Menu Utama

Salah Diri Sendiri, Ada Hati Nak Salahkan Kerajaan…

Sebetulnya penulis sudah agak muak untuk ‘sekolah’kan sebilangan pihak yang gagal menguruskan sistem kewangan peribadi mereka namun bertindak menyalahkan orang lain atas kegagalan diri sendiri.

Dek kerana nafsu serakah yang tidak pernah reda, mereka yang bergaji RM8,000 sebulan pun bising-bising mendakwa kononnya ekonomi negara tidak stabil, runtuh merudum dan menjaja cerita bohong kononnya negara akan muflis tidak lama lagi.

Berkenaan negara ‘muflis’ itu, penulis yakin bahawa sudah lebih 10 tahun kita mendengarnya. Namun hingga kini Malaysia tidak muflis pun sebagaimana yang didakwa. Soalnya, mereka yang menuduh itu berapa inci tebal muka mereka? Atau sudah tiada rasa malu gara-gara tuduhan mereka tidak benar?

Malah sebaliknya, Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai negara terbaik dunia dari sudut pelaburan, perniagaan, paling cekap dan berjaya melunaskan lebih 80 peratus projek akujanji untuk penggal ini. Jadi, di mana bankrapnya atau merudumnya ekonomi negara?

Atau sebenarnya yang merudum dan sering ‘koyak poket’nya adalah hanya melibatkan mereka yang gagal menguruskan sistem kewangan diri mereka sendiri? Gagal mengendalikan ekonomi peribadi, ekonomi negara pula yang menjadi mangsa?

Sekiranya bergaji RM8,000 sebulan, maka berbelanjalah mengikut keperluan. Penulis tidak nafikan gaji sebanyak itu agak tinggi di negara kita. Namun jika berpendapatan sebanyak RM8,000 namun berbelanja bagai orang yang bergaji RM20,000 sebulan, tidak hairanlah jika diri rasa miskin sentiasa.

Penulis mengenali seorang sahabat lama yang pada tahun 1998 hanya bergaji RM600 sebulan. Ketika mendirikan rumahtangga pada tahun 2000, gajinya berjumlah RM1,200 sebulan dan kini gajinya hanya sekitar RM3,000 sebulan sahaja.

Namun begitu, dia sudah memiliki sebuah rumah semi-D, sebuah kereta, sebuah motorsikal, sudah menunaikan haji (pakej paling murah TH), dan 2 kali menunaikan umrah. Dia mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak yang sudah bersekolah.

Melihat pada kehidupan sahabat penulis itu, dia bagaikan serba lengkap. Dia sentiasa berduit dan amat jarang sekali menghadapi masalah kewangan. Tidak pernah penulis dengar dia mengeluh atau menyalahkan orang lain jika dilanda masalah.

Bila ditanya, penulis dapati dia sangat bijak menguruskan sistem kewangannya. Ketika bergaji RM600, belanjanya sebulan hanya RM450 sahaja. Baki RM100 ke akaun TH dan RM50 ke akaun ASB.

Begitu juga kini ketika bergaji RM3,000, dia hanya berbelanja RM1,800 untuk keluarganya. Baki lebih kurang RM1,000 lebih (ditolak Socso dan KWSP), dia bahagi-bahagikan ke akaun tabungan SSPN anak-anak, TH, ASB dan simpanan tetap.

Orang lain pakai Iphone berharga lebih RM3,000, dia hanya pakai telefon pintar bernilai RM400, data internet tidak pernah putus. Dia melanggan Astro, tapi hanya basic tanpa saluran sukan atau ‘movie’. Dia kekal dengan kereta nasional dan bermotor kapcai.

Hidupnya sekeluarga cukup sederhana. Apa yang membuat penulis tersentuh, setiap kali dia menerima gaji setiap bulan, dia tidak pernah lupa bersyukur pada Allah dan berterima kasih pada majikannya. Begitu juga anak isterinya, setiap kali dia memberikan nafkah atau wang saku, mereka bersyukur pada Allah dan berterima kasih pada sahabat saya itu.

Jadi, kepada mereka yang ‘bertuhankan’ nafsu, tidak mengukur pada baju sendiri, terlalu gemar mengeluh, malas berusaha, enggan bersyukur pada Allah dan berterima kasih kepada yang menyampaikan rezeki Allah padanya, berubahlah!

Tolonglah cermin diri sendiri dan berhenti menyalahkan orang lain. Rezeki itu di tangan Allah, bukan di tangan majikan. Jika mahukan rezeki yang lebih, mintalah pada Allah dan jika Allah kabulkan, Dia akan lorongkan jalan kepada majikan untuk memberi rezeki yang lebih kepada kita.

Setelah berusaha, berdoalah kepadaNya. Susah sangatkah berdoa dan bersyukur pada Allah? Jika berusaha 48 jam mencari rezeki tanpa henti sekalipun, namun Allah enggan memberi rezeki, jangan mimpilah untuk mendapat habuan yang diinginkan…

Jagalah sistem kewangan peribadi dan pentingkanlah kualiti pada diri sendiri. Jika kita tidak menghasilkan suatu yang berkualiti, jangan haraplah ia akan memberi pulangan yang baik.

Mungkin soal ‘kualiti’ itu yang berlaku kepada ‘Pencuri Hati Mr. Cinderella’ berbanding ‘Abang Long Fadil 2’, bukan? Bersyukurlah dengan rezeki yang sedikit, nescaya Allah tambah rezeki kita. Tapi jika tidak tahu bersyukur dan menyalahkan ‘ekonomi negara’, maka jelas sangat diri sendiri yang tidak berkualiti. Jika diri tidak berkualiti, bagaimana filem akan berkualiti tinggi?

Justeru itu, penulis berharap agar mereka yang gagal mengawal diri, nafsu serakah, sistem kewangan dan suka menyalahkan pihak lain supaya berubah sebelum terlambat. Bukan apa, jika tidak malu pada diri sendiri, malulah pada Allah SWT, kan? Wallahu’alam…






Leave a Reply