Menu Utama

Program Pembangunan Vendor Bumiputera Jana Nilai RM114 Bilion – PM

PM Najib bersama wakil syarikat yang menerima sijil penghargaan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) pada pada Majlis Penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera G20 KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama)

Program Pembangunan Vendor (PPV) di bawah Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera berjaya menjana nilai vendor sebanyak RM114 bilion sejak dilancarkan pada September 2013 sehingga Ogos 2017, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, selain membangunkan vendor bumiputera, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut membantu pengembangan vendor bumiputera sehingga menjadi jaguh nasional dan serantau.

Sehingga Disember 2016, 10 GLC daripada 20 GLC utama telah melaksanakan PPV dengan membabitkan 1,375 vendor yang kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam mengukuhkan rangka kerja PPV untuk menghasilkan jaguh kebangsaan, serantau dan dunia.

“Pada tahun lepas, syarikat GLC berjaya menghasilkan lapan vendor yang diiktiraf sebagai juara nasional dan satu vendor yang diiktiraf sebagai juara serantau,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di majlis penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Bhd Datuk Seri Shazally Ramly.

Najib berkata GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diharap akan terus berperanan dalam memastikan kejayaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

Selain membangunkan vendor bumiputera, Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera turut merangkumi dimensi lebih luas, merangkumi aspek kemampanan syarikat bumiputera dalam menghadapi persaingan yang semakin mencabar ketika ini, termasuk dalam ekonomi digital.

“Pihak kerajaan juga akan terus memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta bumiputera Islam dan bukan Islam, bahkan kekal memartabatkannya sebagai Agenda Nasional agar masyarakat bumiputera dapat merasai setiap nikmat kemajuan negara, ” katanya.

Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah usaha kerajaan bagi membolehkan kekayaan negara diagih dan dinikmati secara seimbang oleh semua kaum dan merapatkan jurang pendapatan yang berbeza-beza mengikut kaum di negara ini.

Ia memberi fokus kepada lima perkara iaitu mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuhkan pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera serta memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

— BERNAMA






Leave a Reply

Threesome