Menu Utama

Pesta Arak: Bila Masa Pula Majoriti Di Malaysia ‘Kaki Botol’?

Baru-baru ini negara kecoh memperkatakan tentang pesta arak, Better Beer Festival 2017, yang mahu dianjurkan pada bulan depan. Pimpinan DAP dan PKR dikatakan antara yang paling awal menyokong penganjuran pesta arak ini.

Sokongan DAP dan PKR itu tidaklah suatu perkara yang mengejutkan kerana ada di kalangan pemimpin mereka yang menyertai pesta arak seumpama itu yang berlangsung pada tahun-tahun sebelumnya.

Cuma, penganjuran pesta arak pada tahun ini agak mencuri tumpuan ramai apabila ramai pihak yang mula sedar tentang keburukan menganjurkan program yang menjadi ‘raja’ kepada kemaksiatan dan salah laku.

Kemuncaknya adalah apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan untuk menolak permohonan penganjur pesta tersebut baru-baru ini. Maka makin kuatlah suara DAP dan PKR mempersoal keputusan DBKL itu dan menuduhnya mahu ‘jadi jaguh’.

Terkini, Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula terpaksa memberi penjelasan berhubung penolakan DBKL itu. Mungkin ia adalah bagi menjelaskan salah faham pihak tertentu yang menuduh ia ditolak atas sentimen politik dan agama.

Jelas beliau, penolakan itu adalah berdasarkan faktor keselamatan dan bercanggah dengan undang-undang kecil DBKL sekiranya dibenarkan berlangsung. Penulis yakin jawapan itu cukup mewajarkan keputusan DBKL tersebut tidak dipersoalkan lagi.

Apatah lagi baru-baru ini media melaporkan bahawa penganjur pesta arak itu, Mybeer (M) Sdn Bhd mahu bertemu DBKL bagi membentang sekali lagi pelan keselamatan program untuk membolehkan meneruskan pesta berkenaan sebagaimana yang mereka rancang.

Pada pandangan penulis, apabila pihak berkuasa sudah membuat keputusan dan memberi penjelasan dengan sebab-musabab yang begitu konkrit, pihak penganjur perlulah akur, mendengar saranan dan mencari alternatif lain untuk meneruskan agenda mereka.

Apa masalahnya? Lokasi terbuka atau tertutup, bukan? Jika undang-undang kecil tidak membenarkan ia berlangsung secara terbuka, kenapa perlu cabar undang-undang itu? Apakah mereka enggan patuh pada kedaulatan undang-undang?

Setiap undang-undang yang digubal, maka sudah tentulah ada tujuannya. Pihak peminum arak perlu sedar bahawa mereka berada di sebuah negara yang berbilang kaum, agama, budaya dan adab resam. Jadi, ia juga mempunyai sensitiviti yang perlu diberi perhatian.

Setahu penulis, semua agama terbesar di Malaysia melarang penganutnya meminum arak sama ada Islam, Kristian, Buddha, Hindu mahupun Sikh. Belum ada lagi bangsa di negara ini yang memjadikan pesta arak sebagai budaya kaum masing-masing, bukan?

Malah dari aspek moral, belum pernah lagi penulis mendengar mana-mana hujah rasional agamawan, pakar-pakar sosiologi dan sebagainya yang mengiktiraf pesta arak sebagai satu pesta yang bermoral tinggi dan digalakkan. Tidak pernah!

Malah logiknya, adalah benar bahawa arak itu mendorong manusia untuk mabuk, hilang pertimbangan sehingga membawa ke arah salah laku moral seperti seks rambang, zina, gejala dadah dan sebagainya.

Macam-macam boleh berlaku ketika mabuk, bukan? Membunuh, merogol, berzina, berkelakuan ganas, kemalangan dan merosakkan harta benda awam, itu semua boleh berlaku. Bila ditahan dan didakwa di mahkamah, senang saja dilepaskan dengan hukuman kecil atas alasan mabuk?

Jadi, apa rasionalnya mahu membudayakan pesta arak di negara ini pada setiap tahun? Apakah peminum arak di negara ini lebih ramai dan yang tidak meneguk arak? Penulis yakin sangat peminum arak hanyalah mewakili golong minoriti sahaja di negara ini.

Jadi, untuk berlaku adil, apa kata pihak penganjur, pemimpin DAP dan PKR serta penyokong tegar pesta arak itu mengadakan pesta arak mereka di lokasi tertutup dengan kawalan keselamatan yang sangat ketat.

Penganjur dan mereka yang terlibat juga perlu bertanggungjawab menjamin keselamatan atau kesan buruk pesta arak tersebut melibatkan kepentingan awam. Sekiranya berlaku juga, maka perlulah sanggup menerima akibat yang berat dan diharamkan sepenuhnya.

Atau jika fikir ia sangat susah untuk dianjurkan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa, apa kata jika penganjur dan penyokongnya belajar menghormati majoriti rakyat dan undang-undang di negara ini dengan membatalkan program tersebut? Mudah!

Jadi, berhentilah dari terus berdrama. Rakyat di negara ini mahu isu pesta arak ini ‘tutup buku’ dengan kadar segera kerana khabarnya ada satu lagi program budaya tidak bermoral mahu berlangsung di negara ini. Kami perlu bantah pesta gay pula dari bertempat di Malaysia!






Leave a Reply