon kerajaan (RM685 billion). Sebagai pulangan, KWSP menerima pendapatan di dalam bentuk kupon (kadar faedah) setiap tahun di mana pendapatan daripada bon kerajaan menyumbang RM7.7 billion kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP tahun lepas. Pendapatan ini kemudiannya diagihkan semula kepada pencarum KWSP melalui dividen tahunan yang diumumkan.

Setiap tahun kerajaan membelanjakan wang untuk projek infrastruktur di Sabah dan Sarawak. Saya tidak mahu menyuap Azmin semuanya. Dengan RM4 billion rizab tunai kerajaan negeri yang sering dibangga-banggakan Azmin sepatutnya mampu menggaji seorang atau dua pegawai untuk membaca dokumen bajet kerajaan persekutuan dan juga Rancangan Malaysia ke-11.

“Wang dalam KWSP adalah wang amanah untuk rakyat dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.”

Sudah sekian lama KWSP melabur di luar negara dan pelaburan luar negara mewakili hampir 30% (RM212 billion) daripada keseluruhan aset pelaburannya yang bernilai RM731 billion.

Mempelbagaikan pelaburan sebenarnya telah membantu KWSP memaksimakan pulangan ke atas pelaburan dan mengurangkan risiko terdedah kepada hanya satu jenis aset pelaburan sahaja. Tahun lepas, pulangan ke atas pelaburan aset di luar negara KWSP adalah 9.73% iaitu lebih tinggi berbanding aset domestik dengan pulangan ke atas pelaburan berjumlah 6.18%. Jika KWSP tidak membuat pelaburan di luar negara, sudah tentu ia akan mencatatkan pulangan ke atas pelaburan yang lebih rendah dan seterusnya akan menyebabkan ia mengumumkan kadar dividen yang lebih rendah kepada pencarum.

Jikalau Azmin membaca laporan tahunan KWSP sudah tentu Azmin tidak mengeluarkan kenyataan cetek dan tidak berasas seperti di atas.

“Kita memahami pilihan Najib untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun pemimpin tidak boleh menggadaikan kesejahteraan ekonomi negara hanya untuk peluang bergambar.”

Saya memahami pilihan jelas Azmin untuk mengelirukan orang Malaysia berkenaan ekonomi dan kewangan negara kerana ia adalah penting bagi Azmin dan pembangkang untuk terus mengelirukan mereka yang tidak maklum dan tidak ambil kisah tentang perkara sebenar.

Seiring dengan tema beliau sendiri Smart Selangor, Azmin sepatutnya meluangkan lebih banyak masa membaca dan menganalisis data aliran pelaburan negara sebelum membuat kenyataan tidak berasas yang tidak melambangkan apa-apa yang serupa dengan “Smart”.

http://syahir521.blogspot.my/






Satu Komen to TERKEJUT DENGAN PENGETAHUAN AZMIN YANG TERHAD TENTANG ALIRAN PELABURAN NEGARA

  1. […] TERKEJUT DENGAN PENGETAHUAN AZMIN YANG TERHAD TENTANG ALIRAN PELABURAN NEGARA […]

Leave a Reply

Threesome